Aspek PENTING Bina RUMAH Dalam DUSUN, Supaya Rasa Selesa, Selamat & Tahan Lama. Bahagianya membayangkan tinggal di rumah dalam dusun, menghirup udara segar, melihat pepohon menghijau dan anak sungai yang mengalir. Cukup tenang saujana mata memandang. Lebih dekat dengan alam semulajadi.
Jika ada sebidang tanah dan rancang nak bina rumah dalam dusun untuk dijadikan rumah rehat hujung minggu memang menarik dan damai, namun ada beberapa perkara penting yang perlu dipertimbangkan supaya rumah yang didiami rasa selesa, selamat & tahan lama.
1. Akses & Jalan Masuk
– Pastikan ada jalan keluar masuk yang stabil untuk kereta (elak lecak atau banjir).
– Bina laluan berturap atau berbatu jika perlu.
2. Tapak Rumah
– Pilih kawasan tinggi & tidak mudah banjir.
– Jauhkan sedikit dari pokok besar yang boleh tumbang.
3. Reka Bentuk Rumah
– Gunakan konsep rumah kayu atau tropikal moden untuk sejuk & serasi dengan alam.
– Tambah tingkat bawah tinggi (pelantar) untuk elak lembap & serangga.
Ads
4. Bekalan Air & Elektrik
– Pastikan ada akses kepada air bersih (paip, perigi atau tangki simpanan).
– Semak talian elektrik atau guna sistem solar jika kawasan terpencil.
5. Pengudaraan & Pencahayaan
– Banyak tingkap & ruang terbuka, sejuk & segar.
– Bumbung tinggi atau rekabentuk terbuka bantu elak panas.
Ads
6. Keselamatan & Serangga
– Pasang jaring nyamuk, lampu luar, pagar & sistem pencahayaan automatik.
– Simpan makanan elok-elok (semut, monyet, tupai suka masuk 😅).
7. Sistem Saliran & Longkang
– Wajib bina longkang/saliran air hujan agar tak bertakung.
– Elak kawasan lembap = kurang nyamuk.
IMPIANA: Jadi buat yang berhasrat nak bina rumah dalam dusun, pertimbangkan perkara ini dulu iya, supaya rumah yang dibina rasa selesa, selamat & tahan lama.
Bata tanah VS bata simen/press: Mana satu lebih baik untuk buat rumah. Apabila merancang membina rumah, ramai orang lebih menumpukan pada reka bentuk luaran atau susun atur dalaman semata-mata. Namun, asas utama yang perlu diberi perhatian ialah bahan binaan, khususnya jenis bata yang digunakan.
Pemilihan bata bukan sahaja mempengaruhi kos pembinaan, malah turut menentukan keselesaan, ketahanan, dan keselamatan rumah dalam jangka panjang. Antara jenis bata yang sering digunakan di Malaysia ialah bata tanah (bata tanah liat bakar) dan bata simen/press (bata konkrit). Kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan tersendiri yang perlu difahami.
Secara asasnya, bata tanah diperbuat daripada tanah liat yang dibakar pada suhu tinggi. Manakala bata simen atau press pula dihasilkan daripada campuran simen, pasir dan air yang ditekan dalam acuan sehingga terbentuk bata keras. Proses pembuatan yang berbeza ini menyebabkan kedua-dua jenis bata memberi kesan berlainan terhadap ciri-ciri rumah, sama ada dari segi haba, kekuatan, kos, mahupun kualiti kerja pembinaan.
Bata tanah terkenal dengan keupayaan menebat haba. Struktur semula jadinya membolehkan ia menahan bahang daripada masuk ke dalam rumah. Bagi rumah yang menggunakan bata tanah, suhu dalaman biasanya lebih sejuk pada siang hari dan tidak terlalu panas pada malam hari. Kelebihan ini boleh menjimatkan penggunaan elektrik kerana pemilik rumah tidak perlu bergantung sepenuhnya pada kipas atau pendingin hawa.
Selain itu, bata tanah juga lebih selamat dari sudut kebakaran. Bata jenis ini telah diuji dan kebanyakannya mampu menahan rintangan api sehingga dua jam, bergantung kepada ketebalan dan kualiti bata.
Dalam keadaan tertentu, masa tambahan ini cukup penting untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda. Dari sudut estetika pula, bata tanah memberi rupa klasik dan semula jadi yang sesuai untuk rumah bercirikan tradisional moden.
