Beranikah anda untuk memilih warna hitam sebagai latar konsep kediaman anda? Namun, atas sebab minat dan citarasa sendiri Md Yuzeiry Bin Md Yasin sebagai pemilik cukup berani untuk memberi sentuhan penuh gaya dan berkarakter buat kediamannya ini.

 


INFO KEDIAMAN

Nama Pemilik: Md Yuzeiry Bin Md Yasin

Jenis: Teres

Konsep: Industrial

Lokasi: Gong Bapak, Kuala Terengganu

Keluasan:1200 kaki persegi

Spesifikasi: 3 bilik tidur, 2 bilik air, 1 dapur


IMPIANA berkesempatan mengunjungi kediaman yang terletak di Taman Sejati, Gong Badak ini. Dari luar, kediaman ini sudah dilihat unik. Penggunaan batu konkrit yang dijadikan pagar berbeza daripada kediaman sekitarnya. Pemilik ‘mengorbankan’ tempat parkir kereta di halaman rumah dan ditukar menjadi taman yang diletakkan batu kecil serta dek kayu.

Untuk menjadikan halaman kelihat sentiasa terang, pemilik menggunakan atap jenis telus pandang. Malah halaman ini juga dijadikan tempat untuk pelbagai aktiviti termasuk BBQ.

Bagaikan selari dengan konsep yang ditonjolkan di luar, pemilik turut menyerlahkan lagi dekorasi dengan elemen industrial di dalam ruang utama. Lantai yang dibiarkan tanpa jubin dilihat mendominasi ruang. Di tambah pula dengan rona hitam yang dipalitkan pada dinding juga siling. Kehadiran lampu pendant serta kabinet besi melengkapi lagi konsep tersebut.

WARNA HITAM ITU RARE

“Mewarnakan keseluruhan ruang utama dengan hitam bukan sesuatu yang biasa kerana kita tahu jarang ada kediaman diwarnakan sebegini. Jadi, saya mahu ia dilihat pelik dan suatu yang lain daripada biasa. Pemilihan perabot rekaan ringkas pula menepati cita rasa kini atau ada yang menamakannya ‘konsep hipster’. Memandangkan saya pernah terlibat dengan dunia muzik sebelum ini, idea menempatkan poster-poster muzik dan filem di dinding menambah keunikan dekorasi. Ia juga dapat mengimbau kenangan ketika zaman remaja dahulu”, ujar Yuzriey yang amat meminati kumpulan Butterfinger.

Pada ruang ini menempatkan ruang makan yang dilengkapi set meja dan kerusi berwarna putih. Pilihan rona ini dilihat harmoni dengan latar berwarna gelap. Selain itu, sengaja pemilik mengaturnya secara memanjang agar ruang digunakan sebaik mungkin. Apa yang menarik, ia bukan sahaja bertindak sebagai meja makan tetapi juga untuk sebarang acara termasuk sambutan hari jadi dan jamuan family day. Pada masa-masa tertentu, ruang utama ini dijadikan sebagai lokasi untuk fotografi.

Di ruang tamu, mainan rona menyegarkan dan menceriakan lagi suasana. Pemilik menghidupkan ruang ini dengan padanan sofa dan stool berwarna hitam dengan throw pillow berwarna-warni. Motif yang sama dipilih untuk hamparan karpet. Dinding tidak dibiarkan kosong sebaliknya dipenuhi dengan gantungan poster, kesinambungan dari ruang makan.

 

Tip Dekorasi Oleh Yuzeiry Yasin

– Dekorasi kediaman biar lain daripada lain. Tampilkan sesuatu yang menarik perhatian apabila tetamu datang bertandang.

– Pilih perabot yang bersesuaian dengan saiz kediaman. Biarpun rekaan ringkas tetapi selesa.