
Lautan meliputi lebih 70 peratus permukaan bumi, namun sebahagian besar daripadanya masih kekal sebagai wilayah misteri yang belum diterokai sepenuhnya oleh manusia. Bagi mereka yang sentiasa tertarik dengan dunia bawah laut, pameran terbaharu di ArtScience Museum, Marina Bay Sands, Singapura menawarkan peluang unik untuk menyelami rahsia lautan dalam tanpa perlu memakai sut selam.
ArtScience Museum dengan kerjasama organisasi penerokaan lautan terkemuka dunia, OceanX, mempersembahkan Into the Ocean: Journey Beneath, sebuah pameran multisensori yang menggabungkan seni, sains dan teknologi bagi membawa pengunjung menjelajah ke kawasan lautan yang jarang disaksikan manusia. Pameran ini mula dibuka kepada orang ramai pada 6 Jun dan berlangsung sehingga 1 November 2026.
Apa yang menjadikan pameran ini istimewa ialah pendekatannya yang bukan sekadar memaparkan hidupan laut atau fakta saintifik semata-mata.
Sebaliknya, pengunjung dibawa melalui pengalaman yang direka seolah-olah mereka sedang menyertai misi penyelidikan sebenar bersama OceanX menggunakan kapal penyelidikan canggih mereka, R/V OceanXplorer.
Perjalanan bermula dengan fasa Descent, sebelum pengunjung dibawa merentasi beberapa zon berbeza yang mewakili lapisan lautan sebenar iaitu Photic Zone, Twilight Zone dan Aphotic Zone.
Semakin jauh perjalanan diteruskan, suasana menjadi semakin gelap dan misteri, menampilkan pelbagai spesies laut dalam yang jarang ditemui serta ekosistem unik yang memainkan peranan penting dalam keseimbangan iklim dunia dan biodiversiti global.
Menurut Adrian George, Pengarah Program, Pameran dan Perkhidmatan Muzium ArtScience Museum, matlamat utama pameran ini adalah untuk menjadikan dunia laut dalam yang kompleks lebih dekat dan mudah difahami oleh orang ramai.
“Lautan dalam kekal sebagai antara persekitaran yang paling kurang difahami di bumi – luas, kompleks dan jauh daripada pengalaman harian kita.
“Melalui Into the Ocean: Journey Beneath, kami mahu membuka dunia itu dengan cara yang terasa lebih dekat dan nyata.
“Kerjasama dengan OceanX membolehkan kami membina pameran ini berasaskan misi, penyelidikan dan penemuan sebenar yang menggabungkan ilmu sains serta semangat penerokaan manusia.
“Kami berharap pengunjung bukan sahaja kagum dengan keindahan lautan, tetapi turut menghargai peranannya dalam menyokong kehidupan di bumi.”
Sepanjang pameran, pelbagai karya daripada artis dan kolektif antarabangsa dipamerkan, termasuk hasil karya daripada Marshmallow Laser Feast (United Kingdom), Marco Barotti (Itali), Jana Winderen (Norway), Robertina Šebjanič (Slovenia) dan beberapa lagi nama terkenal dalam dunia seni kontemporari.
Antara pengalaman paling unik yang ditawarkan ialah pemasangan seni bertajuk Invisible Ocean oleh artis Norway, Sissel Tolaas.
Karya ini menggunakan konsep “smellscape” atau landskap bau yang membolehkan pengunjung mengalami suasana lautan melalui deria bau.
Menggunakan sampel lautan dari Costa Rica dan kajian kimia molekul, karya tersebut menterjemahkan biodiversiti serta kerapuhan ekosistem marin dalam bentuk aroma yang boleh dihidu oleh pengunjung.
Ia sekali gus memberikan dimensi baharu dalam memahami hubungan manusia dengan alam sekitar.
Setiap zon dalam pameran menawarkan pengalaman berbeza.
Di Photic Zone, pengunjung dapat melihat ekosistem terumbu karang yang berkembang pesat, termasuk sampel teras terumbu yang diperoleh daripada perairan Singapura dan mewakili lebih 8,000 tahun sejarah pembentukan terumbu karang.
Pengunjung juga boleh mengendalikan simulasi kapal selam OceanX menerusi pengalaman interaktif Dive and Discover.
Perjalanan kemudian diteruskan ke Twilight Zone, kawasan yang menjadi penghubung antara cahaya dan kegelapan lautan.
Di sini, teknologi visualisasi data digunakan untuk menunjukkan bagaimana arus laut mempengaruhi sistem iklim dunia.
Sementara itu, di Aphotic Zone, pengunjung berpeluang menyaksikan rakaman eksklusif OceanX serta spesimen laut dalam yang hidup dalam keadaan gelap sepenuhnya.
Selain memberi pengalaman visual yang mengagumkan, pameran ini turut membawa mesej pemuliharaan yang jelas.
Bahagian akhir pameran, Resurface, dibangunkan bersama World Wide Fund for Nature (WWF) Singapura.
Melalui ruang ini, pengunjung diperkenalkan kepada projek pemulihan padang lamun (seagrass) serta usaha pemuliharaan marin yang sedang dijalankan di rantau Asia Tenggara.
Menurut Pengasas dan Co-CEO OceanX, Mark Dalio, pendidikan dan pengalaman merupakan kunci utama dalam meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan lautan.
“Orang akan melindungi apa yang mereka fahami, dan mereka memahami apa yang mereka alami sendiri.
Dengan menggabungkan sains, penceritaan, teknologi dan penerokaan, pameran ini membuka peluang kepada pengunjung untuk memahami lautan dengan cara yang sukar dicapai menerusi kaedah pendidikan tradisional.”
“Kami berharap pengunjung akan pulang dengan pemahaman yang lebih mendalam tentang lautan dan hubungan yang lebih kuat dengan masa depannya.”
Sebagai pelengkap kepada pameran ini, ArtScience Museum turut menganjurkan Sustainable Futures Film Festival dari 12 Jun hingga 31 Ogos 2026.
Festival tersebut menampilkan 12 tayangan filem percuma yang memfokuskan kepada sains lautan, perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar.
Antara filem utama yang ditayangkan ialah A Life Illuminated (2025), yang mengisahkan ahli biologi marin terkenal Edith Widder dan kajiannya mengenai bioluminesens laut dalam, serta Blue Carbon: Nature’s Hidden Power yang menyorot kepentingan ekosistem pesisir dalam menyimpan karbon dan melindungi biodiversiti.
Bagi mereka yang merancang percutian singkat ke Singapura dalam beberapa bulan akan datang, Into the Ocean: Journey Beneath menawarkan pengalaman yang bukan sahaja menghiburkan, malah membuka perspektif baharu mengenai dunia lautan yang selama ini tersembunyi jauh di bawah permukaan bumi.