
Pernah tak rasa terbeban nak bayar duit pinjaman rumah? Ada tu sampai tertunggak berbulan-bulan lamanya. Kenapa perlu berlaku demikian sedangkan ada solusi yang paling mudah dan cepat. Jika anda seorang pencarum KWSP, wang di dalam akaun ke-2 boleh digunakan untuk tujuan melunaskan bayaran bulan pinjaman perumahan. Ada tu, boleh setel lebih dari setahun. HA! terkejut dan terujakan?
sebenarnya, kaedah ini ramai yang tak tahu. Kepala diasak setiap hujung bulan untuk lunaskan pinjaman perumahan. Jadi lebih meruncing apabila wang banyak digunakan pada bulan tersebut seperti perbelanjaan anak nak masuk sekolah, raya dan lain-lain. Dengan baki minima RM 600, anda dah boleh mohon untuk keluarkan duit KWSP untuk tujuan pembayaran pinjaman perumahan. Selain KWSP, buat perbandingan loan dengan cepat dan mudah di iMoney. Antara syarat-syarat lain:
KELAYAKAN MEMOHON
1. Ahli belum mencapai umur 55 tahun pada tarikh permohonan diterima oleh KWSP. Umur maksimum yang dibenarkan ialah 54 tahun 6 bulan; DAN
2. Ahli mempunyai simpanan sekurang-kurangnya RM600.00 di dalam Akaun 2
3. Ahli yang layak memohon adalah:
i. Warganegara Malaysia; ATAU
ii. Bukan warganegara Malaysia yang: Menjadi ahli sebelum 1 Ogos 1998; ATAU Mendapat taraf Penduduk Tetap (PR)
SYARAT- SYARAT PENGELUARAN
1. Ahli seorang pembeli sebuah rumah kediaman (jenis banglo / teres / berkembar ATAU Pembina DAN peminjam atas / apartment / kondominium / ‘studio apartment’ / ‘service apartment’ / ‘townshouse’ / SOHO atau rumah kedai dengan unit kediaman
2. Mempunyai baki pinjaman perumahan daripada insititusi yang dibenarkan bagi tujuan membeli atau membina rumah dengan mana-mana institusi pemberi pinjaman berikut:
- Institusi kewangan yang dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 atau Akta
PerkhidmatanKewangan Islam 2013 - Kerajaan Pusat / Negeri atau lain-lain agensi kewangan kerajaan
- Majikan ahli
- Koperasi / syarikat kerjasama yang berlesen (diluluskan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia)
- Syarikat Insurans berlesen yang diluluskan oleh Bank Negara Malaysia
3. Pemberi pinjaman yang dibenarkan oleh KWSP Simpanan yang dikeluarkan adalah untuk membayar pinjaman ansuran bulanan sebenar yang telah bermula
4. Pembiayaan semula (‘re-finance’)
- Baki pinjaman yang diambilkira adalah merujuk kepada baki pinjaman perumahan asal yang diambil daripada pemberi pinjaman pertama atau mengikut baki pinjaman terkini, yang mana terendah
- Jika melibatkan beberapa pemberi pinjaman, surat tebus hutang akan dibandingkan dengan baki terkini bagi menentukan amaun yang layak diambilkira untuk pengeluaran
- Permohonan ahli tidak layak jika baki pinjaman asal telah selesai
5. Pengeluaran ini boleh dibuat untuk mana-mana rumah di Malaysia tertakluk kepada sebuah rumah bagi setiap ahli.
Pengeluaran seterusnya (sekiranya masih ada baki pinjaman) hanya boleh dibuat bagi rumah yang sama
6. Boleh membuat pengeluaran dalam tempoh 30 hari sebelum tarikh ansuran bermula. Bagaimanapun, bayaran pengeluaran hanya akan bermula selepas tarikh ansuran sebenar berkuatkuasa
7. Boleh membuat pengeluaran seterusnya (sekiranya masih ada baki pinjaman) pada bila-bila masa dan paling awal 30 hari sebelum tarikh pembayaran ansuran bulanan yang terdahulu selesai
8. Boleh membuat pengeluaran secara serentak sama ada untuk Mengurang / Menyelesaikan Baki Pinjaman Perumahan mengikut jenis pengeluaran sedia ada DAN Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan
9. Tempoh bayaran bulanan yang dipohon adalah tidak melebihi umur 55 tahun
10. Ahli yang mempunyai tunggakan pinjaman perumahan yang berstatus NPL (’Non Performing Loan’) dibenarkan untuk memohon Pengeluaran Ansuran Bulanan Pinjaman Perumahan (PABPP) dengan syarat bayaran dibuat kepada pemberi pinjaman
11. Bagi ahli yang sedang menerima bayaran bulanan di bawah PABPP dan didapati mempunyai tunggakan pinjaman perumahan, permohonan PABPP ahli tidak dibatalkan tetapi kaedah bayaran ditukar kepada pemberi pinjaman
Untuk maklumat lanjut klik sin
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
75 Do’s And Don’ts Bila Pindah Rumah

75 Do’s And Don’ts Bila Pindah Rumah. Apabila berpindah ke rumah baru tentunya banyak perkara yang perlu dilakukan. Bermula daripada mengemas barang-barang dan urusan-urusan lain, tentunya ia memeningkan kepala.
