Terpesona mata memandang saat melangkah ke dalam rumah yang aturan perabotnya tersusun rapi . Percikan rona fountain blue  memberi  lantunan kesempurnaan pada setiap sudut ruang kediaman ini. Bermula ruang muka pintu sehingga ke ruang tingkat atas, konsep yang disampaikan memiliki ciri-ciri tersendiri  yang menggambarkan keseluruhan dekorasi gaya Manhattan.


INFO KEDIAMAN

Nama Pemilik: Azrul Ahmad & Dilla Zaghlol

Jenis : Kembar Bertingkat

Konsep : Manhattan Style


 

PEREKA MEMBERI KEJUTAN

Memberi kepercayaan sepenuhnya kepada pereka Zhreka Interiors, rumah ini mengambil masa hanya tiga bulan untuk disiapkan dengan sempurna. Kediaman semi-D yang begitu ideal buat pemilik iaitu Dilla sekeluarga, yang terletak di Cyberjaya ini bukan terletak pada reka bentuk luaran sebuah kediaman sahaja tetapi juga pada seni hias dalaman yang terancang dan sempurna. Dari segi reka bentuk luaran mungkin ia kelihatan sama seperti unit yang lain tetapi hasil dekorasi dalaman yang begitu indah sememangnya begitu memukau pandangan.

Sebelum ini, pemilik menyatakan mereka mendiami sebuah kondominium dan membuat keputusan untuk membeli rumah bertingkat hasil pujukan anak bujangnya yang inginkan tangga di dalam rumah. Setelah mencari kejiranan yang bersesuaian akhirnya pemilik jatuh hati dengan pelan lantai kediaman yang satu ini.

Menceritakan detik-detik awal proses pengubahsuaian ruang dalaman rumah, pemilik menyatakan hasil perbincangan bersama- sama pereka pada awalnya, setiap progress reka bentuk dirahsiakan untuk tujuan kejutan pada hasil akhir dekorasi dalaman buat keluarga ini. Completely zero pada awal, pereka benar-benar menjanjikan kejutan besar buat mereka kerana apa yang diimpikan oleh pemilik berjaya direalisasikan dengan begitu sempurna sekali oleh pereka. Gaya Manhattan yang diterapkan sememangnya memenuhi cita rasa pemilik yang tidak mahukan ruang tampil terlalu lapang dan minimalis.

GABUNGAN TIGA RUANG

Penyatuan antara ketiga-tiga ruang utama sehingga ke ruang dapur dilihat cukup harmoni. Menerapkan konsep pelan lantai terbuka pada bahagian dapur dengan membahagikan meja sememangnya sesuai buat keluarga besar ini. Selain itu, terdapat satu sudut dapur dihiasi subway tiles yang menguatkan lagi elemen dekorasi gaya Manhattan di kediaman ini. Puan Dilla mengakui, apa yang diimpikannya bersama suami akhirnya menjadi kenyataan.

” Saya sememangnya mempunyai angan-angan inginkan dapur yang boleh dijadikan tempat untuk saya menghabiskan masa bersama anak-anak dan suami sambil memasak atau ketika menjamu selera. Suasana ini bagi saya adalah momen yang sangat harmoni dan seumpama penyatuan sebuah hubungan kekeluargaan yang erat,” ujarnya.

SUDUT KEGEMARAN PEMILIK

Melewati sudut tangga rumah ini, dinding yang dihiasi 15 bingkai gambar ternyata memberi 1000 satu makna buat Dilla dan suami. Gambar- gambar mereka sekeluarga dipotretkan dan diabadikan pada dinding kediaman ini.

“Setiap gambar ini mempunyai nilai sentimental yang tinggi kerana ia dirakamkan sendiri oleh suami. Hobinya yang gemar mengambil gambar, merakamkan momen-momen indah kami adalah kenangan paling mahal yang saya rasakan jika dibingkaikan dan dipamerkan pasti akan lebih bermakna,” tambah pemilik lagi.

Melihat warna cat setiap bilik tidur serta padanan aksesori yang ada, pereka bijak memilih bentuk katil yang direka khas yang mampu dan sesuai di letakkan pada setiap ruang bilik. Perhatikan setiap rona yang dipilih , ia bukan sahaja merupakan rona selamat, malah mampu dipadankan dengan apa jua aksesori . Buat kamar anak –anak perempuan mereka, ruang ini dihias ringkas namun masih jelas elemen feminin dengan padanan warna dan perabot yang saling melengkapkan penampilan ruang. Dari permaidani sehingga ke bingkai katil, kebanyakannya pula direka khas dan tidak terdapat di pasaran. Buat kamar anak lelakinya, rona gelap diabadikan buat bilik ini tetapi masih mampu memancing perhatian.

Sebaik sahaja memasuki ruang kamar utama, kami kagum dengan pelan lantai kamar ini kerana terdapat sebuah tembok yang membahagi kepada tiga ruang iaitu, bilik mandi, bilik tidur dan bilik wardrobe. Pereka memilih untuk bermain dengan elemen minimalis bagi memberi ilusi ruang tampil lebih besar dan selesa. Bingkai katil rona gelap menghidupkan lagi tema ini.

Bagi pemilik, kekuatan sesebuah kediaman itu adalah bagaimana kita merencanakan tata hiasnya. Sebaiknya hias lah kediaman mengikut cita rasa dan minat pemilik kerana ia mampu menyuntik keselesaan buat penghuni sekeluarga