Sebagai pemilik taman, selain gemar menghias laman dengan pelbagai jenis bunga hiasan anda juga boleh menanam pelbagai jenis spesies berbunga wangi, yang mampu membuatkan kediaman tampil harum sepanjang masa. Untuk edisi kali ini, LAMAN membawakan anda 10 spesies pokok berbunga yang boleh ditanam di kediaman serta mampu menyuntik aroma segar buat penghuni.

 

Kehadiran pokok bunga ini memadai andai diselang-selikan dengan tanaman hiasan yang lain dalam bilangan minor. Ini kerana kekuatan harumannya mampu menyebarkan bauan wangi ke serata laman anda. Sebaiknya pilihlah lokasi yang anda ingini ia berada, contohnya jika gemar menghabiskan masa di kawasan laman belakang maka tanamlah ia di situ. Sama ada sebagai tanaman pagaran atau pun sebagai tanaman memanjat, ia bakal memberikan satu pengalaman terbaik yang tidak akan anda lupakan kewujudannya sampai bila-bila.

 

Cananga odorata

Cananga odorata atau lebih dikenali dengan nama tempatan sebagai kenanga. Bunga ini telah terbukti menjadi peneman manusia sejak zaman-berzaman. Merupakan bunga tradisional dan amat digemari di Malaysia kerana harumnya semerbak. Baunya lebih tajam di kala senja. Ia adalah sejenis tumbuhan saka dan boleh mencapai ketinggian sehingga 20 meter. Bunga kenanga berwarna hijaun kekuningan, tidak begitu menonjol dan tumbuh berkelompok dengan enam hingga 10 kuntum pada setiap tangkai. Kelompok bunga ini berbentuk pita yang agak terpilin sepanjang 5 cm hingga 10 cm

Bunga kenanga banyak kegunaannya. Minyak ekstrak dari bunga ini diaplikasi dalam perubatan aroma teraputik yang boleh merehatkan jiwa, menghilangkan tekanan, insomia, mengubat tekanan darah tinggi, melancarkan haid bagi kaum wanita dan mengatasi masalah mati pucuk (impoten) untuk lelaki. Dipercayai berkesan untuk demam biasa atau demam malaria, bronkitis dan asma. Minyaknya juga selalu digunakan untuk produk kosmetik bagi mengurangkan garis penuaan iaitu sebagai penggalak kepada pertumbuhan sel-sel baru, merawat jerawat dan berkaitan dengan masalah rambut.

Bunganya sering dipetik dan disimpan dalam lipatan kain bagi mengharumkan pakaian. Di sesetengah tempat, kenanga digunakan dalam ritual dan upacara khusus, misalnya majlis perkahwinan. Sesuai ditanam di halaman rumah dan dipercayai dapat menolak ‘black magic’ seperti terkena buatan orang. Jika Nak Kediaman Sentiasa Harum dan Segar Ini 10 Bunga Pewangi Asli Popular Yang Wajib Anda Tanam

Rosa chinensis – Mawar

Bunga mawar, bunga ros atau  nama saintifiknya Rosa chinensis merupakan sejenis tanaman saka dari genus Rosa. Ia telah lama dikenali oleh masyarakat Melayu dan disebutkan dalam Hikayat Bayan Budiman yang ditulis sekitar 1370an. Pada umumnya, mawar memiliki duri, berfungsi sebagai pegangan semasa memanjat. Ketinggiannya boleh mencapai dua hingga lima meter. Terdapat banyak spesies mawar di dunia. Sebahagian besar spesiesnya mempunyai daun yang panjangnya antara 5-15 cm. Bunganya terdiri dari lima kelopak dan berbentuk seperti mahkota. Warna bunga biasanya putih, merah jambu, kuning dan merah, bergantung kepada spesiesnya.

Selain dijadikan sebagai bunga potong, mawar juga memilik banyak manfaat. Antara lain ia digunakan untuk antidepresi, antiviral, antiradang dan sumber vitamin C. Minyak mawar yang diekstrak dari kaedah penyulingan dan penguapan kelopaknya boleh dijadikan parfum. Mawar juga dapat digunakan dalam produk teh dan jeli. Kerana keharuman dan warnanya, bunga mawar secara tradisinya dikaitkan sebagai bunga cinta.

Jika Nak Kediaman Sentiasa Harum dan Segar Ini 10 Bunga Pewangi Asli Popular Yang Wajib Anda Tanam

Jasminum sambac – Melur

Bunga melur atau nama saintifiknya Jasminum sambac merupakan spesies tanaman yang berbau sangat harum dan mekar sepanjang tahun. Bunganya berwarna putih dan mendapat tempat istimewa dalam kebanyakan kaum di Malaysia. Ia merupakan elemen penting dalam majlis tradisional seperti majlis perkahwinan dan acara keagamaan kerana keharumannya.

