Nama Nigella ini berasal daripada perkataan Latin iaitu nigellus atau niger yang bermaksud hitam. Sering disebut sebagai Onion seed kerana mempunyai ciri fizikal menyerupai biji benih tumbuhan bebawang. Namun, berbeza dengan Onion seed sebenar yang tiada aroma, Nigella memiliki bau dan aroma enak. Terdapat juga panggilan sebagai Fennel flower atau Roman coriander kerana ciri fizikal yang hampir sama melalui foliage berbulu pada tumbuhan ini.

Siapa sangka bijian yang berskala kecil dan berwarna hitam ini sangat memberi manfaat kepada manusia. Nigella sativa menghasilkan bunga sepanjang tahun dan mampu mencapai ketinggian sehingga 30 cm. Tumbuhan ini boleh hidup secara liar mahupun dibiakkan. Struktur kelopak bunga yang memiliki lima petal atau kelopak berukuran 2.5 cm lebar lazimnya memiliki warna menarik iaitu putih dan biru cair. Nigella memiliki kapsul biji benih di mana di sinilah bijian yang dijadikan herba dihasilkan. Kapsul ini akan terbuka apabila ia  kering bagi menyebarkan biji benih. Anda boleh melihat bijian yang terhasil seperti bijirin berwarna hitam dengan permukaan agak kasar. Dikatakan mirip dengan biji benih bawang (Onion seed), Nigella sativa memiliki saiz sekecil 2 mm, rangup dan beraroma.

Ketika masyarakat Barat mula menggunakan ia secara meluas, herba ini dilihat membuat kemunculan semula dibanyak negara yang sebelum ini kurang arif mengenai kegunaannya. Maka, tidak hairan herba ini dikomersialkan dengan begitu meluas dalam masa 10 tahun kebelakangan ini termasuklah di Malaysia, Indonesia dan banyak negara Asia. Ia dijual dalam bentuk minyak, kapsul lembut (softgel), spray dan sebagainya.

Catatan sejarah mendapati Nigella Sativa sudah digunakan oleh masyarakat Mesir kuno untuk merawat pelbagai masalah berkaitan kesihatan. Malah, bijian ini dijumpai dalam bentuk botol minyak di dalam tapak persemadian Tutankhamun. Manakala, pada abad pertama selepas Masihi, ahli perubatan Greek sudah merekodkan kebaikan Nigella Sativa antara lainnya mampu merawat sakit kepala, sakit gigi dan cacing dalam perut.

Cendekiawan Islam, Ibnu Sina diberikan kredit yang besar dalam perubatan moden kini kerana kajian dan usahanya mendapatkan manfaat perubatan menggunakan Nigella Sativa. Dalam catatan yang dibuat oleh ilmuwan ini, beliau menyatakan Nigella Sativa mampu memulihkan tenaga pada tubuh dan pelbagai jenis masalah kesihatan. Ia mengesyorkan penggunaan Nigella pada penyakit seperti demam, sakit kepala, rawatan kulit, anti fungal dan melawan parasit serta cacing.

Dalam perubatan Ayurveda iaitu salah satu amalan perubatan di India turut menggunakan Nigella Sativa.  Ia digunakan untuk memulihkan mood, meningkatkan metabolisme dan mengekalkan tahap kesihatan optimum.

Bagi sisi perubatan moden, kehebatan Nigella sativa tidak dapat dipertikaikan lagi. Banyak kajian saintifik yang sudah membuktikan kelebihan tumbuhan ini pada kesihatan manusia, selain dijadikan rempah ratus pada makanan. Terdapat kajian yang dilakukan oleh Dr Muhammad Dakhakhni yang mengetuai kajian oleh beberapa orang doktor Mesir pada tahun 1959 mendapati Nigella sativa tidak bertoksik malah tidak memberi kesan sampingan langsung kepada haiwan yang dijadikan bahan kajian. Banyak lagi kajian moden yang membongkar kehebatan herba yang satu ini. Antara lain, ia dikatakan mampu meningkatkan sistem imun, digunakan untuk rawatan asma dan sebagainya.

IKLAN

Selain memiliki seribu satu khasiat kepada kesihatan tubuh dan dijadikan rempah ratus yang melazatkan masakan, Nigella sativa juga boleh dijadikan ramuan untuk tujuan kecantikan. Siapa sangka minyak Nigella boleh dijadikan campuran untuk kecantikan wajah? Juga dijadikan agen untuk melegakan kesakitan otot dan sendi. Lihat resipi berikut:

 

Minyak Urutan Sendi

Bahan

1 sudu cuka epal

IKLAN

2 sudu madu

½ sudu minyak habatus sauda (Nigella sativa)

Cara

Campurkan semua bahan tersebut dan dijadikan losen atau minyak urut. Sesuai untuk sakit sendi pada lutut, tangan dan sebagainya.

 

IKLAN

Pelembap Wajah

Bahan

3 sudu madu

½ sudu minyak habatusauda (Nigella sativa)

½ sudu minyak zaitun

 

Cara

Campurkan semua bahan tersebut dan sapu pada wajah dua kali sehari. Ia mampu menyegarkan kulit yang kering dan kusam.