Bercerita tentang sejarah kewujudan Hotel Lone Pine, ia bermula seawal tahun 1948 lagi. Lone Pine pada asalnya merupakan sebuah kediaman banglo kepunyaan seorang pengamal perubatan di Georgetown berbangsa Australia, Dr Albert McKern yang telah menyewakannya kepada sebuah keluarga Cina yang berhasrat untuk mengusahakan perkhidmatan hotel di Batu Ferringhi.

Secara kebetulan berhampiran dengan banglo tersebut terdapat sebatang pokok rhu. Kerana bentuknya hampir sama, spesies pokok ini secara tidak sengaja telah dinamakan sebagai pokok pine. Bermula dengan hanya 10 buah bilik sahaja, Lone Pine merupakan hotel pertama dan destinasi percutian tepi pantai terbaik, dan sebagai pilihan untuk melepaskan diri dari kehangatan iklim tropika, oleh para pengusaha tanaman British dan penjawat awam era kolonial sebelum kemerdekaan Malaya pada waktu itu. Sehingga hari ini, hotel ini masih lagi dikelilingi oleh pokok-pokok rhu tersebut dan menjadi trademark kepada kewujudan hotel ini sehingga kini.

 

Lokasi Strategik Pemangkin Kemudah sampaian
Hotel Lone Pine yang terletak di Batu Ferringhi merupakan kawasan pantai yang terkenal dengan kedamaiannya. Ia berada 17 km dari Gerogetown dan 31 km dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Berdekatan dengan kawasan hiburan dan hanya beberapa minit dari Eden Paradise Shopping Center dan East Wind Watersports. Ia juga berhampiran dengan Tropical Spice Garden dan Penang Water Sports Center. Night Market Batu Ferringhi yang terkenal itu juga hanyalah beberapa minit berjalan kaki dari hotel ini. Terdapat pelbagai gerai menjual pelbagai barangan aksesori kecantikan dan pakaian yang dibuka di waktu malam, hanya beberapa langkah dari pintu masuk utama. Kemudahan parkir percuma disediakan kepada tetamu yang memandu untuk menginap.

 

Hotel Lone Pine merupakan satu-satunya hotel yang dibina di lokasi terbaik di sepanjang pesisir pantai. Hotel bertaraf lima bintang ini telah melalui satu proses pengubahsuaian dan dibuka semula pada tahun 2010 dengan wajah yang lebih menarik, namun dalam masa yang sama mengekalkan reka bentuk kolonial yang mempesonakan. Bilik-biliknya luas, moden, dan direka khusus untuk keselesaan. Dengan hanya mempunyai 90 bilik, ia dikategorikan sebagai sebuah hotel butik, yang turut memenangi beberapa anugerah di dalam kategori tersebut. Kemudahan penginapan merangkumi bilik Deluxe untuk dua orang hinggalah Grand Premier Suites yang boleh memuatkan sehingga enam orang tetamu. Dengan bilik Deluxe bersaiz 45 meter persegi, Hotel Lone Pine dianggap sebagai peneraju kepada kategori bilik standard terbesar di Batu Ferringhi. Apa yang menarik, kesemua bilik-bilik ini menghadap laut dan dikelilingi oleh suasana tropika di dalam persekitaran kontemporari bagi membolehkan tetamu merasai pancaran sinaran matahari dan menikmati tiupan bayu Laut Andaman. Pihak pengurusan hotel juga mementingkan keselesaan penginap apabila turut menyediakan tilam terbaik yang begitu menyelesakan di dalam setiap bilik.

 

Fasiliti Terbaik Pelengkap Suasana
Untuk yang aktif bersukan, kawasan pesisir pantai yang berpasir merupakan lokasi terbaik untuk aktiviti berlari terutamanya pada awal pagi atau lewat petang. Selain daripada itu terdapat pelbagai aktiviti sukan air yang ditawarkan oleh orang perseorangan di kawasan pantai ini. Penulis dapat melihat apabila petang begitu ramai yang menghabiskan masa dengan bermain bola tampar dan bermain jet ski. Hidup sekali suasana di sini. Sangat sesuai untuk bercuti dan melupakan sejenak bebanan kerja di pejabat.

Selain daripada itu terdapat gimnasium berhawa dingin yang mempunyai peralatan lengkap untuk aktiviti menguatkan otot-otot disediakan oleh pihak hotel dan boleh digunakan setiap masa. Salah satu elemen penarik di hotel ini ialah kolam renangnya yang turut dilengkapi dengan jakuzi dan spa salt yang merangsang tubuh serta menyihatkan badan apabila penginap bermandi-manda di sini.

Manakala Pure Energy Spa pula menawarkan perkhidmatan urutan yang bersesuaian oleh pakar-pakar terapi dengan kadar yang berpatutan. Sebagai alternatif, tanpa mengeluarkan belanja, mandian buih mungkin boleh dicuba di dalam bilik. Semua bilik mempunyai sama ada bilik mandi berdiri di dalam atau pun kolam mandi yang disediakan di balkoni dengan pemandangan menghadap laut.

 

Komen anda

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: