
Rumah cepat berhabuk walau selalu dibersihkan? Ini 7 punca ramai tak sedar. Keadaan ini memang sering membuatkan pemilik rumah rasa penat dan kecewa. Baru sahaja selesai menyapu, mengelap dan vakum, tidak sampai sehari habuk sudah mula kelihatan semula pada meja, rak, kabinet dan lantai.
Hakikatnya, masalah habuk dalam rumah bukan semata-mata berpunca daripada rutin membersih yang tidak cukup. Ada banyak faktor lain yang sebenarnya menyumbang kepada pengumpulan habuk secara berterusan, malah ada antaranya datang daripada barang dan susun atur di dalam rumah itu sendiri. Sebab itu, penting untuk kenal pasti puncanya supaya rumah bukan sekadar nampak bersih sekejap, tetapi kekal lebih selesa dan menyenangkan.

Punca Rumah Cepat Berhabuk Yang Ramai Tak Sedar
1. Karpet jadi perangkap habuk paling besar
Karpet atau permaidani memang mampu menaikkan seri ruang. Ruang tamu terasa lebih hangat, selesa dan lengkap apabila dihias dengan kemasan tekstil yang sesuai. Namun di sebalik keindahan itu, karpet juga menjadi salah satu tempat paling mudah memerangkap habuk.
Ini kerana habuk halus, rambut, pasir dan kotoran mudah terselit di celah serat karpet, terutama jika ia diletakkan di kawasan laluan utama. Jika jarang divakum, habuk akan berkumpul dan akhirnya berterbangan semula setiap kali orang lalu atau kipas dipasang. Dalam banyak keadaan, karpet menjadi sebab utama rumah cepat berhabuk tanpa disedari penghuni.

2. Tilam jarang dibersihkan
Ramai yang teliti membersihkan ruang tamu dan dapur, tetapi terlepas pandang bahagian bilik tidur, khususnya tilam. Sedangkan tilam ialah antara tempat yang paling kerap digunakan setiap hari dan sangat mudah memerangkap habuk, sel kulit mati serta hama halus.
Apabila tilam tidak dibersihkan secara berkala, habuk akan terkumpul dan menjejaskan keselesaan ruang rehat. Bukan itu sahaja, ia juga boleh menyebabkan alahan, gatal kulit dan rasa kurang selesa ketika tidur. Untuk mengekalkan kebersihan bilik, tilam wajar divakum secara berkala dan cadar pula ditukar dengan lebih konsisten supaya rumah cepat berhabuk dapat dielakkan.

3. Tingkap terlalu kerap dibuka
Membuka tingkap pada waktu pagi memang digalakkan kerana ia membantu pengudaraan dan membenarkan cahaya semula jadi masuk ke dalam rumah. Tetapi dalam masa yang sama, habuk dari luar juga mudah masuk, terutama jika rumah terletak berhampiran jalan besar, kawasan padat atau tapak pembinaan.
Sebab itulah ada rumah cepat berhabuk walaupun penghuninya rajin mengemas. Udara yang masuk bersama habuk halus akan mendap di pelbagai permukaan tanpa disedari. Bukan bermakna tingkap tidak perlu dibuka langsung, tetapi masa dan keadaan sekeliling perlu diambil kira supaya pengudaraan rumah tetap seimbang tanpa menambah masalah habuk.
4. Rumah baru siap dibina atau diubah suai
Jika rumah baru sahaja siap dibina, dicat atau diubah suai, memang tidak pelik jika habuk terasa seperti tidak pernah habis. Debu binaan biasanya sangat halus dan mudah melekat pada lantai, dinding, kabinet, siling, malah pada permukaan perabot baru.
Dalam situasi ini, pembersihan biasa selalunya tidak mencukupi. Habuk perlu dibersihkan beberapa kali secara menyeluruh sebelum rumah benar-benar kembali selesa didiami. Inilah antara keadaan yang membuatkan rumah cepat berhabuk walaupun ruang sudah dibersihkan berkali-kali.

5. Vakum tidak lagi berfungsi dengan baik
Kadang-kadang masalah bukan pada usaha membersih, tetapi pada alat yang digunakan. Pembersih hampagas yang sudah lama, kurang kuasa sedutan atau penapisnya kotor boleh menyebabkan habuk tidak disedut dengan sempurna.
Ada juga keadaan di mana vakum yang bermasalah melepaskan semula habuk halus ke udara. Akibatnya, rumah tetap nampak berdebu walaupun semua ruang sudah dibersihkan. Jadi, jangan lupa periksa keadaan vakum dari semasa ke semasa, termasuk beg habuk, penapis dan tahap sedutannya supaya rumah cepat berhabuk dapat dikurangkan.
6. Langsir menyimpan habuk tanpa disedari
Langsir ialah elemen dekorasi yang sangat penting dalam rumah. Ia bukan sahaja memberi privasi dan melembutkan pencahayaan, tetapi juga menyempurnakan keseluruhan gaya ruang. Namun, dalam masa yang sama langsir juga menjadi tempat habuk mudah melekat dan berkumpul.
Lebih-lebih lagi jika tingkap selalu dibuka. Habuk dari luar akan terus melekat pada kain langsir, terutama yang jenis tebal, berlapis atau mempunyai banyak lipatan. Jika dibiarkan terlalu lama, setiap kali langsir disentuh atau ditiup angin, habuk akan berterbangan semula ke dalam ruang dan menyebabkan rumah cepat berhabuk.
7. Bulu haiwan peliharaan tarik habuk ke seluruh rumah
Bagi pemilik haiwan peliharaan, terutama kucing atau arnab, isu habuk biasanya lebih ketara. Bulu yang gugur mudah berterbangan ke merata sudut rumah dan dalam masa yang sama habuk pula akan melekat padanya. Akhirnya, ruang jadi lebih cepat nampak kotor walaupun sudah dibersihkan.
Ini bukan bermaksud haiwan peliharaan menjadi masalah, tetapi penjagaannya perlu lebih teliti. Bulu perlu disikat secara berkala, tempat tidur haiwan dibersihkan dengan kerap dan sofa atau karpet juga perlu divakum lebih kerap berbanding rumah biasa supaya rumah cepat berhabuk dapat dielakkan.
Cara Kurangkan Habuk Supaya Rumah Kekal Lebih Nyaman
Selain mengenal pasti punca, beberapa langkah mudah ini boleh membantu rumah kekal bersih lebih lama. Gunakan kain mikrofiber lembap ketika mengelap supaya habuk tidak hanya beralih ke tempat lain. Vakum karpet, tilam, sofa dan langsir secara berkala, terutama di kawasan yang kerap digunakan.
Kurangkan juga aksesori kecil yang terlalu banyak pada rak terbuka kerana setiap permukaan itu sebenarnya menjadi tempat habuk singgah. Susun atur rumah yang lebih ringkas bukan sahaja memudahkan kerja mengemas, malah membantu mengurangkan kawasan yang mudah mengumpul habuk.
Rumah cepat berhabuk memang boleh membuatkan kerja mengemas terasa tidak berpenghujung. Namun, apabila punca sebenar dikenal pasti, rutin membersih akan jadi lebih efektif dan hasilnya juga lebih memuaskan. Kadang-kadang bukan kita tidak rajin, tetapi ada beberapa sudut dan tabiat dalam rumah yang selama ini tidak diberi perhatian.
Bila rumah bersih dan bebas habuk, suasana kediaman bukan sahaja nampak lebih cantik, malah terasa lebih tenang, sihat dan selesa untuk seisi keluarga.
BACA LAGI : Cara Elakkan HABUK Mudah Melekat Pada Permukaan Kaunter, Perabot & Kipas
Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di