Tutup mata tarik nafas dan hembus, semudah ABC bukan! Macam itu jugalah kalau nak pindah rumah baru, sepatutnya kena la happy sebab dapat rumah baru, tak begitu?
Berikut dikongsikan 75 tip pindah rumah untuk anda di luar sana. Jom baca dan cuba!
- SISIH DAN BUANG BARANG YANG TIDAK DIPERLUKAN
Untuk buang semua memang agak mustahil, tetapi setidak-tidaknya buang barang-barang yang telah rosak atau memang tidak diperlukan langsung.
- SUSUN BARANG MENGIKUT KATEGORI
Setelah asingkan barang-barang yang tidak diperlukan, susun barangan yang masih diperlukan mengikut kategori dan labelkan.
- RANCANG PROGRAM MENDERMA
Selain menjual barang yang masih dalam keadaan baik tetapi tidak diperlukan lagi, apa kata anda rancang satu tarikh untuk lakukan aktiviti menderma. Tetapkan satu hari dan pilih lokasi atau rumah kebajikan yang bersesuaian untuk dihantar barangan tersebut.
- ASINGKAN BARANG YANG HENDAK DIJUAL
Kerja-kerja pindah rumah memerlukan kos yang tinggi apatah lagi terpaksa menyewa lori besar jika barang terlalu banyak. Untuk meringankan beban tersebut, apa kata jual barang-barang yang tidak diperlukan lagi tetapi masih dalam keadaan baik. Asingkan barang- barang tersebut daripada barang-barang yang akan dibawa pindah bersama.
- DAPATKAN BANTUAN PROFESIONAL
Pening atau tidak ada masa untuk menguruskan barang? Apa kata dapatkan khidmat rundingan dan kontraktor professional yang dapat membantu anda menguruskan semua barang yang perlu dipindahkan sehingga siap. Biasanya syarikat rundingan ini mengenakan cas mengikut.
- PILIH HARI YANG SESUAI UNTUK BERPINDAH
Pilih satu tarikh khas untuk berpindah dan pastikan hari tersebut tiada sebarang program yang dirancang. Sebaiknya, peruntukan satu hari sebelum dan selepas berpindah untuk tempoh yang lebih ideal bagi kelancaran proses perpindahan.
- RANCANG PERJALANAN
Kenal pasti lalun paling mudah dan cepat untuk ke lokasi rumah baru. Jika anda melantik perkhidmatan lori atau kontraktor untuk memindahkan barang, salurkan maklumat tersebut kepada mereka juga untuk melancarkan lagi perjalanan.
- BUAT TO-DO LIST
Senaraikan setiap perkara yang perlu dilakukan mengikut turutan termasuklah tarikh berpindah, barang yang perlu dijual, ruang yang perlu dikemas dan sebagainya. Ia bagi melancarkan lagi proses perpindahan dan dapat mengelak sebarang penundaan.
- TAMPAL KALENDAR PROGRAM PINDAH RUMAH
Selesai senaraikan semua to-do list dalam kertas, sekarang tulis pula dalam kalendar besar dan tampalkan di dinding. Kaedah ini memudahkan anda melihat senarai yang perlu dilakukan hari ini dan berikutnya. Tampal pada dinding dan tulis menggunakan font besar.
- KUMPULKAN KOTAK
Beli atau cari kotak secukupnya. Pastikan kotak yang digunakan berkualiti untuk mengelak sebarang masalah. Kotak yang kurang berkualiti seperti sudah usang dan nipis. Kotak sebegini mudah koyak. Pilihan banyak jika anda ke kedai-kedai runcit atau lebih baik pasar raya untuk mendapatkan kotak-kotak terpakai yang berkualiti.
- SIMPAN BARANG ELEKTRIK DALAM KOTAK ASAL
Sebaiknya apabila anda membeli barangan elektrik jenis sensitif terutamanya televisyen, pemain cakrapadat dan lain-lain, simpan kotaknya. Gunakan semula kotak tersebut untuk membungkus kelengkapan elektrik saat berpindah.
- SINGAH KEDAI HARDWARE
Sebelum melakukan sebarang kerja-kerja membungkus, pastikan segala keperluan telah tersedia. Barangan asas seperti gunting, pisau (cutter) pita pelekat, tali, marker, sarung tangan adalah antara barangan yang mustahak. Bagi mengelakkan ada yang terkepas pandang, senaraikan terlebih dahulu sebelum membeli. Semua barang ini mudah diperoleh di kedai jualan barangan logam (hardware) atau kedai DIY.
- SEDIAKAN BEKALAN TAMBAHAN
Jangan terlalu berkira. Lebihkan sedikit kuantiti barang keperluan perpindahan. Anda mungkin memerlukannya di rumah baharu. Antara barang tersebut adalah kotak, plastik sampah, mentol, power stripe, surat khabar lama dan lain-lain lagi.
- JADUALKAN PEMOTONGAN UTILITI
Susun atau jadualkan keperluan utiliti seperti bil air, elektrik, internet dan sebagainya yang perlu diputuskan atau dipindah ke unit kediaman baru. Kebiasaanya, proses pemotongan boleh di lakukan dalam tempoh 24 jam, namun untuk pemindah seperti akaun tv dan internet memakan masa seminggu. Jadi, rancang sebaik mungkin tarikh pemotongan utiliti mengikut keperluan anda.
