Dapur merupakan salah satu kawasan yang wajib ada dalam setiap kediaman tidak kiralah apa jenis dan saiz rumah anda. Tidak seperti ruangan lain yang dibina untuk tujuan bersantai dan berehat, dapur merupakan salah satu bahagian rumah yang paling sibuk dengan kerja-kerja penyediaan dan memasak menjadikannya ruang yang paling terdedah dengan risiko kemalangan buruk. Ketika sibuk dan tergesa-gesa menyiapkan juadah, ramai di antara kita yang lupa untuk mematuhi amalan keselamatan dapur yang telah ditetapkan. Hal ini tidak seharusnya berlaku kerana satu kesilapan kecil boleh membawa kepada bencana yang tidak diduga. Sebagai contoh, seorang wanita mengalami 80% kebakaran apabila kebocoran gas menyebabkan letupan di dapur beliau di Sungai Nibong, Pulau Pinang. Tragedi begini boleh dielakkan dengan mengikut beberapa tips keselamatan dapur yang anda dan keluarga boleh lakukan.

Peralatan Elektrik

Alatan yang menggunakan tenaga elektrik boleh membahayakan jika tidak digunakan dengan betul. Ikut tips yang telah IMPIANA senaraikan untuk mengelakkan kemalangan apabila menggunakan alat-alat ini:

  • Pastikan setiap wayar alatan elektrik dilindungi dengan bahan penebat. Jika anda dapati ada wayar yang rosak, gantikannya dengan segera.
  • Jangan letakkan alat elektrik berhampiran dengan sinki atau kawasan lembab. Walaupun sesetangah alatan ini kalis air, tidak perlu ambil risiko kerana percikan air pada alat yang dihidupkan boleh mendatangkan padah.
  • Jangan sentuh suis dan alat elektrik dengan tangan yang basah. Letakkan tuala atau napkin berhampiran dengan suis agar mudah untuk anda keringkan tangan sebelum menggunakan atau menghidupkan suis alatan elektrik
  • Dapatkan pakar untuk menyelenggara peralatan yang lebih kompleks, seperti ketuhar gelombang mikro anda. Dengan berbuat demikian, alatan akan tahan lebih lama selain memastikan ia selamat untuk diguna.

Pisau dan Alatan Tajam

Adalah amat penting bagi pemilik untuk memberikan penjagaan yang rapi dan baik selain mengetahui cara betul pengunaan semua alatan didapur. Semua objek tajam seperti pisau, gunting dapur, pembuka tin dan lain-lain harus disimpan di tempat jauh dari capaian kanak-kanak. Apabila memotong daging atau sayur-sayuran, pastikan anda menggunakan papan pemotong yang kukuh. Bagi mengelakkannya dari bergerak-gerak, lapikkan kain dibawah papan pemotong tersebut. Semua peralatan perlu diletakkan dalam jangkauan anda. Elakkan menyimpan perkakas dapur di dalam almari yang tinggi kerana ia membahayakan dan boleh jatuh pada bila-bila masa.

Span dan Kain Buruk

Semua orang mempunyai span dapur untuk mencuci pinggan mangkuk. Tetapi adakah anda tahu bahawa span dapur yang lembab atau basah merupakan ‘magnet’ pertumbuhan bakteria? Anda juga mungkin mempunyai kain untuk mengelap tangan selepas membilas sayur-sayuran. Kain ini biasanya hanya akan dibilas dan dibiarkan kering. Malangnya, kaedah ini tidak digalakkan kerana bakteria berbahaya boleh membiak dengan cepat. Salah satu kaedah untuk membasmi kuman di span anda adalah dengan merendamnya dalam semangkuk air panas mendidih. Satu lagi cara yang boleh anda lakukan ialah dengan merendam span atau kain dalam larutan peluntur. Kemudian, keringkan span secepat yang mungkin bagi mengelakkan pertumbuhan bakteria baru.

Papan Pemotong

Sesetengah orang lebih suka menggunakan gunting dapur apabila memotong sayur-sayuran atau menyiang ayam. Walau bagaimanapun, ada juga yang lebih selesa menggunakan papan pemotong dan pisau dapur. Pastikan anda mempunyai papan pemotong yang berasingan untuk daging mentah dan sayur-sayuran. Ini adalah penting dari segi kebersihan. Untuk membasmi kuman dari papan pemotong, gunakan cuka atau cecair peluntur.

Tong Gas

Sebahagian besar dari kita lebih suka untuk memasak dengan periuk gas kerana api lebih kuat dan lebih mudah dikawal. Tetapi jika tidak mengikuti prosedur keselamatan yang betul, risiko kebakaran gas adalah tinggi. Antara tips keselamatan untuk gas memasak adalah ;

  • Pastikan tiada bau gas yang kuat sebelum menghidupkan dapur gas.
  • Cara betul untuk menghidupkan dapur gas manual adalah dengan menyalakan dahulu api sebelum menghidupkan gas.
  • Matikan semua peralatan dapur gas dan injap sebelum meninggalkan rumah untuk tempoh masa yang panjang.
  • Jangan cuba lakukan ubahsuai DIY pada peralatan gas anda. Sebagai contoh, meletakkan batu bata pada regulator yang longgar atau menyelitkan lipatan kadbod pada pemutar gas bagi mengelakkannya tertutup sendiri. Perbuatan seperti itu adalah sangat bahaya!
  • Periksa kebocoran pada paip gas dengan air sabun. Jika anda dapati ada buih-buih yang muncul, bermakna terdapat kebocoran di tempat itu.

Jangan lupa praktikkan langkah praktikal dan mudah ini bagi menjamin keselamatan dapur disamping sama-sama mendidik ahli keluarga anda tentang kepentingan menjaga keselamatan di dapur.