Apabila usia semakin bertambah, pandangan terhadap kehidupan juga berubah. termasuklah cara kita menghias rumah. Jika dulu setiap sudut mahu diisi dengan hiasan dan perabot pelbagai gaya, kini ramai yang lebih cenderung memilih konsep kediaman lapang, tenang dan sederhana.
Bila Usia Bertambah, Sudah Tidak Suka Perabot Banyak, Suka Rumah Lapang, Dekorasi Ringkas
Rumah bukan lagi tempat untuk ‘pamer’ dekorasi, tetapi ruang untuk berehat dan menenangkan fikiran selepas penat seharian bekerja.Pendekatan hidup minimalis ini semakin menjadi pilihan kerana ia bukan sahaja menjadikan rumah tampak luas, tetapi juga memudahkan urusan harian.
Bayangkan, tidak perlu mengelap terlalu banyak barang perhiasan, tidak perlu mengemas berjam-jam setiap kali ada tetamu datang. Cukup sekadar susun atur yang kemas, pencahayaan semula jadi yang cukup dan warna dinding yang lembut, sudah mampu mencipta suasana damai.
Apabila usia bertambah, kita mula menghargai keselesaan berbanding kemewahan. Sofa empuk, langsir polos, tanaman hijau di sudut ruang tamu dan pencahayaan lembut sudah memadai untuk menghadirkan aura tenang. Ruang yang lapang juga memberi ruang untuk bergerak tanpa rasa sesak, sesuai dengan keperluan tubuh yang semakin mengutamakan keselesaan.
Ads
Selain itu, rumah yang tidak sarat perabot juga lebih mudah dijaga kebersihannya. Ia membantu mengurangkan habuk, menjimatkan masa membersih, malah memberi ketenangan dari segi mental. Tiada lagi serabut mata memandang, tiada beban ruang dipenuhi benda tidak perlu.
Ads
Akhirnya, kita sedar bahawa keindahan sebenar rumah bukan pada jumlah perabot atau hiasannya, tetapi pada ketenangan yang kita rasai setiap kali melangkah masuk ke dalamnya. Rumah yang sederhana, lapang dan kemas — itulah definisi mewah sebenar bila usia makin matang.
Tip Impiana:
Untuk cipta suasana rumah lapang, pilih perabot bersaiz sederhana, gunakan warna neutral seperti putih, beige atau kelabu lembut, dan pastikan setiap ruang mempunyai fungsi tersendiri tanpa hiasan berlebihan.
Setiap kali menjelang Deepavali, satu perkara yang pasti kita lihat dalam kalangan masyarakat Hindu ialah budaya kemas rumah sebelum Deepavali atau aktiviti membersihkan rumah secara menyeluruh. Ia bukan sekadar rutin fizikal, tetapi satu amalan spiritual yang mendalam , menyucikan ruang kediaman untuk menyambut cahaya, harapan dan permulaan baharu.
Menurut kepercayaan tradisional, rumah yang bersih menjadi tempat yang sesuai untuk menerima kehadiran Dewi Laksmi, dewi kemakmuran dan kesejahteraan. Maka, menjelang Deepavali, setiap sudut rumah akan dibersihkan dari siling hingga ke lantai, dari dapur hingga ke halaman, sebagai simbol penyediaan diri untuk menerima keberkatan baharu.
Yang menariknya, proses kemas rumah sebelum Deepavali ini biasanya dilakukan seisi keluarga dari anak-anak kecil hingga warga emas. Ia mengukuhkan semangat kekeluargaan, memupuk nilai tanggungjawab dan cinta terhadap rumah sendiri.
Selain itu, aktiviti ini juga menjadi satu bentuk penghayatan serta penghormatan terhadap warisan nenek moyang. Dalam suasana bergotong-royong, kerja rumah berubah menjadi kenangan berharga yang mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Bagi mereka yang memahami dengan lebih mendalam, amalan ini bukan sekadar menyapu habuk dan mencuci perabot. Ia juga melambangkan pembersihan rohani dan emosi. Saat kita bersihkan rumah luar, kita juga secara simbolik membersihkan “rumah dalam diri” — membuang perkara negatif dan mempersiapkan jiwa untuk menerima cahaya baru.
Budaya ini menggambarkan falsafah mendalam masyarakat Hindu bahawa kebersihan membawa keberkatan. Ritual kemas rumah sebelum Deepavali adalah bentuk penghormatan kepada kehidupan, tanda kesiapsiagaan menyambut cahaya dan kemakmuran.
Bagi mereka yang tidak merayakan, tradisi ini tetap mengajar nilai universal: menghargai ruang kediaman, menjaga kebersihan, serta menyambut setiap musim dengan semangat positif dan jiwa bersih.
