Biarpun baru berusia 9 bulan, taman ini telah menunjukkan perubahan ketara 360 darjah yang dilakukan pemilik. Anantha memilih tanaman spesies Bromeliad sebagai watak utama bagi membangkitkan suasana seperti di dalam hutan yang dipenuhi tanaman menumpang pada dahan-dahan pokok rendang. Idea menjadikan spesies tanaman ini sebagai elemen penting didapati saat pemilik mengunjungi Chiang Mai yang memiliki himpunan pelbagai spesies Bromeliad.

Koleksi bromeliad diserlahkan bermula di bahagian hadapan di sebalik kayu keras iras batu yang disandarkan kepada dinding kediaman. Kayu kukuh yang dikilatkan ini menjadi rumah tumpangan membentuk habitat semula jadi bagi himpunan Bromeliad bersaiz kecil. Memiliki perniagaan landskap dan pembinaan membenarkan Anantha bereksperimen dengan ruang serta menghasilkan idea kreatif ini.

Selain daripada elemen landskap lembut yang majoritinya dimonopoli oleh Bromeliad, kehadiran tanaman gantung, elemen air dan batu melengkapkan lagi idea hutan kecil yang dicipta. Menambah fungsi ruang, di bahagian kiri pintu masuk disediakan tempat rehat dilengkapi kerusi dan meja taman buatan kayu kukuh. Bertentangan ruang ini tersergam indah koleksi Bromeliad memenuhi setiap inci ruang taman yang didasari alur air kecil dengan takungan untuk ikan-ikan berenang justeru mencetuskan ambien mendamaikan.

“Taman ini dibina dengan jiwa. Setiap inci taman ini mendapat sentuhan daripada saya sendiri. Sama ada pemilihan tanaman, sistem penyiraman mahupun lokasi tanaman, ia haruslah menetapi keperluan dari segi kuantiti air serta cahaya. Penelitian ini akan menghasilkan taman yang mudah hidup serta kekal berseri,” ujar pemilik saat penulis menyuarakan kekaguman.

Menolak dakwaan Bromeliad sukar untuk dijaga, Anantha mengakui melakukan sendiri  penyelidikan dan eksperimentasi bagi memastikan tanaman tersebut mampu survive di kawasan kediamannya. “Saya mengambil masa selama tiga bulan untuk memahami cara hidup Bromeliad dan karakter tumbuhan ini. Pelbagai penemuan menarik yang didapati sepanjang proses penyelidikan antaranya formula untuk menyuburkan tanaman jenis ini dengan menggunakan enzim buluh,”ujar Anantha lagi tanpa berahsia.

Tujuh kali menukar konsep taman sepanjang 13 tahun menghuni kediaman ini membuatkan Anantha semakin memahami dan fasih mengenai rentak bahasa tubuh setiap tanaman. Maka dengan itu, beliau mencabar diri memilih tanaman Bromeliad sebagai pilihan utama dalam membangkitkan karakter hutan yang diingini.

Bagi menguatkan lagi elemen landskap lembut di kawasan di sekitarnya, tanaman renek berdaun lebar Etlingera elatior dan Calathea lutea dijadikan vertikal landskap mencipta tumpuan di bahagian belakang. Manakala tanaman spesies Juniperus dan Draceana draco diletakkan di tengah-tengah taman bagi menonjolkan bentuk strukturalnya yang unik.

Mengakui menghadapi kesukaran di awal pembinaan taman ini, Anantha kini mampu tersenyum melihat keindahan tamannya. “Dengan bantuan teknologi dan sedikit ilmu, taman ini mampu kekal segar. Sistem penyiraman berbentuk saluran PVC halus sepanjang 60 kaki yang dibina di sekitar taman membekalkan air kepada tumbuhan dalam bentuk kabus sebenarnya banyak membantu mengekalkan kesuburan Bromeliad serta tanaman memanjat,”ujar Anantha.

Saat ditanya lokasi kegemaran di tamannya pula, bekas pegawai khas polis ini pantas menjawab setiap inci taman istimewa baginya. “Setiap sudut mempunyai perspektif pemandangan yang berbeza. Saya suka menghabiskan masa di luar untuk menikmati kemerduan bunyi alam sambil bermeditasi. Ia bagus untuk memberikan ketenangan kepada jiwa,” tambah Ananth.