 

Bunga melur senang dicantas dan dibentuk. Ia menjadi pilihan sebagai tanaman bonsai di kebanyakan kuil penganut Buddha. Merupakan tanaman hias yang banyak kegunaannya. Keistimewaannya adalah untuk membuat minyak wangi, produk kosmetik, farmasi dan bahan campuran untuk mengharumkan teh. Motif bunga melur juga sering diabadikan pada hasil kesenian dan pertukangan tangan seperti produk sulaman dan ukiran perak. Terkini, bunga melur dipaparkan pada duit siling 20 sen yang baru.

Jika Nak Kediaman Sentiasa Harum dan Segar Ini 10 Bunga Pewangi Asli Popular Yang Wajib Anda Tanam

IKLAN

 

Polianthes tuberso – Harum sundal malam

Harum sundal malam atau nama saintifiknya Polanthes tuberso, sejenis pokok berumpun berasal dari Amerika Tengah, seakan-akan pokok spider lily atau bakung. Bunganya berbau wangi, tetapi aromaya akan berkurangan selepas dipetik dari tangkainya. Namun begitu baunya akan terus kekal walaupun setelah dipetik sehinggalah ianya kering dan layu. Dalam keadaan optimum, tumbuhan ini kekal hidup dan menghasilkan bunga untuk tempoh masa yang lama.

 

Tanaman ini berkhasiat menurunkan panas badan dan menghilangkan bengkak. Ia juga dipercayai boleh digunakan untuk pemulihan emosi dan memperkuat inspirasi artistik dalam diri seseorang kerana kemampuannya menstimulasi sisi kanan otak. Bau wanginya seharum melati boleh menenangkan hati orang di sekitarnya. Ia juga digunakan untuk mengubati masalah susah tidur, influenza dan reumatik. Masyarakat Jepun menggunakan bunga ini sebagai lambang cinta. Manakala di Thailand, bunga ini menjadi kesayangan para peminat bunga kerana sifatnya yang harum dan tidak mudah layu.

Jika Nak Kediaman Sentiasa Harum dan Segar Ini 10 Bunga Pewangi Asli Popular Yang Wajib Anda Tanam

.

Gardenia jasminoides – Kembang cina

Gardenia jasminoides atau pokok bunga kembang cina merupakan spesies renek berkayu yang mempunyai ketinggian dua meter. Tetapi ada juga jenis pokoknya yang tumbuh sehingga 12 meter. Daunnya berwarna hijau, berbentuk bulat, ringkas dan terletak dalam susunan berhadapan. Bunganya pula berwarna putih dan berbau wangi. Manakala buahnya berwarna oren dan berbentuk oval dengan ukuran panjang 1.5 inci.

 

Kerana keharuman, bunga ini mempunyai nilai komersil untuk dibuat minyak wangi. Ia juga mengandungi zat minyak penting seperti linalol dan styrolyl. Selain ditanam sebagai tanaman hiasan, spesies tanaman ini juga bermanfaat untuk mengubat penyakit seperti diabetes mellitus, demam, atau jika mengalami kesukaran membuang air besar. Dalam masyarakat Cina, ia sering digunakan sebagai ubat perancang keluarga.

IKLAN

Jika Nak Kediaman Sentiasa Harum dan Segar Ini 10 Bunga Pewangi Asli Popular Yang Wajib Anda Tanam

Murraya paniculata – Kemuning

Bunga kemuning atau nama saintifiknya Murraya paniculata merupakan spesies pokok yang tingginya di antara tiga hingga tujuh meter. Struktur batangnya pendek dan berdaun rimbun. Daunnya bertingkat, berbentuk bujur telur songsang, hujung pangkalnya runcing, berwarna hijau licin dan berkilat, berbatang keras, berakar dan tidak berduri. Ia berbunga sepanjang tahun dan menghasilkan bau yang sangat tajam terutamanya di waktu malam. Warna bunganya pada peringkat awal adalah kehijauan dan bertukar menjadi putih bersih setelah mekar penuh.

 

Kemuning bersifat pedas, pahit dan hangat dan mempunyai kandungan kimia yang tinggi. Dari sudut perubatan, ia dimanfaatkan sebagai ubat pemati rasa, penenang, penghilang radang, dan pelancar peredaran darah. Sekiranya daun dan bunganya digiling halus dan disapukan ke badan, ia akan membuatkan kulit seseorang wanita kelihatan lebih cantik, halus dan bersih. Kemuning menghasilkan aura yang mententeramkan. Justeru, ia sangat baik jika ditanam di halaman rumah sama ada dijadikan sebagai tanaman hiasan atau tanaman pagar. Kerana karakter kayunya yang berwarna kuning coklat, ia juga sesuai dibuat sarung keris.

 Jika Nak Kediaman Sentiasa Harum dan Segar Ini 10 Bunga Pewangi Asli Popular Yang Wajib Anda Tanam

Plumeria obtusa – Kemboja putih
Plumeria obtusa atau kemboja putih sangat cantik sekiranya dijadikan sebagai elemen taman. Pokok ini dianggap eksotik dengan bentuk batangnya yang sangat artistik dan dekoratif. Ia dapat hidup hingga puluhan tahun dan mencapai tinggi di antara 7-10 meter. Daunnya berwarna hijau dengan urat daun jelas kelihatan. Kemboja berbunga sepanjang tahun. Bahkan, pada bulan-bulan tertentu bunganya begitu banyak.

Selain cantik dipandang, kemboja juga menyimpan pelbagai manfaat. Getah putih yang terdapat di seluruh bahagian tanaman ini mengandung elemen yang dipercayai dapat mencegah pertumbuhan bakteria. Bunganya bermanfaat sebagai ubat untuk menurunkan panas badan, meredakan batuk dan melancarkan proses membuang air besar. Unsur yang terdapat di dalam kulit batangnya pula dapat menyembuhkan tumit yang pecah-pecah.

Jika Nak Kediaman Sentiasa Harum dan Segar Ini 10 Bunga Pewangi Asli Popular Yang Wajib Anda Tanam

Mimusops elengi – Tanjung

Pokok bunga tanjung atau Mimusops elengi adalah sejenis spesies malar hijau. Pokoknya sederhana besar dan biasa ditemui di tepi-tepi jalan. Dengan struktur daun yang lebat dan rendang, ia dapat memberi teduhan daripada pancaran matahari. Dalam persekitaran yang baik, ia boleh tumbuh mencecah sehingga 18 meter tinggi. Ia berbunga sekitar April dan berbuah pada bulan Jun. Bunganya berwarna krim dan berbau wangi. Buahnya berbentuk bujur, berwarna hijau dan jingga setelah masak. Buahnya boleh dimakan dan mempunyai rasa sedikit manis serta dapat menjadi daya penarik kepada burung dan haiwan lain

IKLAN

 

Kerana aromanya, bunga tanjung biasa digunakan sebagai hiasan kepala dan kalung leher oleh masyarakat Melayu tradisional dan kaum India. Bunga tanjung boleh bertahan lama. Untuk mengembalikan keharumannya, bunga tanjung yang telah kering boleh direndamkan dalam minyak kelapa. Selain baunya, bunga tanjung juga digunakan untuk merawat penyakit ruam, menghilangkan bau nafas dan untuk mencuci luka.

Jika Nak Kediaman Sentiasa Harum dan Segar Ini 10 Bunga Pewangi Asli Popular Yang Wajib Anda Tanam

Wrightia religiosa – Melati

Melati atau nama saintifiknya Wrigthia religiosa merupakan salah satu pokok yang cantik, mempesona dan berguna. Daunnya bulat, kecil dan berwarna hijau. Melati mengeluarkan bunga-bunga putih bersaiz kecil yang menghasilkan bau yang harum dan menarik. Ia berbunga untuk masa yang lama. Buahnya berbentuk seperti kacang panjang dan berkembang akan menggantikan bunga seterusnya. Ia cepat membesar, lasak dan dapat bertahan dalam cuaca yang keterlaluan.

 

Kebanyakan melati ditanam kerana kecantikan dan keharumannya. Melati melambangkan kesederhanaan yang dipaparkan melalui bunga kecil yang berkembang. Warnanya yang putih bersih serta tidak terlalu menonjol, melambangkan kesucian dan keelokan budi. Aroma harum yang lembut dan tidak terlalu tajam melambangkan kelembutan, nyaman dan tenang.

 

Bunga melati mempunyai pelbagai manfaat. Ia digunakan sebagai bunga tabur, bahan membuat minyak wangi, kosmetik, gubahan bunga, dan sebahagian daripada campuran teh. Tradisinya, ia dijadikan sebagai media perubatan. Akarnya digunakan untuk menyembuhkan penyakit kulit. Ia juga sering dijadikan pelengkap kepada pelbagai tradisi terutamanya dalam upacara perkahwinan. Melati senang dijaga dan hanya memerlukan pengawasan yang minimum. Ia dianggap suci oleh penganut Buddha dan sering dijadikan tanaman bonsai menghiasi kuil mereka.

Jika Nak Kediaman Sentiasa Harum dan Segar Ini 10 Bunga Pewangi Asli Popular Yang Wajib Anda Tanam

Cestrum nocturnum – Jasmin

Cestrum nocturnum atau nama tempatannya Jasmin merupakan salah satu spesies tanaman malar hijau. Ia boleh tumbuh sehingga dua meter tinggi. Berdaun hijau pekat dengan bentuk orate dan berukuran 8-16 sm panjang dan 3-6 sm lebar. Bunganya berwarna putih kehijauan, berkembang dan mengeluarkan bau harum terutamanya di waktu malam. Baunya yang manis dan menyegarkan itu dapat dikekalkan sehingga fajar. Di waktu siang, bunganya akan menguncup, masih mengeluarkan bau tetapi dalam kuantiti yang sedikit.

 

Jasmin sesuai ditanam berhampiran dengan laluan masuk, tingkap atau pintu utama, di mana keharumannya dapat dirasai dan dihargai. Di India dan negara-negara di Asia Selatan, bunga jasmin digunakan secara meluas untuk parfum, kegunaan perubatan dan upacara keagamaan. Namun terdapat beberapa bahagiannya yang beracun.

Jika Nak Kediaman Sentiasa Harum dan Segar Ini 10 Bunga Pewangi Asli Popular Yang Wajib Anda Tanam

 

Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.

KLIK DI SEENI