
Kawan-kawan anda ramai yang sudah ‘settle down’ di kawasan Kuala Lumpur — Bangsar South, Mont Kiara, Setiawangsa. Nampak bergaya. Pergi kerja hanya 15 minit, malam boleh bersantai di kafe hipster, dan hujung minggu pula cukup sekadar berjalan kaki ke pusat membeli-belah. Memang nampak serba mudah dan moden.
Namun, bila mula menyemak harga, realitinya tidak semanis yang disangka. Dengan bajet RM600,000, rumah yang ditawarkan hanyalah kondominium dua bilik berkeluasan sekitar 850 kaki persegi. Di sinilah dilema bermula. “Cukupkah ruang sekecil ini untuk sebuah keluarga kecil?” persoalan itu mula bermain di fikiran.

Menilai Pilihan Antara KL Dan Rumah di Kajang
Kemudian anda cuba meninjau kawasan lain seperti rumah di Kajang. Dengan bajet yang sama, anda boleh memiliki rumah teres dua tingkat, empat bilik, siap dengan laman kecil di belakang. Ruang yang lebih luas dan berbaloi dengan nilai wang yang dibelanjakan. Maka, persoalan besar pun timbul, mahu kejar gaya hidup bandar atau ruang kediaman yang lebih selesa?
Kelebihan Membeli Rumah Di Kuala Lumpur
Hakikatnya, inilah dilema utama pembeli rumah pertama. Membeli di Kuala Lumpur bererti anda bukan sekadar membayar untuk bata dan simen, tetapi untuk lokasi strategik dan kemudahan sekeliling. Anda membeli masa, menjimatkan dua jam sehari tanpa perlu menempuh kesesakan lalu lintas. Akses pengangkutan awam seperti MRT dan LRT juga sangat mudah. Potensi sewaan di kawasan ini tinggi kerana permintaan daripada golongan profesional sentiasa stabil. Namun, kekurangannya, ruang terhad.

Kelebihan Membeli Rumah Di Kajang
Berbeza pula jika anda memilih untuk memiliki rumah di Kajang. Dengan jumlah bajet yang sama, anda mampu mendapatkan rumah yang lebih besar dan selesa. Anak-anak ada ruang bermain, anda pula boleh sediakan bilik khas sebagai pejabat di rumah. Nilai pelaburan jangka panjang juga baik kerana harga rumah landed cenderung meningkat dari masa ke masa. Kekurangannya cuma pada jarak perjalanan ke tempat kerja mungkin mengambil masa lebih lama.

Pilihan Bergantung Kepada Gaya Hidup Anda
Akhirnya, tiada jawapan yang betul atau salah. Keputusan bergantung kepada gaya hidup dan fasa kehidupan masing-masing. Jika anda masih bujang, aktif bekerja dan lebih mementingkan masa serta gaya hidup urban, kediaman di Kuala Lumpur mungkin lebih sesuai. Tetapi jika anda sudah berkeluarga, perlukan ruang tambahan dan menghargai ketenangan, rumah di Kajang adalah pilihan bijak.
Rumusan: Antara Masa dan Ruang
Fikirkan, antara masa dan ruang, yang mana satu pengorbanan yang anda lebih sanggup hadapi. Dalam jangka panjang, keputusan memilih lokasi kediaman bukan sekadar tentang jarak, tetapi tentang kualiti hidup dan keseimbangan keluarga anda.
Sumber: Muhazrol Muhamad
Artikel lain: Beli Rumah, Runtuhkan & Bina Semula: Trend Pemilik Rumah Moden Pilih Ikut Citarasa Sendiri
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di