Menurut pemilik lagi, bagi memastikan minda dan fizikal berfungsi dengan cemerlang, kedua-duanya perlulah mendapat rehat yang secukupnya. Jadi, melalui terapi seperti melihat keindahan pemandangan taman, mendengar bunyi daripada elemen air, bersahabat dengan unggas liar dan menghirup udara segar pasti mencipta suasana rehat menenangkan.

Terdapat kira-kira 35 jenis spesies Bromeliad di dalam taman ini, warna-warna helaian dedaun membangkitkan ilusi persis taman fantasi. Tambahan pula kehadiran sebuah menara pandang yang dikekalkan daripada reka bentuk taman terdahulu mewujudkan ruang santai tersendiri. Dibina sebagai ruang alternatif bagi menyambut tetamu terdekat, lokasinya yang sedikit tinggi memberikan privasi kepada tetamu.

Uniknya reka bentuk taman ini, kebanyakan bahagian ditutupi lapisan batu kerikil dan batu sungai bersaiz sederhana. Batu-batu boulders ini membentuk kawasan berbatu sesuai sebagai habitat tanaman jenis ini yang tidak memerlukan tanah dan kawasan luas. Ruang santai dan taman tidak mempunyai sempadan nyata yang membezakan fungsinya. Penggunaan pelantar kayu di sepanjang anjung dilengkapi perabot luar menjelmakan kesinambungan ruang yang sangat mesra. Penulis sendiri berkaki ayam menerokai keseluruhan kawasan taman.

Setiap ruang mempunyai jalinan perhubungan yang memudahkan eksplorasi ke dalam taman.  Sebagai contoh, untuk memandu pengunjung menuju ke menara pandang, jambatan kayu kecil yang melintasi alur sungai buatan menjadi perantara antara dua ruang ini. Sudut pemandangan merangkumi 360 darjah boleh dilihat dengan jelas dari kedudukan jambatan kecil ini. Di kedua-dua sisi dipenuhi tanaman Bromeliad jenis airplant dan Guzmania memenuhi celah-celah susunan batu. Tunggul kayu pokok rendang pula dijadikan rumah persinggahan buat tanaman ini.

Idea kreatif pemilik bukan hanya dikembangkan melalui bentuk keseluruhan taman, malahan sekecil-kecil elemen turut diberi perhatian. Bunyi air yang lembut dan perlahan daripada kincir air yang diletakkan di dalam kolam ikan memberikan impak besar kepada taman ini. Sayup-sayup irama tersebut diselang-seli dengan kocakan air ikan berenang membangkitkan kedamaian seperti di dalam sebuah hutan kecil.

Nikmat ini bukan sahaja boleh dirasai ketika waktu siang hari, malahan keindahan ini berterusan kala bulan muncul di langit kelam. Benarlah menurut pemilik, bahawa tamannya dikatakan berjaya bukan sahaja disebabkan usahanya sahaja, malahan teknologi terkini menjadi salah satu elemen penting di tamannya. Jadi, tidak hairanlah taman ini sentiasa dikunjungi dan tiada beza siang dan malamnya.

Ketika hari semakin gelap, pemilik menyalakan lampu LED memancarkan cahaya terus ke permukaan taman. Impak indah tersebut penulis gambarkan sebagai sebuah taman fantasi yang dipenuhi tumbuhan berwarna-warni. Tanaman berjuntai lurus turut membiaskan sinaran ini menghasilkan tirai bercahaya indah. Manfaatnya penggunaan lampu LED ini dapat mencerahkan taman dan memberikan peluang menggunakannya setiap masa.

Secara keseluruhannya landskap di taman ini kelihatan berjaya dengan pelbagai elemen yang saling melengkapi. Landskap lembut serasi disatukan bersama elemen landskap kejur serta susun aturnya mewujudkan kedamaian umpama filem fantasi Avatar. Sedikit sentuhan aksesori taman turut menyuntik kehidupan di dalam taman ini. Bak kata pemilik, taman seharusnya dilakar dengan penuh seni melalui jiwa dan sanubari bukan hanya ‘menyumbat’ dan memenuhi ruang-ruang kosong di antaranya sahaja.

Komen anda

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: