Mengunjungi kediaman yang terletak di kejiranan Valencia, Sungai Buloh ini mengundang daya tarikan di mata penulis. Susun atur yang kelihatan kemas dan mempunyai identiti tersendiri pastinya membuat sesiapa sahaja berasa selesa menikmati hidangan di sini. Pertemuan penulis dengan pemilik kediaman menarik minat penulis untuk mencungkil konsep yang diketengahkan olehnya.
Saya sukakan konsep kafe sebab nampak relax dan chill, ” akui pemilik. Pendekatan gaya ringkas bukan sahaja membenarkan jelmaan ruang menjadi tampak selesa malah turut memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Memulakan bicara, pemilik menceritakan bagaimana minatnya terhadap konsep kafe dan inspirasi dari majalah dekorasi kediaman mencetus impiannya untuk memiliki dapur sebagaimana yang diidamkannya.
ELEMEN SUSUN ATUR
Bagi menyuntik gaya kafe di ruang dapur, pemilik banyak bermain dengan susun atur peralatan dapur agar tampil bergaya dan dalam masa yang sama kelihatan kemas tanpa menyesakkan ruang. Malah dapat dilihat sebahagian dinding dapur juga menerapkan konsep industri dan berlantaikan kayu bagi membentuk karakter yang diingini pada ruang dapur. Pemilik bijak mengkoordinasi peletakan elemen dan menyuai padan seleksi rona agar kelihatan harmoni.
MATERIAL TERPILIH BENTUK GAYA DAPUR
Pemilihan material stainless steel dan kayu untuk kabinet memberi inspirasi gaya ruang dapur tampil rapi dan menarik. Pun begitu, pemilik ingin memberikan sedikit kelainan dengan memadankan material kaca untuk bahagian kabinet tall unit. Penyatuan tiga material ini secara tidak langsung dapat menonjolkan kelainan dan imej moden pada rekaan kabinet. Menyempurnakan wajah rekaan kabinet, penggayaan tanpa handle membentuk imej yang lebih menarik dan kemas rekaannya.
Manakala peletakan sinki granit dengan ciri tahan lasak dibentuk secara binaan dalam untuk memastikan ruang dapur tersebut digunakan dengan selesa dan bebas daripada kebocoran air yang boleh menyebabkan kerosakan di bahagian kabinet. Ruang kaunter pula menjadi medan interaksi sementara untuk menikmati hidangan pagi sebelum keluar ke pejabat.
Bagi pemilik sebuah ruang dapur umpama cerminan personaliti isi rumah sesebuah keluarga. Justeru itu pemilik ingin ia tampil dalam kondisi terbaik kerana ruang dapur merupakan lokasi paling penting pada sesebuah kediaman. Jika ia tampil menarik dan tersusun maka secara tidak langsung menerbitkan perasaan gembira dan ceria ketika menikmati hidangan makanan bersama orang tersayang.
RUANG PENSTORAN SISTEMATIK
Beralih kepada ruang penstoran, dapur disusun secara sistematik agar tampil kemas. Pemilik menerapkan ilham segar dengan mewujudkan rak bergerak untuk memudahkan penstoran yang bijak dan praktikal. Ini kerana ruang penstoran tidak kurang pentingnya dalam membantu memudah cara meletak barang dan juga peralatan dapur. Penstoran yang teratur juga menjadikan dapur tampil lebih bersih dan sempurna. Meneliti binaan dalam kabinet, penggunaan aplikasi sistem yang moden turut digayakan untuk melengkapkan lagi konsep pilihan. Selain itu, tall unit dengan pintu kaca menempatkan buku-buku dan item kegemaran pemilik juga turut disusun dengan kemas.
RUANG MAKAN BERGAYA
Persembahan gaya ruang makan begitu mengasyikkan. Ruang makan formal yang dijelmakan berdekatan dengan ruang dapur. Penggayaan meja makan tampil menyerlah di dalam kelasnya yang tersendiri. Sebuah cermin dengan bingkai dempak turut digayakan pada ruang ini bagi memberi gambaran luar biasa. Menurut pemilik, pada hujung minggu, mereka sekeluarga akan menghabiskan masa minum pagi di gazebo luar rumah sambil menghirup angin pagi. Gazebo yang direka khas dari kayu terbuang nyata menjadi tempat yang menepati gaya. Nyata pemilik seorang yang mementingkan kesempurnaan dan gaya di ruang dapur maka tidak hairan ruang dapur sentiasa tampil hebat.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI