Apakah membuatkan kediaman anda kelihatan sempurna? Sudah tentulah rekaan seni dalamannya. Namun bukan itu sahaja yang perlu anda fikirkan. Selain konsep dekorasi tertentu dengan aturan perabot yang gah, sentuhan segar perlu diwujudkan dalam apa jua ruang. Apa yang perlu anda buat adalah meletakkan bunga-bunga segar di dalam pasu yang berpadanan.

Sekiranya anda tidak pasti jenis dan warna bunga yang sesuai, paling selamat untuk anda indahkan ruang di dalam kediaman adalah dengan memilih bunga berwarna putih. Anda boleh kombinasikan bunga putih ini dengan pilihan pasu yang cantik atau aksesori perhiasan berwarna lain. Percayalah, pasti kediaman anda akan kelihatan bersih, cozy dan elegan. #

GODAAN DI RUANG TAMU

Di dalam kediaman, ruang tamu menjadi tempat yang perlu diutamakan. Baik dari segi dekorasi dan pemilihan perabot, kehadiran bunga putih yang dipamerkan di atas meja kopi bersebelah aksesori perhiasan lain mampu mengundang kemesraan. Malah juga membangkitkan aura elegan keseluruhan ruang tersebut. Untuk ruang ini, pilihlah bunga jenis gugusan kelopak besar dan merimbun seperti Lili, Ros, Hydrangea atau Hyacinth putih. Sebaik-baiknya gunakan bunga hidup yang diletakkan di dalam pasu atau balang berkaca telus pandang.

KETENANGAN RUANG BERADU

Bilik tidur yang ringkas mampu tampil lebih mempesona dengan kehadiran bunga-bungaan. Ia juga membuatkan keadaan sekitar menjadi segar dan tenang. Anda boleh menambah kreativiti sendiri dengan meletakkan bunga dalam pasu atau bekas rekaan menarik. Bunga putih seperti Ros, Carnation dan Kekwa dapat juga melembutkan suasana. Bersama bunga tersebut, adun elemen hijau dengan mengubahnya bersama daun paku-pakis.

PENYERI MEJA MAKAN

Seperti juga di ruang tamu, hiasi meja makan anda dengan bunga-bungan segar. Mungkin kelihatan agak kaku jika hanya mempamerkan pinggang mangkuk, sudu dan garfu atau gelas dan cawan sahaja di atasnya. Tambahan pula jika ia berwarna putih, perak atau telus pandang. Tetapi kehadiran bunga akan menambah seri pada ruang ini.

Sebagai panduan, anda boleh gabungkan bunga putih dan warna lain dalam kumpulan bunga yang sama. IMPIANA syorkan anda meletakkan bunga Hydrangea atau Ros dan pastikan bunga digubah lebih tinggi daripada bekas lilin, gelas dan sebagainya.

KAMAR MANDI SEGAR MEWANGI

Bilik mandi atau bilik air antara ruang yang jarang diberikan perhatian pemilik kediaman di negara kita. Kadang kala ruang yang suram tanpa dekorasi menarik ini juga dibiarkan sehingga menyebabkan bau kurang mesra. Tidak kira seringkas mana dekorasi di ruang bilik mandi anda, cuba hadirkan suasana lebih wangi. Bunga putih bukan hanya kelihatan suci tetapi menambah seri ruang ini. Walaupun sekuntum bunga Orkid, Lili , Harum Sundal Malam atau Tuberose mampu mewangikan ruang ini.

SUNTIKAN LEMBUT DI DAPUR

Tidak ketinggalan ruang dapur juga perlu disuntik rasa segar dan tenang. Kehadiran bunga-bungaan putih mampu mewujudkan aura lembut dan lapang. Letakkan jambangan bunga Ros, Kekwa atau Orkid putih hidup pada satu sudut yang sedikit jauh daripada ruang memasak.

Komen anda

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: