Dracaena merupakan spesies tumbuhan tender perennial dari famili Dracaenaceae yang memiliki kepelbagaian corak dan rupa bentuk. Merujuk kepada penulisan Elvin McDonald pada tahun 1982, terdapat lebih dari 200 spesies Drancaena yang telah dikenal pasti. Nama-nama rumpun keluarga ini seperti Dracaena fragrans (pleomele fragrans), Dracaena fragrans ‘lemon lime’, Dracaena fragrans ‘massangeana’ (cornstalk plant), Dracaena reflexa ‘aurea variegata’ (pleomele reflexa ‘aurea variegata’), Dracaena sanderiana (Ribbon plant, D. Sanderana), Dracaena surculosa ‘florida beauty, Dracaena surculosa (Gold-Dust Dracaena, D. Godseffiana), Dracaena marginata (Madagascar Dragon Tree, D.concinna, Pleomele marginata), Dracaena marginata ‘Bicolor’, Dracaena marginata ‘colorama (Rainbow Tree) dan Dracaena marginata ‘Tricolor’ merupakan senarai yang menjadi pilihan florist untuk digubah bersama jambangan bunga.

 

Tumbuhan foliage ini setiap satunya berasal dari daerah yang berbeza. Seperti dari Afrika Barat, Afrika Selatan, Madagascar, India selatan dan Guinea. Keunikan di sebalik namanya, Dracaena diambil dari perkataan Latin ‘draco’ yang bermaksud naga. Seorang pengkaji botani dari Scotland,  Isaac Bayley Balfour telah menemui spesies ini dan membuat kajian yang mendalam bermula pada tahun 1882.

Kelebihan Dracaena berbanding tumbuhan yang lain, ia tidak hanya dijadikan sebagai outdoor plant yang mencipta visual landskap lebih hijau dan teduh. Sebenarnya Dracaena adalah tumbuhan sempurna untuk pemilik yang berminat dengan indoor plant, di samping ia juga menyuntik konsep tropika ke dalam kediaman. Jika ia diletak di dalam rumah, ia dapat memberikan kebaikan kepada pemilik terutamanya dari sudut kesihatan.

 

Tumbuhan ini dikatakan dapat menyingkirkan udara yang tercemar, mengawal haba yang panas di samping melegakan masalah pernafasan. Kajian membuktikan, dengan penggunaan indoor plant, ia dapat meningkatkan daya tumpuan sebanyak 70%. Galakan menggunakan Dracaena sebagai tumbuhan indoor plant ini juga sesuai bagi mereka yang bekerja di pejabat kerana ia dapat merangsang aura positif dan memudahkan proses berfikir berbanding mereka yang tidak mempunyai tumbuhan indoor plant ini.

Berbicara tentang ciri fizikal tumbuhan ini, anak pokok Dracaena bersaiz kecil tetapi daunnya lebat. Jika ia telah matang, tumbuhan ini berbatang keras dan boleh membentuk sebuah pokok. Daunnya juga mempunyai variasi warna seperti berjalur hijau dan kuning, berjalur hijau dan merah, berjalur hijau dan putih, bertompok putih dan juga bertompok hijau. Tumbuhan Dracaena yang sihat mampu mencecah lima hingga ke enam kaki tinggi dari tahun ke tahun. Pohon rimbun ini gemar ‘berteduh’ tetapi sekiranya diletakkan di dalam rumah, sebaik-baiknya posisikan ia berdekatan tingkap. Bagi membolehkan tumbuhan Dracanea dapat membesar dengan baik, tanam ia di dalam tanah subur yang mengandungi bahan kompos yang tinggi.

 

Tumbuhan ini turut menghasilkan bunga kecil yang berwarna putih. Ada kalanya bunga Dracanea kelihatan kehijau-hijauan, kekuning-kuningan mahupun kemerah-merahan. Keunikan lain, bunganya berbentuk tubular (tiub), dan diikuti dengan kemunculan buah sebesar sebiji beri berwarna merah – oren dan berbentuk bulat. Apabila ia telah mencecah satu-satu peringkat atau usia, bunga tersebut akan berkembang mekar setelah beberapa bulan hidup di dalam pasu yang sama dengan mendapat bekalan cahaya, baja, dan air yang mencukupi.

 

Komen anda