Selamat Menyambut Deepavali! Semoga cahaya Deepavali membawa kebahagiaan, kesihatan dan kemakmuran kepada semua.
Masalah cacing di bilik air memang buat ramai orang rasa stres dan geli. Walaupun tandas sudah dibersihkan berkali-kali, cacing ini tetap muncul semula. Ada yang nampak merayap di lantai, ada pula keluar dari lubang tandas duduk, malah ada yang bersembunyi di celah jubin. Biasanya bila mandi atau siram air, barulah semua cacing itu keluar sekaligus.
Situasi ini lebih kerap dialami oleh mereka yang tinggal di rumah landed kerana kelembapan bilik air lebih tinggi, terutama ketika musim hujan. Jadi apa cara terbaik untuk menghilangkan masalah ini?
Petua paling mudah dan murah ialah menggunakan garam. Taburkan garam di lantai dan sekitar lubang air, atau bancuh garam bersama air panas lalu curahkan ke seluruh bilik air. Anda juga boleh simpan air garam dalam botol spray untuk disemburkan pada dinding tandas. Jika dilakukan secara konsisten, cacing akan berkurang dan lama-kelamaan hilang.
Clorox juga boleh digunakan, tetapi perlu berhati-hati kerana baunya agak kuat. Caranya, siram bilik air dengan air biasa terlebih dahulu kemudian sembur bancuhan peluntur pada lantai dan dinding.
Selain garam dan peluntur, cuka juga boleh dijadikan alternatif. Sama sahaja, tuangkan atau semburkan pada kawasan lantai dan celahan dinding yang sering menjadi tempat cacing keluar.
Jika mahu hasil yang lebih menyeluruh, gunakan pencuci lantai berkualiti tinggi yang mempunyai fungsi grout cleaner. Jenis ini mampu membersihkan celahan jubin dengan lebih efektif berbanding pencuci biasa.
Jika cacing tetap muncul, periksa semula celahan jubin atau mozek di bilik air. Kadangkala terdapat ruang yang menjadi laluan mereka. Anda boleh menutup celahan itu menggunakan simen putih atau produk khas seperti bancuhan Sika215 yang lebih tahan air dan cepat keras. Kini juga ada grout filler jenis picit yang lebih mudah digunakan.
Untuk solusi lebih kemas, gunakan cat epoxy pada lantai bilik air. Ia bukan sahaja berfungsi sebagai lapisan kalis air, malah menjadikan bilik air kelihatan seperti baru.
Sekiranya semua cara sudah dicuba tetapi masalah masih berulang, kemungkinan besar ia berpunca daripada struktur asal lantai yang tidak dilengkapi lapisan waterproofing. Dalam kes begini, menukar lantai baru mungkin penyelesaian jangka panjang yang terbaik walaupun memerlukan kos lebih tinggi.
Dengan langkah-langkah ini, masalah cacing di bilik air boleh dikawal, sekali gus menjadikan tandas lebih bersih dan selesa untuk digunakan setiap hari.
Suatu ketika dahulu, flat kos rendah dibina untuk menyediakan tempat tinggal yang selamat dan mampu milik bagi golongan berpendapatan rendah. Namun kini, ramai penghuni di beberapa kawasan flat berdepan realiti yang jauh berbeza,bumbung koridor dijadikan tapak pelupusan sampah haram.
Longgokan plastik, botol, sisa makanan, malah tilam lama memenuhi kawasan bumbung yang sepatutnya menjadi laluan kecemasan atau ruang terbuka. Apa yang sepatutnya menjadi tempat menjemur pakaian kini bertukar menjadi pemandangan menyakitkan mata dan menyesakkan hidung.
Masalah ini bukan sekadar menjijikkan, ia mengancam keselamatan dan kesihatan penghuni. Dari risiko penyakit berjangkit, pencemaran bau, hinggalah kepada bahaya kebakaran, semuanya berpunca daripada satu perkara: kebersihan yang diabaikan dan sikap lepas tangan.
Fenomena ini bukan kes terpencil. Di beberapa blok PPRT dan PPR, pemandangan bumbung atau koridor dipenuhi longgokan sampah bukan lagi asing. Penduduk di aras atas sering membuang sampah terus dari tingkap atau balkoni, menyebabkan sisa itu terperangkap di atas bumbung.
Bagi sesetengah penghuni, ia mungkin kelihatan remeh “buang sikit saja” atau “nanti orang sapu.” Namun sedikit demi sedikit, longgokan itu membesar hingga menggunung. Hujan yang turun membuatkan sisa reput, menghasilkan bau busuk yang menusuk hidung serta mengundang lalat, nyamuk dan tikus.