- DAPATKAN BANTUAN LEBIH AWAL
Jika anda perlukan bantuan ahli keluarga lain atau sahabat handai untuk membantu proses perpindahan, segera maklumkan mereka. Sebaiknya, notis mereka sebulan awal atau selewat-lewatnya 2 minggu sebelum.
- MENGEMAS LEBIH AWAL
Barang-barang yang tidak diperlukan seperti pinggan mangkuk, buku, peralatan memasak dan sebagainya boleh disimpan di dalam kotak secara perlahan-lahan lebih awal.
- PEK BARANG DEKORATIF DULU
Antara item yang paling awal perlu di kemas adalah barang perhiasan, ornamen dan dekoratif yang terdapat di dalam kediaman anda. Jika rumah baharu sedia kosong atau diduduki, mungkin anda boleh bawa barang-barang tersebut terlebih dahulu sebelum tibanya masa tarikh pindah sebenar. Cara ini juga dapat mengelak masalah barang-barang yang memerlukan pengurusan yang teliti seperti pasu seramik, bingkai gambar daripada mudah pecah.
- TUKAR ALAMAT SURAT MENYURAT
Pastikan alamat surat menyurat telah di tukar sekurang-kurangnya seminggu sebelum pindah. Hantar notis penukaran alamat anda pada semua bil-bil dan agensi-agensi lain termasuk kad kredit, insuran dan sebagainya. Nanti, tak adalah segala butiran penting yang dihantar tidak sampai ke tangan anda.
- LABELKAN SETIAP BUNGKUSAN BARANG
Tak kiralah bungkusan kotak mahupun plastik, labelkan setiap satu dengan terperinci. Antara info yang perlu dipaparkan pada kotak bungkusan anda ialah jenis barang secara terperinci dan ruang kediaman. Ia memudahkan pencarian dan pengurusan. Jadi, tak perlu lah anda punggah setiap kotak untuk mencari barang-barang yang diperlukan dan susun bungkusan terus ke ruang yang telah dinyatakan.
- GUNAKAN SISTEM NOMBOR
Untuk teknik label bungkusan yang lebih baik, gunakan system nombor pada bungkusan. Masukkan data-data bagi setiap kotak di dalam aplikasi-aplikasi data yang boleh di download secara percuma dari laman sesawang.
- GUNAKAN KOTAK KECIL UNTUK BARANG BERAT
Elak bungkusan anda sukar dan berat untuk diangkat, gunakan kotak-kotak kecil untuk mengisi barang-barang yang berat seperti buku. Biar banyak kotak bungkusan daripada menggunakan satu kotak yang besar dan terlalu berat untuk diangkat dan berisiko koyak dengan mudah.
- GUNAKAN PITA PELEKAT KUAT
Ramai yang ambil lewa untuk memilih pita pelekat walhal ia merupakan barang asas paling penting. Pastikan, anda pilih pelekat tahan lasak dan bersaiz sekurang-kurang 3 inci bagi melekatkan kotak dan barang bungkusan. Tidak kiralah sama ada kecil atau besar kotak yang digunakan. Pastikan pelekat yang digunakan tahan lasak.
- CARA BUNGKUS BARANG MUDAH PECAH
Gunakan timbunan surat khabar lama yang banyak semasa proses perpindahan. Masa ini lah ia boleh digunakan. Bungkus barang-barang mudah pecah seperti pinggan mangkuk, gelas dan cawan, barang dekoratif dan sebagainya dengan menggunkan kertas surat khabar. Lagi tebal, lagi bagus selain itu juga, boleh gunakan bubble wrap atau selimut. Pastikan anda balut setiap satu barang.
- BUNGKUS PINGGAN MANGKUK SECARA MENEGAK
Salah satu tip tidak mudah pecah dan jimat ruang bagi pinggan mangkuk, ia perlu disusun secara menegak. Namun, pastikan setiap pinggan telah dibalut rapi terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam kotak bungkusan.
- ELAK BARANG MANDIAN TUMPAH
Bagi mengelakkan cecair mandian tertumpah dari bekasnya, lapiskan plastic wrap pada mulut botol untuk lebih kedap. Susun semua dalam baldi atau kotak.
- Letak barangan yang diperlukan segera ke dalam bekas plastik lutsinar
Ini termasuklah gunting atau pisau untuk membuka kotak, beberapa peralatan memasak yang utama, plastik sampah, kain lap, pengecas telefon dan lain-lain alatan yang relevan. Dengan adanya alat keperluan penting, anda berasa lebih selesa dan bersedia untuk meneruskan kerja-kerja memunggah.
- Berhenti membeli barangan runcit seminggu sebelum anda berpindah
Bagi mengelakkan rasa serba salah, anda disarankan untuk berhenti membeli lagi barangan runcit sekurang-kurangnya satu atau dua minggu sebelum anda dijadualkan untuk berpindah. Cuba untuk masak dan habiskan sahaja kesemua bahan mentah yang tinggal.
- Ambil gambar alatan elektronik sebelum anda cabut semua wayar
Sebelum anda cabut dan tanggalkan segala wayar yang bersambung dan menyimpannya ke dalam kotak, pastikan anda mengambil gambar bahagian belakang peranti elektronik tersebut bagi memudahkan proses pemasangan semula.
- Buat salinan untuk dokumen-dokumen penting
Sijil kelahiran, kad pengenalan, bil-bil dan semua dokumen penting perlu ada salinan sebagai langkah keselamatan jika terdapat kecemasan ketika proses perpindahan. Asingkan dan letak salinan di dalam fail yang mudah dilihat dan dicapai
- Asingkan kotak yang telah dipek mengikut bilik masing-masing
Pek barang ke dalam kotak dan labelkan mengikut bilik atau ruang. Contohnya, letakkan perkakas dapur bersama-sama dan hiasan di ruang tamu dipek ke dalam satu kotak yang lain. Dengan cara itu, anda boleh memunggah semua barangan dengan lebih teratur dan sistematik.
- Nyah beku peti ais sebelum berpindah
Defrost peti ais sebelum dibawa ke kediaman baru sekurang-kurangnya sehari sebelum berpindah. Ini adalah untuk mengelakkan air daripada ais yang mencair meleleh dan tumpah ketika proses pemindahan selain untuk mengekalkan kebersihan dan kesegaran peti sejuk berkenaan.
- Masukkan dahulu perabot berat ke dalam lori sebelum barangan yang lain
Perabot yang besar dan berat seperti sofa atau meja makan perlu dimuatkan ke dalam lori terlebih dahulu kemudian diikuti dengan kotak-kotak serta barangan yang lain. Hal ini adalah bagi memudahkan pekerja untuk menyusun kedudukan barangan sesuai dengan muatan yang perlu dibawa.
- Ambil gambar setiap sudut rumah baru sebelum memindahkan apa-apa perabot
Sebelum memindahkan apa-apa barangan ke rumah baharu, anda disarankan untuk mengambil gambar segenap ruang kosong tersebut terlebih dahulu. Dengan cara ini, anda dapat menentukan kedudukan dan susun atur yang sesuai untuk kediaman baru. Selain itu, dengan mengambil gambar terlebih dahulu, anda juga boleh mengenalpasti sebarang kerosakan yag ada.
- Sebaik sahaja berpindah ke rumah baru, kemaskan katil terlebih dahulu
Percayalah, setelah seharian bekerja keras memindah dan memunggah barangan ke rumah baharu, anda pastinya memerlukan rehat yang secukupnya sebelum menyambung kerja-kerja mengemas. Jadi, perkara pertama yang perlu anda pasang ialah katil untuk tidur dan berehat dengan selesa.
- Pastikan tiada hal penting lain yang bertindih pada hari berpindah
Kosongkan jadual anda pada hari tersebut. Tunda mesyuarat atau temujanji ke hari yang lain supaya anda tidak perlu tergesa-gesa. Fokuskan satu hari untuk urusan perpindahan dan selesaikan perkara-perkara penting dahulu.
- Selesaikan segala bil yang perlu dibayar
Memang kedengaran remeh tetapi adakalanya perkara mudah seperti inilah yang sering kita terlepas pandang. Jadi, pastikan semua bil telah dibayar dan tiada lagi bayaran tertunggak kerana kelak ia akan menyusahkan hidup anda juga.
- Selidik atau lakukan research tentang perkhidmatan lori sewa
Sebelum memutuskan untuk menggunakan khidmat lori sewa, anda perlu terlebih dahulu semak latar belakang dan rekod mereka. Manalah tahu jika tersalah pilih nanti akan memudaratkan reputasi anda selain melambatkan proses perpindahan.
- Semak terlebih dahulu jika kediaman baharu anda memerlukan permit atau kebenaran khas untuk lori masuk
Sesetengah kawasan kediaman memerlukan permit atau surat kebenaran untuk kenderaan luar. Ini adalah bagi tujuan keselamatan dan keselesaan penduduk juga. Perkara ini anda boleh tanyakan di bahagian pengurusan kediaman baharu anda. Jika perlu, sediakan maklumat yang lengkap supaya semuanya berjalan dengan lancar.
- Elak merenung dan mengenang perkara lama ketika mengemas barang
Memang mudah hilang fokus ketika mengemas barang-barang lama yang penuh nostalgia. Tetapi perkara itu akan melambatkan kerja mengemas anda. Oleh itu, elakkan mengenang perkara lalu dan fokus pada aktiviti mengemas sahaja.
- Jika anda menyewa, ambil gambar rumah lama yang sudah siap dibersihkan sebelum pindah masuk ke rumah baharu
Perkara ini sebenarnya penting sebagai bahan bukti yang anda telah membersih dan mengemas rumah lama itu sebelum meninggalkannya. Ini juga sebagai jaminan untuk anda dapatkan semula duit deposit. Anda tidak rugi, tuan rumah pun senang hati.
- Pastikan semua kaca dan cermin disusun menegak
Sebagai langkah keselamatan, susun peralatan kaca anda dengan susunan menegak. Cara ini juga dapat menjimatkan ruang penyimpanan. Selain itu, pastikan juga tiada sebarang item lain diletakkan diatasnya ketika proses perpindahan.
- ‘Back up’ atau simpan salinan fail dan dokumen penting dari alatan elektronik seperti komputer dan laptop
Tidak kiralah urusan kerja mahupun peribadi, sila buat salinan fail ke dalam external hard disc atau pendrive . Kita tidak tahu jika terjadi perkara buruk pada komputer. Sekurang-kurangnya anda sudah ada back up.
- Gunakan kotak asal perkakas dan peralatan elektrik
Anda disarankan untuk menyimpan kotak-kotak asal supaya mudah untuk dipek semula. Keselamatan peralatan juga akan lebih terjamin jika disimpan semula ke dalam kotak yang khas, sesuai dengan saiznya dan kegunaannya.
- Gunakan bubble wrap, selimut ataupun tuala sebagai lapisan perlindungan alatan elektronik
Kain yang tebal seperti tuala dan selimut bukan saja boleh dijadikan pembalut atau lapisan perlindungan untuk barangan kaca, ia juga boleh digunakan untuk peralatan elektronik. Balut dengan kemas sebelum anda masukkan kedalam kotak bagi menjamin keselamatan peralatan elektronik yang berharga.
- Keluarkan bahan sensitif-suhu daripada alatan elektronik anda
Amat penting bagi mengelakkan kemalangan yang tidak diingini berlaku. Pastikan anda alikan sebarang bahan sensitif-haba daripada semua peralatan kerana jika dibiarkan, mungkin akan merosakkan alatan elektronik anda untuk jangka masa yang panjang.
- Cuci dan bersihkan permaidani sebelum dipindahkan
Ya, mungkin pada mata kasar karpet anda nampak bersih sahaja tetapi amat penting untuk anda pastikan kebersihan di rumah baharu nanti. Selain itu, inilah masa paling sesuai jika anda hendak membersihkan permaidani kerana barang-barang yang lain sudah dipek dan tidak akan mengganggu kerja pembersihan.
- Jangan balut permaidani dengan plastik kerana ini akan menyebabkan pertumbuhan kulat dan cendawan
Jangan balut permaidani anda di dalam plastik. Ini merupakan kesilapan yang sering kita lakukan walhal perkara itu akan merosakkan permaidani. Plastik akan menghalang pengudaraan dan akan memerangkap kelembapan sekaligus menggalakkan pertumbuhan kulat dan cendawan. Anda hanya perlu gulungkan dan ikat permaidani tersebut.
- Tanggalkan sarung penutup kerusi atau sofa serta bantal dan simpankannya ke dalam plastik berasingan
Kesemua fabrik pada sofa, bantal dan juga tilam perlu ditanggalkan terlebih dahulu bagi mengelakkan ia rosak dan kotor. Adakalanya kita terlepas pandang dan cuai ketika melakukan kerja-kerja memindahkan perabot kedalam lori, justeru menyebabkan kerugian.
- Elakkan pintu almari dan laci daripada terbuka ketika proses perpindahan
Salah satu cara mudah mengelakkan pintu almari dan laci terbuka ketika proses perpindahan ialah dengan melekatkan pita pelekat padanya.
- Pembahagian tugas
Kerja-kerja mengemas barang sebelum berpindah sehinggalah memunggah barang setelah sampai akan lebih lancar sekiranya masing-masing diberikan tugasan khusus. Lantik seorang ketua dan pastikan setiap orang ambil bahagian dan melakukan tugasan dengan baik.
51) Tempah perkhidmatan sewaan lori pindah barang di awal waktu
Setelah mengenal pasti perkhidmatan lori pindah yang dipercayai serta mempunyai rekod yang baik, anda dinasihatkan untuk menempah tarikh pemunggahan barangan ke dalam lori dengan awal. Ini untuk mengelakkan daripada dikenakan cas berganda kerana membuat tempahan saat akhir. Anda pasti tidak mahu berbelanja lebih untuk perkara yang tidak diingini.
52) Sediakan bajet yang mencukupi
Anda harus faham, proses pindah rumah melibatkan perbelanjaan tertentu juga. Elakkan pembaziran dari segi kos pembelian barangan untuk membungkus peralatan dan servis penghantaran ke rumah baharu. Banyak lagi perkara yang memerlukan perbelanjaan selepas pindah masuk rumah baharu. Ambil langkah penjimatan bijak.
53) Rancang susun atur ringkas dalam rumah baharu
Anda pasti sudah beberapa kali masuk ke rumah baharu sebaik sahaja mendapat kunci kediaman tersebut. Jadi pilih satu hari yang sesuai untuk membuat perancangan susun atur perabot rumah lama di rumah baharu. Anda pasti tidak mahu membazir masa merancang susunan perabot sebaik sahaja ia tiba dari rumah lama.
54) Buat semakan senarai barangan berharga
Pernah dengar kes kecurian berlaku semasa proses memunggah masuk barangan ke dalam lori? Ini merupakan salah satu kawalan keselamatan yang harus diambil oleh tuan rumah agar tiada barangan berharga tercicir, hilang semasa proses perpindahan dijalankan. Sebelum ia berlaku, kita elak dahulu.