Sementara itu, bata simen atau press lebih digemari kerana harganya jauh lebih murah dan mudah didapati di kebanyakan kedai hardware. Ia lebih praktikal bagi pemilik rumah yang ingin mengawal bajet pembinaan.
Dari aspek kerja pembinaan, bata simen mempunyai permukaan yang lebih rata dan lekatan yang lebih baik terhadap simen plaster. Hal ini mempercepatkan proses menyiapkan dinding, menjimatkan penggunaan simen, dan tidak memerlukan kemahiran tukang yang terlalu tinggi.
Selain itu, bata simen juga ringan berbanding bata tanah, menyebabkan ia lebih mudah diangkat dan dipasang. Faktor ini membantu mempercepatkan projek pembinaan, khususnya jika melibatkan jumlah dinding yang banyak. Tidak hairanlah, kebanyakan kontraktor lebih selesa menggunakan bata press untuk projek perumahan yang besar.
Walau bagaimanapun, kelemahan ketara bata tanah ialah harganya lebih tinggi. Tidak semua kedai hardware menyimpan stok bata tanah kerana permintaannya semakin berkurangan. Dari sudut teknikal pula, kerja plaster pada bata tanah agak mencabar kerana simen sukar melekat. Ini menyebabkan penggunaan simen menjadi lebih banyak, sekali gus meningkatkan kos pembinaan. Hanya tukang yang berpengalaman mampu menghasilkan kerja yang kemas menggunakan bata tanah.
Untuk bata simen/press pula, masalah utama ialah ia menyerap haba dengan sangat tinggi. Rumah yang dibina dengan bata jenis ini lebih mudah panas di waktu siang dan menyimpan bahang sehingga malam. Akibatnya, ruangan dalaman rumah menjadi tidak selesa dan penghuni terpaksa bergantung pada kipas atau pendingin hawa hampir sepanjang masa. Ini sudah tentu memberi kesan pada bil elektrik.
Tambahan pula, kualiti bata simen tidak seragam. Disebabkan terdapat banyak kilang kecil menghasilkan bata press tanpa kawalan ketat, wujud risiko bata tidak berkualiti yang mudah pecah dan rapuh. Jika tidak berhati-hati memilih pembekal, pemilik rumah mungkin berdepan kos tambahan untuk penyelenggaraan dalam tempoh beberapa tahun sahaja selepas rumah siap.
Secara keseluruhannya, pilihan antara bata tanah dan bata simen/press sangat bergantung pada keutamaan anda sebagai pemilik rumah. Jika anda mengutamakan keselesaan jangka panjang, penjimatan tenaga elektrik dan ketahanan api, bata tanah lebih sesuai walaupun kosnya lebih tinggi.
Jika faktor bajet dan kemudahan mendapatkan bahan adalah yang utama, bata simen/press mungkin lebih praktikal. Apa pun pilihan anda, pastikan membeli daripada pembekal yang dipercayai dan gunakan khidmat tukang berpengalaman supaya binaan rumah lebih kukuh, tahan lama serta memberi keselesaan yang diidamkan.
Di sebuah kawasan perumahan yang damai, suasana harmoni antara jiran mula tergugat apabila rumput liar dan pokok menjalar dari satu rumah mula menceroboh kawasan rumah sebelah. Apa yang pada awalnya dianggap sebagai masalah kecil, lama-kelamaan menjadi punca ketegangan yang meruncing.
Puan Aisyah, seorang suri rumah, mula menyedari bahawa rumput liar dari halaman jiran sebelah mula tumbuh melintasi pagar rumahnya. Pokok menjalar juga mula merayap ke bumbung garajnya, menyebabkan daun-daun kering bertaburan dan menyumbat saluran air. Dia telah beberapa kali menegur jiran tersebut secara baik, namun tiada tindakan diambil.
Masalah ini bukan sahaja menjejaskan estetika rumah Puan Aisyah, tetapi juga menimbulkan risiko keselamatan. Saluran air yang tersumbat menyebabkan air melimpah ketika hujan lebat, berpotensi merosakkan struktur rumah. Selain itu, kehadiran rumput liar menarik serangga dan haiwan perosak, menambah lagi kebimbangannya.