Lebih menyedihkan, ada antara penghuni yang sudah terbiasa dengan keadaan itu, seolah-olah ia perkara biasa yang tak lagi mengganggu. Di sinilah punca utama bermula kurangnya kesedaran dan rasa tanggungjawab bersama.
Masalah ini berpunca daripada sikap ambil mudah. Ramai yang tidak memahami bahawa menjaga kebersihan bukan sekadar tanggungjawab individu, tetapi tanggungjawab sosial bersama. Tindakan membuang sampah terus dari tingkap atau balkoni bukan sahaja mencemarkan pemandangan, malah membahayakan orang lain terutama anak-anak yang bermain di bawah atau warga emas yang lalu di kawasan tersebut.
Sikap “bukan aku punya hal” menjadikan kawasan kediaman seolah-olah tiada penghuni yang peduli. Bila seorang mula, yang lain akan ikut, lalu terbentuklah kitaran kebiasaan yang sukar diubah.
Di sesetengah flat kos rendah, tong sampah utama tidak mencukupi atau tidak dikutip secara berkala. Bila tong penuh, penduduk tiada pilihan lain selain membuang di tempat yang “mudah dicapai”. Masalah bertambah rumit bila lif rosak dan penduduk di aras atas terpaksa mengangkat beg sampah menuruni tangga setiap hari. Akibatnya, ada yang memilih jalan singkat, buang dari atas.
Kawasan pembuangan sampah yang jauh atau gelap pada waktu malam juga menimbulkan rasa tidak selamat. Namun apa pun alasannya, membuang sampah merata tetap bukan penyelesaian.
Sikap sambil lewa pihak pengurusan dan kurang tindakan tegas turut menyumbang kepada masalah ini. Tanpa pemantauan atau sistem kawalan, segelintir penduduk berasa bebas melakukan apa sahaja. Jika tiada tindakan daripada pihak berkuasa tempatan atau JMB (Joint Management Body), kesalahan ini akan terus berulang.
Sisa makanan dan plastik bertimbun menjadi lokasi ideal bagi pembiakan nyamuk Aedes dan tikus pembawa leptospirosis. Bau busuk pula menarik lipas dan lalat, menjadikan kawasan flat ibarat zon wabak kecil yang berbahaya.
Ramai tidak sedar bahawa longgokan sampah sangat mudah terbakar. Hanya sebatang puntung rokok atau litar pintas kecil di bumbung sudah cukup untuk mencetuskan tragedi. Dalam kawasan padat penduduk, api boleh merebak dalam beberapa minit sahaja.
Masalah kebersihan ini menjejaskan imej komuniti. Flat yang kotor bukan sekadar tidak selesa didiami, malah menurunkan nilai hartanah dan membuatkan kawasan itu dipandang rendah. Ia turut memberi kesan psikologi kepada penghuni, rasa malu, rendah diri dan hilang semangat terhadap rumah sendiri.
Perubahan mesti bermula dari kesedaran. Penduduk perlu diberi pendidikan berterusan tentang kepentingan kebersihan dan tanggungjawab bersama. Kempen kreatif seperti pertandingan blok terbersih atau mural komuniti boleh membina semangat sayang terhadap kawasan kediaman.
Pihak pengurusan perlu memastikan tong sampah mencukupi di setiap blok dan kutipan dilakukan secara berkala. Jika perlu, tambah tong di setiap aras bagi memudahkan penduduk membuang sampah tanpa alasan.
Pemasangan kamera litar tertutup di kawasan strategik seperti koridor atas atau laluan tangga boleh membantu memantau pelaku. Denda atau amaran rasmi perlu dikeluarkan supaya tindakan ini tidak dianggap ringan.
Program gotong-royong bukan sekadar aktiviti bersih-bersih, tetapi simbol semangat kejiranan. Bila penduduk sendiri membersihkan kawasan mereka, rasa memiliki dan prihatin akan mula tumbuh.
Apa gunanya rumah sendiri bersih jika bumbung dan koridor dipenuhi sampah? Kebersihan bukan tanggungjawab satu pihak, ia bermula dengan kesedaran individu, disokong oleh komuniti dan diperkuat oleh pihak berkuasa. Masalah flat kos rendah yang kotor bukan isu kecil, ia menggambarkan budaya, disiplin dan kepedulian masyarakat terhadap tempat tinggal mereka.
Jika setiap penghuni mula peduli walau sedikit, perubahan besar akan berlaku. Flat kos rendah boleh jadi tempat tinggal yang selesa, bersih dan membanggakan. Syaratnya mudah, semua mesti mula dari diri sendiri.
Ketahui langkah penting dan rutin kebersihan rumah bagi pencegahan influenza. Lindungi keluarga anda dengan amalan harian mudah yang mencegah jangkitan virus di rumah!