Telur amat bekhasiat untuk anda, namun kulit telur memang telah diperakui kandungan kalsiumnya yang tinggi amat membantu dalam pertumbuhan tanaman. Kita biasa dengan kulit telur dihancurkan dan ditabur pada permukaan tanah sebagai baja tanaman, tapi mesti ramai sahabat laman yang tidak pernah dengar kegunaan teh kulit telur kan?

Teh kulit telur dianggap sebagai terapi kepada tanaman sama ada di peringkat awal pertumbuhan mahu pun telah dewasa. Sebenarnya, khasiat kulit telur lebih cepat diserap oleh tanaman dalam bentuk cecair.

Khasiat kulit telur
Kulit telur yang selalu atau sering anda buang begitu sahaja selepas digunakan mengandungi 2.2gm kalsium bagi setiap biji telur bersaiz sedarhana dalam bentuk calcium carbonate. Secara tidak langsung, ia menunjukkan kandungan kalsium dalam kulit telur 2 kali ganda lebih tinggi daripada yang diperlukan oleh tubuh manusia untuk tempoh sehari.

Menurut risalah yang disiarkan oleh Florida University, kulit telur mengandungi nutrisi penting yang diperlukan oleh tanaman. Ia mengandungi 3% Magnesium dan kesan natrium, kalium, zink, mangan, besi, dan tembaga.

Kulit telur hancur untuk tumbuhan
Salah satu cara atau kaedah penggunaan kulit telur pada tanaman telah dinyatakan di atas iaitu dengan cara menghancurkannya dan taburkan di atas tanah pada pangkal pokok. Menurut laporan yang telah disediakan oleh Charles C. Mitchell, dari Department Of Agronomy & Soils, Auburn University, Kulit telur perlu dihancurkan menjadi serpihan amat kecil atau di kisar halus agar lebih mudah diserap oleh tanaman.

Kenapa perlu guna air atau teh kulit telur
Untuk memastikan khasiat dan nutrisi yang dibekalkan oleh kulit telur dapat diserap sempurna dan cepat oleh tanaman adalah dengan menjadikan ia dalam bentuk cecair. Ia adalah kaedah organik yang cepat dan paling mudah untuk tumbuhan.

Resepi teh kulit telur

Bahan-bahan:
10-20 biji kulit telur
2 liter air (lebih pun boleh. Kuantiti air menentukan kepekatan teh kulit telur anda. Lebih banyak lebih cair)

Cara-cara:

1. Cuci kulit telur dengan air bersih dari sebarang kotoran atau kesan telur
2. Didihkan 2 liter air dan masukan semua kulit telur yang telah dibersihkan tadi.
3. Selepas air rebusan tadi mendidih sepenuhnya, matikan api dan biarkan ia 24 jam
4. Selepas terendam lebih 24 jam, tapis dan asingkan kulit telur. Kulit telur tadi boleh digunakan sebagai baja terus pada permukaan tanah manakala air rebusannya disimpan

Cara guna:

Siram terus air rebusan atau teh kulit telur pada pangkal tanaman. Lakukan aktiviti ini sekurang-kurangnya dua minggu sekali.

 

Komen anda