55) Beritahu jiran terdekat di rumah baharu
Anda pastinya sudah mengenali beberapa jiran berhampiran. Pastikan sebelum memindah masuk segala barangan rumah, anda beritahu mereka terlebih dahulu tarikh pindah masuk. Pendekatan diplomasi ini dapat mengelakkan anda dicurigai di hari pertama anda menduduki rumah baharu. Apabila hubungan baik dimulakan, mungkin mereka juga akan tampil menghulurkan bantuan tenaga.
56) Lupus sampah dengan betul
Sebaik sahaja selesai proses pemunggahan barang ke dalam lori, anda selaku pemilik rumah lama pastinya orang yang terakhir meninggalkan rumah itu. Ketika ini pasti banyak sampah yang ditinggalkan di hadapan rumah. Adalah molek jika anda pastikan ia dilupuskan dengan betul seperti mengangkutnya terus ke rumah sampah besar bagi mereka yang mendiami kediaman bertingkat seperti apartmen. Jika rumah atats tanah, pastikan sampah tersebut disusun rapi di hadapan rumah tanpa mengganggu keselesaan jiran berhampiran.
57) Ucap selamat tinggal kepada jiran rumah lama
Pastikan anda ucapkan selamat tinggal kepada jiran rumah lama. Ini untuk mengelakkan anda daripada terputus hubungan persaudaraan yang sudah dibina sejak sekian lama. Agama kita juga tidak menggalakkan untuk memutuskan hubungan sesama saudara. Anda juga pasti tidak mahu meninggalkan kenangan manis di rumah lama.
58) Simpan segala kabel elektronik dalam satu kotak
Tindakan ini mengelakkan anda daripada tercari-cari saat ingin memasangnya kembali di rumah baharu. Ingat, anda tidak mempunyai banyak masa untuk mencari semula alat penyambung kabel kerana ia disimpan dalam kotak yang berlainan dengan kabel asal.
59) Jangan terburu-buru membeli barangan basah
Walaupun sudah masuk rumah baharu. Anda masih lagi perlu mengeluarkan segala barangan daripada kotak simpanan dan susun mengikut perancangan. Ketika ini, pembelian barangan runcit tidak digalakkan kerana anda masih lagi belum memutuskan di mana untuk meletakkan item seperti bawang, kentang dan sebagainya lagi. Segala barang runcit berkenaan perlu disimpan dengan baik untuk mengelakkannnya busuk.
60) Letakkan segala skru sambungan katil di dalam satu bungkusan
Tanpa kita sedar, rangka katil yang dibawa tidak boleh didirikan dan digunakan berikutan gagal memasang skru dengan lengkap. Ini terjadi kerana kita tidak menyimpannya dengan cermat semasa proses perpindahan dijalankan.
61) Maklumkan kepada pemilik atau JMB rumah lama tentang perpindahan
Pastikan anda maklum kepada pemilik asal rumah (jika anda menyewa) ataupun JMB (Badan Pengurusan Bersama) bahawa anda sudah tidak mendiami rumah lama tersebut dan berpindah ke kediaman baharu. Ini untuk mengelakkan terdapat cas extra dari segi penyelenggaraan disebabkan kegagalan anda untuk notify pihak pengurusan. Menanggung sesuatu perkhidmatan yang anda tidak gunakan amat merugikan. Jadi elakkan.
62) Anjurkan house warming mengikut kemampuan
Apabila segalanya sudah tersedia dan kemas, jika berkemampuan, anjurkan kenduri kesyukuran/house warming untuk mengeratkan lagi hubungan antara jiran baharu. Ketahuilah bahawa jiran merupakan orang pertama yang akan memberikan respon jika anda ditimpa kecelakaan di dalam rumah.
63) Rangka dengan teliti masa yang diperlukan untuk pindah masuk
Dalam sedang sibuk memunggah barangan dari lori ke rumah baharu, pastikan ia dijalankan mengikut bajet waktu yang ditetapkan. Ini untuk mengelakkan anda mengambil masa yang lama hingga menganggu jiran tetangga dan mengakibatkan anda terpaksa membayar extra charge kepada perkhidmatan sewa lori.
64) Hulurkan jamuan ringkas buat petugas pemindahan lori sewa
Amalan mulia sebegini amat jarang untuk kita lihat kerana kita akan mengeluarkan sedikit belanja untuk mereka yang bertungkus-lumus memindahkan barangan yang berat daripada rumah lama ke rumah baharu. Tindakan ini akan membuatkan rezeki anda lebih murah kerana anda menghargai perkhidmatan yang diberikan. Ya, mereka memang sudah memiliki gaji, tetapi tidak salah kalau kita jamu mereka sedikit juadah air sejuk dan pisang goreng buat bekalan.
65) Uruskan sambungan bekalan air dan elektrik dengan segera
Pastikan sebelum masuk rumah, anda sudah selesaikan segala urusan penyambungan bekalan elektrik dan air ke dalam rumah baharu. Ini untuk membolehkan anda mandi dengan selesa tanpa sebarang masalah gangguan bekalan air.
66) Rancang jadual unpack mengikut bilik atau ruang rumah
Jika rumah yang diduduki hanya anda berdua suami dan isteri, rancangkan perjalanan proses mengemas segala barangan yang telah disimpan dalam kotak dari rumah lama. Unpack mengikut jadual. Ini untuk mengelakkan rumah baharu terlalu bersepah. Sama juga jika anda tinggal bersama rakan-rakan lain. Rancangkan dengan teliti kerana semua orang bekerja dan mempunyai komitmen masing-masing.
