PENYAKIT LAYU pada TANAMAN PISANG (Musa spp) atau lebih dikenali dengan Penyakit Moko merupakan sejenis ancaman berpunca daripada sejenis bakteria yang dikenali dengan nama Ralstonia solanacerum.

Bakteria Ralstonia solanacerum merupakan sejenis bakteria yang banyak mempunyai ‘tanaman perumah’. Kebanyakkan perumah
untuk bakteria perosak ini terdiri daripada pokok dari keluarga Solanaceae seperti pokok Tomato, Terung, Kentang, Tembakau dan pelbagai lagi.

Namun, pokok pisang lah yang paling kerap menerima ancaman. Selain dari itu juga, tanaman dari keluarga Heliconiaceae dan Musaceae kerap menerima ancaman bakteria yang menyebabkan pokok tiba-tiba layu. Bakteria ini tahan dalam keadaan suhu tinggi diantara 35 – 37 darjah selsius. Ia juga mampu bertahan berada dalam tanah selama 2-3 tahun dalam keadaan dorman.

Kebiasaannya, peladang akan menggunakan kaedah menebang pokok pisang yang dijangkiti serangan penyakit moko dan menanamnya di dalam tanah untuk tujuan pemusnahan. Namun kaedah ini kurang berkesan. dan akan menyebabkan bakteria ini lebih cepat membiak.

Simptom atau tanda serangan penyakit Layu Bakteria Pisang atau Penyakit Moko ini berbeza antara pokok muda dengan pokok tua. Bagi pokok muda biasanya daun paling muda akan jadi hijau kekuningan. Dalam masa seminggu pokok mula kelihatan layu dan hampir mati. Manakala bahagian anak pokok atau sulur baru mula melebam.


Ada juga kemungkinan, buahnya menjadi dan bersaiz normal namun isi nya pula yang bermasalah. Isi pisang jadi lembik, kehitaman dan reput. Apabila dah kena serangan bakteria ini, buah cantik macam mana pun tak boleh dijual kerana isinya buruk.


Untuk mengawal penyakit ini adalah sukar kerana bakteria dapat hidup dalam perumah yang lain untuk jangka masa yang lama. Cara untuk mengatasinya adalah dengan melaksanakan Amalan Pertanian Baik (APB) melalui penggunaan anak benih yang tahan dan bebas penyakit.

Di samping itu juga, pengawalan dan pengawasan perlu dilakukan dari peringkat awal. Kalau ada kelihatan tanaman yang bermasalah, musnahkan segera sebelum dijangkiti tanaman lain. Selain itu juga, kajian juga mendapati, bakteria moko mudah membiak dalam keadaan tanah lembab. Oleh itu, pastikan sistem saliran sentiasa dalam keadaan baik dan elakkan dari masalah permukaan tanah bertakung air.

Peralatan atau perkakas berkebun juga perlu dirawat sebelum kerja-kerja atau tugasan berkebun dilakukan. Gunakan larutan Formaldehyde untuk merendam parang, gunting, pisau atau sebarang perkakas sebelum disimpan dan terutama nya jika peralatan tersebut digunakan untuk merawat atau menebang pokok pisang yang berpenyakit tadi. Jika perkakas tidak dibersihkan terlebih dahulu, dikhuatiri bakteria dari pokok sebelumnya akan menjangkiti tanaman.

 

Bagi tanaman atau pokok pisang yang dijangkiti ia perlu dibakar sepenuhnya sehingga menjadi debu. Kaedah ini baru anda boleh pastikan bakteria tadi mati sepenuhnya.

Komen anda