
Bagi seorang ejen hartanah, ada satu perkara yang menarik perhatian selepas berjumpa ratusan pasangan warga yang telah agak berusia. Mereka semua ada rumah, tapi tak semua ada tempat untuk “tenang.”
Ada yang dulu kejar banglo besar, tapi sekarang menyesal sebab tak mampu jaga. Ada yang dulu beli rumah dekat anak, tapi akhirnya tinggal berdua dalam sunyi. Ada juga yang masih menyewa sebab tak sempat bina rumah sendiri masa muda.
Daripada semua cerita itu, satu perkara yang kita boleh belajar. Rumah persaraan bukan tentang harga, saiz, atau lokasi glamor. Ia tentang bagaimana kita nak hidup bila dunia sudah mula perlahan.
Ramai orang fikir rumah persaraan itu benda yang kita buat bila sudah nak pencen. Padahal masa itu harga sudah melambung, tenaga pun sudah tak banyak. Yang bijak, dia rancang 10 ke 20 tahun lebih awal — waktu masih bekerja, masih kuat, masih ada pilihan.
Rumah persaraan bukan sekadar tempat tidur. Ia tempat kita nak tenang, nak hidup perlahan, nak rasa kembali makna rumah.
Sebab itu lokasi paling penting. Kalau boleh, cari kawasan yang ada hospital dekat, pasar pagi, surau, taman kecil, dan jiran yang masih berbual depan pagar. Tak perlu dekat bandar tapi jangan terlalu sunyi sampai bunyi ayam pun sudah tak dengar. Suasana begini bantu kita rasa hidup dan tenang setiap hari.
Bila masuk bab reka bentuk, kita kena jujur dengan umur sendiri. Lupa nak fikir pasal tangga curam, bilik air licin, pintu sempit — semua itu boleh jadi masalah nanti. Rumah persaraan
yang mesra usia bukan untuk orang sakit, tapi untuk elak kita cepat sakit.Ramai tersilap bila nak buat rumah persaraan sebab mereka bina ikut anak. Lima bilik, empat bilik air. Padahal bila semua dah kahwin, tinggal berdua. Cukuplah tiga bilik — satu untuk diri, satu tetamu, satu untuk hobi. Biar kecil tapi hidup.
Duit pun kena rancang. Jangan guna semua simpanan semata untuk bina rumah. Asingkan tabung khas untuk penyelenggaraan, cukai dan ubah suai kecil. Kalau ada rumah sedia ada, boleh guna refinance sebagai leverage. Rumah lama boleh disewakan bila pindah ke rumah baru.
Yang ramai tak nampak ialah komuniti. Bila kita tua, kita tak perlukan lagi kawasan fancy. Kita cuma nak jiran yang tegur, surau yang hidup, dan taman yang ada bangku kayu untuk duduk petang-petang.
Rumah persaraan bukan simbol pencen. Ia hadiah kepada diri sendiri sebab dah bertahun berjuang. Bila kita rancang dari awal, kita bukan sekadar bina rumah. Kita bina tenang untuk masa depan.
Kalau kita belum mula, inilah masa. Rumah persaraan bukan impian orang kaya tapi pilihan orang bijak. Mulalah bisik-bisik, sembang-sembang dan bincang-bincang dengan pasangan masing-masing tentang topik ini supaya memenuhi expectation semua yang terlibat.
Artikel lain: Beli Rumah, Runtuhkan & Bina Semula: Trend Pemilik Rumah Moden Pilih Ikut Citarasa Sendiri
Renovasi Rumah Sampai Makan Ruang Rumah Jiran, Boleh Timbulkan Konflik Berpanjangan
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.