67) Uji semua paip dan alatan elektrik
Mungkin proses ini anda sudah lakukan semasa house scouting, sudah masuk rumah pun anda kena buat juga. Ini untuk memastikan semua kepala paip dan suis berfungsi dan dapat mengalirkan air dan kuasa elektrik dengan baik untuk kegunaan seharian anda.
68) Tukar tombol kunci dan mangga rumah
Jika rumah yang bakal anda diami itu adalah rumah subsale atau rumah sewa, dapatkan kebenaran daripada tuan rumah (rumah sewa) untuk menukar segala kunci atau tombol pintu. Ini untuk mengelakkan rumah anda daripada dimasuki bekas penyewa lama. Masa yang sama anda tidak tahu berapa ramai orang yang memiliki kunci pendua kepada rumah anda.
69) Dapatkan khidmat semburan serta baiki lubang asing
Jika semasa pemeriksaan rumah, pastikan anda sudah memeriksa setiap sudut terpencil dalam rumah seperti sudut dapur, bilik tidur dan bilik air. Anda tidak mahu masuk rumah baru disambut dengan kehadiran lipas, tikus dan pelbagai lagi makhluk perosak di dalam rumah. Jika terjumpa lubang asing, pastikan anda tutupinya dengan segera kerana ia merupakan salah satu laluan tikus dari luar masuk ke rumah anda.
70) Hidupkan semua perkakas elektrik dalam rumah
Apabila semua barang sudah sampai di rumah baharu, periksa segala perkakas elektrik untuk mengetahui ia berfungsi dengan baik atau sebaliknya. Anda boleh periksa ia sebelum naik ke atas lori dan semasa ia sampai ke rumah baharu. Kalau rosak, anda sudah tahu siapa yang perlu bertanggungjawab.
71) Uruskan segera proses perpindahan sekolah anak
Ibu bapa tidak mempunyai masalah untuk memohon cuti semasa proses pindah masuk rumah baru. Anak anda yang masih bersekolah tidak mempunyai alasan untuk turut cuti kerana membantu ibu bapa mengemas rumah. Sekolah tetap sekolah. Apa yang penting adalah uruskan dengan segera segala proses permohonan sekolah baru yang berhampiran dengan rumah anda. Jangan Tangguh.
72) Dokumentasi rumah baharu
Sebaik sahaja masuk ke rumah baharu, ambil gambar setiap ruang yang ada di dalam rumah. Selain daripada kenang-kenangan, ia juga bertujuan untuk memastikan bahawa segala kerosakan seperti dinding retak, berlubang dan bocor bukanlah daripada anda. Jika pihak pemaju atau tuan rumah ada bertanyakan, ia menjadi bukti yang kukuh bahawa ia bukan perbuatan anda sebagai penghuni baharu.
73) Plastik lutsinar besar lindungi pakaian
Plastik ini digunakan untuk melindungi pakaian anda yang digantung pada penyangkut pakaian dan ia disusun menegak. Disini anda tidak perlu asingkan pakaian daripada hanger. Ia mengambil masa yang lama dan tidak praktikal. Hanya bungkus dan bawa ke rumah baru.
74) Simpan keperluan seharian dalam satu beg
Pastikan segala keperluan harian seperti syampu mandi, rambut, ubat gigi dan sebagainya disimpan dalam satu beg yang mudah untuk dicapai. Ini untuk memudahkan proses mencarinya saat diperlukan ketika di rumah baharu kelak.
75) Guna plastik kecil untuk simpan skru
Selain daripada bungkus makanan, anda juga boleh simpan segala skru kecil yang digunakan untuk mencantum serta mengikat katil tidur dan juga perabot yang lain.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
Gubahan Bunga Menggunakan Periuk Lama

Usah biarkan sudut meja mahupun kaunter anda terbiar kosong tidak bernyawa. Hanya berbekalkan barangan yang tidak lagi dipakai, putik gaya gubahan bercirikan rustic chic seperti ini.
Anda perlu sediakan:
- Belanga
- Pita masking
- Bunga Eustoma
- Bunga Carnation (3)
- Bunga Daisy (3)
- Bunga Peacock hijau
- Paku-pakis & Cordyline
Langkah-langkah:
1. Mula-mula, tuangkan air suam ke dalam belanga. Kemudian, lekatkan pita masking pada belanga secara bersilang. Pastikan lubang di antara pita tidak terlalu besar atau kecil.
2. Potong kuntuman Eustoma dengan kepanjangan berbeza (10’, 12’ & 14’) mengikut kesesuaian belanga. Tempatkan Eustoma di antara pita masking itu dari kiri ke kanan di bahagian belakang.