Puan Aisyah cuba mencari jalan penyelesaian dengan berbincang bersama jiran dan mencadangkan untuk membersihkan kawasan yang terlibat secara bersama. Namun, jiran tersebut berpendapat bahawa kawasan tersebut adalah tanggungjawab Puan Aisyah kerana berada di dalam pagar rumahnya. Keengganan untuk bekerjasama ini menyebabkan Puan Aisyah terpaksa mengambil tindakan sendiri.
Dengan bantuan ahli keluarga, Puan Aisyah membersihkan rumput liar dan memangkas pokok yang menjalar ke kawasan rumahnya. Dia juga memasang pagar tambahan untuk menghalang pertumbuhan rumput dan pokok dari kawasan jiran. Namun, usaha ini hanya bersifat sementara kerana akar pokok masih menjalar dari kawasan jiran.
Menyedari bahawa masalah ini memerlukan penyelesaian yang lebih berkesan, Puan Aisyah mendapatkan nasihat dari pihak berkuasa tempatan. Dia diberitahu bahawa pemilik rumah bertanggungjawab memastikan tanaman mereka tidak mengganggu kawasan jiran. Dengan sokongan ini, Puan Aisyah sekali lagi berbincang dengan jiran, kali ini dengan membawa dokumen sokongan dari pihak berkuasa.
Kisah Puan Aisyah mengajar kita bahawa masalah kecil seperti rumput liar dan pokok menjalar boleh menjadi punca ketegangan antara jiran jika tidak ditangani dengan baik. Komunikasi yang berkesan dan sikap saling menghormati adalah kunci untuk mengekalkan keharmonian kejiranan.
Kesimpulan
Menjaga kebersihan dan keindahan kawasan rumah bukan sahaja untuk keselesaan sendiri, tetapi juga sebagai tanda hormat kepada jiran tetangga. Dengan sikap bertanggungjawab dan kerjasama, masalah seperti ini dapat diselesaikan tanpa menjejaskan hubungan baik antara jiran.
Tip pilih pokok hiasan dalam rumah supaya ruang lebih segar dan auto naik seri. Pokok hiasan dalam rumah bukan sekadar elemen dekorasi, malah mampu memberi kesegaran udara dan suasana tenang.
Dengan pilihan yang tepat, ia boleh menjadi titik fokus menarik di ruang tamu, bilik tidur atau ruang makan. Namun, tidak semua pokok sesuai hidup di dalam rumah kerana faktor pencahayaan, kelembapan dan penjagaan.
Sebelum membeli, kenal pasti jenis pokok yang sesuai dengan keadaan ruang kediaman anda. Rumah yang mempunyai pencahayaan semula jadi yang baik memberi lebih banyak pilihan, manakala ruang yang agak gelap memerlukan pokok yang tahan dalam keadaan cahaya rendah.
Jika rumah anda kurang cahaya matahari, pilih pokok seperti snake plant, peace lily, atau pothos. Spesies ini tidak memerlukan cahaya terang untuk terus hidup dan kekal cantik.
Untuk ruang kecil, pilih pokok berdaun rimbun tetapi saiz sederhana seperti calathea atau fittonia. Bagi ruang besar, pokok tinggi seperti fiddle leaf fig atau areca palm boleh menjadi ‘statement piece’.
Pokok seperti aloe vera, bamboo palm dan rubber plant terkenal sebagai penapis udara semula jadi, membantu mengurangkan habuk serta toksin dalam rumah.
Jika anda jarang berada di rumah, pilih pokok yang tahan lasak dan tidak perlu siraman kerap seperti succulent atau cactus. Elakkan pokok yang memerlukan kelembapan tinggi jika rumah berpendingin hawa.
Pokok berdaun besar memberi impak tropika, manakala pokok berdaun kecil dan berwarna boleh mencipta suasana ceria. Pilih pasu yang selari dengan konsep dekorasi agar ruang kelihatan lebih harmoni.
Tip tambahan: Pastikan pokok diletakkan di tempat yang tidak menghalang laluan dan tidak terkena hembusan terus pendingin hawa kerana ini boleh merosakkan daun.
Dengan sedikit perhatian dalam memilih jenis dan lokasi pokok hiasan, rumah anda bukan sahaja kelihatan cantik, tetapi juga lebih segar dan selesa untuk didiami.
Ketahui langkah penting dan rutin kebersihan rumah bagi pencegahan influenza. Lindungi keluarga anda dengan amalan harian mudah yang mencegah jangkitan virus di rumah!