3. Kemudian, tempatkan bunga Daisy di bahagian tengah gubahan seperti bentuk S.
4. Bagi menaikkan depth pada gubahan, pilih daun paku-pakis dan Cordyline. Cucuk daun di antara bungaan tadi. Pastikan ia tidak terlalu besar. Jika tidak hasil gubahan akan kelihatan terlalu padat. Siap! #
Idea IMPIANA: Setiap gubahan memerlukan sejenis bunga yang boleh dianggap sebagai showstopper seperti Daisy. Pilih bunga dalam kuantiti ganjil dan susun pada ketinggian berbeza untuk memberi dimensi. Selamat mencuba.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI
19 Khasiat Daun Kesum, Menghilangkan Panau Dan Mengatasi Keputihan

Daun kesum disebut juga di sesetengah tempat sebagai daun cenohom atau rau ram namanya di Vietnam. Kesum adalah tumbuhan renek kategori herba berasal dari Asia Tenggara yang tumbuh meliar di kawasan-kawasan lembap seperti di tepi parit, sawah dan sebagainya. Ia dikenali juga dengan nama botaninya polygonum minus. Pokok kesum merupakan sejenis tumbuhan herba dari keluarga polygonaceae yang terdapat diMalaysia dan negara beriklim tropika.
Untuk pengetahuan anda, terdapat 2 jenis kesum yang biasa di dapati iaitu dari jenis menjalar dan menegak. Di Thailand ia banyak digunakan sebagai sebahagian daripada ramuan salad. Di Malaysia pula ia dijadikan sebagai bahan penambah perisa dalam makanan atau hidangan seperti laksa Penang selain dimakan mentah sebagai ulaman oleh mereka yang cenderung menjaga kesihatan secara alami.
Dipercayai ia kaya dengan beta kerotena, vitamin A & C serta kandungan mineral seperti kalium, kalsium dan fosforus. Selain aromanya yang dapat merangsang selera, herba ini dapat mengurangkan bau dan hanyir ikan.
Daun kesum mengandungi khasiat yang agak tinggi, terutamanya karotena dan vitamin C. Dalam 100 g, bahagian yang boleh dimakan daun, daun kesum mengandungi: air 73.2 g, protein 2.8 g, lemak 0.7 g, karbohidrat 18.4 g, serat 2.8 g, kalsium 232 mg, fosforus 19 mg, ferum 3.2 mg, natrium 19 mg, kalium 308 mg, karotena 7433 mg, vitamin A 1239 mg, vitamin B10.15 mg, vitamin B2 0.2 mg, niasin 2.8 mg, vitamin C 125 mg.
Kajian menunjukkan bahawa tumbuhan herba ini, kaya dengan antioksidan dan memiliki sifat-sifat antimikrob. Ðaun kesum yang aromatik boleh menghasilkan minyak pati yang mengandungi bahan kimia ‘aliphatic aldehyde’ yang tinggi dan komponen kimia utamanya ialah decanal dan dodecanal. Sebagai punca bahan semula jadi ‘aliphatic aldehyde’, minyak kesum pula dikatakan mempunyai potensi yang tinggi, terutama dalam industri perisa dan wangian. Tidak banyak bahan semula jadi seumpamanya di pasaran. Kajian mendapati kandungan bahan alipathis aldehyde ini adalah tinggi sehingga 605 dalam beberapa spesis tertentu.
Dari aspek dunia perubatan Melayu, herba yang bersifat panas ini dipercayai mempunyai khasiat tersendiri. Antara kelebihan daun kesum ini ialah :
1. Menguatkan daya penglihatan
2. Mengatasi masalah kembung atau ketidakhadaman
3. Mengharumkan tubuh
4. Mengatasi masalah keputihan
5. Baik untuk wanita lepas bersalin
6. Menghilangkan panau – Campurkan secekak daun kesum dengan sedikit minyak tanah. Gosokkan pada bahagian yang mempunyai panau setiap hari sehingga panau itu sembuh.
7.Mengekalkan stamina, mengekalkan kesihatan dan awet muda – Makan pucuk daun kesum sebagai ulam setiap kali makan nasi.
8. Mengharumkan tubuh
9. Bagi wanita lepas bersalin – anda bolehlah cuba merebus daun ini dan minum air rebusannya ketika suam.
10. Air rebusannya juga boleh diminum untuk merawat masalah keputihan. Jika kurang suka dengan baunya, jadikan ulam yang dimakan mentah..
11. Tonik hati, buah pinggang dan darah
12. Mengeluarkan angin dari perut dan usus.
13. Merangsang dan melawaskan pembuangan air kecil dan pembuangan air besar,
14. Membunuh atau menyingkirkan cacing dalam perut dan usus, sebagai stimulan serta merangsang haid.
15. Ubat Gout/radang sendu. Ðaun kesum juga digunakan untuk merawat reumatisme, gout
16. Merawat radang sendi
17. Melegakan batu karang.
18. Masalah kelemumur – Jus yang dihasilkan melalui perahan daunnya pula dikatakan boleh merawat masalah kelemumur, menghitamkan rambut
** Untuk mengatasi kelemumur, tumbuk sehingga lumat daun ini, tapis dan ambil patinya. Campurkan sedikit air lalu gosokkan perlahan-lahan pada kulit kepala selama 5 minit sebelum dibilas.
19. ubat pupuk di tempat berkudis.
Namun bagitu pengambilan terlalu kerap adalah tidak digalakkan, kerana kandungan asid oksalik di dalamnya boleh menghalang penyerapan mineral ke dalam tubuh.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI