Ramai Salah Tanam Kantan, Sebab Itu Pokok Tak Berbunga Langsung

Share

Ramai salah tanam kantan, sebab itu pokok tak berbunga langsung. Pokok kantan atau nama saintifiknya Etlingera elatior merupakan tanaman tropika yang bukan sahaja cantik dipandang, tetapi juga penting dalam masakan tradisional seperti laksa, asam pedas dan kerabu.

Ramai Salah Tanam Kantan, Sebab Itu Pokok Tak Berbunga Langsung

Namun, walaupun nampak seperti pokok kampung biasa, ramai yang gagal mendapatkan hasil bunganya walaupun pokok kelihatan subur dan rimbun. Ini biasanya berpunca daripada teknik penanaman yang kurang tepat serta kekurangan pengetahuan tentang keperluan sebenar pokok ini.

Berikut perkongsian daripada Saddam Arffain

Cuba tanya 100 orang, berapa ramai yang tahu sebenarnya mereka dah salah tanam kantan, sampai pokok tak berbunga, rimbun daun saja, dan yang paling lucu… ada yang dah dua tahun tanam tapi tak pernah tengok rupa bunga pun.

Saya pernah jadi salah seorang daripada mereka. Waktu mula tanam kantan dulu, saya fikir,

“Ahh, pokok kampung je ni. Tanam je lah.”

Tapi kantan ni bukan sembarangan pokok. Dia manja, dia degil, dan dia ada perangai yang kalau tak kenal betul-betul, dia akan mogok tumbuh macam orang perempuan merajuk.

Kesilapan Paling Biasa

1. Tanam dalam pasu kecil

Ramai tanam dalam pasu sempit kononnya nak jimat ruang dan hias laman rumah. Tapi kantan ni rimpangnya agresif. Bila dipaksa duduk dalam ruang sempit, dia akan merajuk dan tak mahu berbunga. Lebih teruk kalau pasu jenis plastik murah — panas, cepat kering, dan sistem saliran pun lemah. Akhirnya pokok terus ‘dwarf’ sampai ke sudah.

2. Tak guna dolomit (kapur)

Tanah berasid ibarat musuh dalam selimut. Nampak pokok macam sihat, tapi akar dah mula lemas. Bila pH tak betul, baja pun tak berkesan. Pokok macam makan, tapi tak kenyang.

3. Lokasi tak sesuai

Kalau tanam di tempat redup, bawah bumbung zink atau tepi parit, jangan haraplah nak tengok bunga keluar. Kantan perlukan sekurang-kurangnya enam jam cahaya matahari terus setiap hari. Dia tak suka tempat murung. Cahaya penting untuk aktifkan pertumbuhan bunga. Tanam di tempat redup, pokok akan naik tinggi tapi batang lembik. Daun banyak, bunga tak muncul.

4. Tanam terlalu rapat

Nak maksimumkan ruang, sampai tanam terlalu rapat. Tapi kantan suka ‘bernafas’. Bila terlalu padat, pokok akan berebut cahaya, makanan dan ruang. Semua jadi kurus dan stress. Rumpun pun tak sihat. Rumpun yang sihat perlukan ‘privacy’ — macam orang tengah healing.

Baja Dan Penyiraman Pun Kena Betul

5. Baja buah terlalu awal

Ramai terus bagi baja buah waktu pokok baru sebulan. Ini silap besar. Pokok muda perlukan baja subur untuk bina akar, batang dan daun. Bila terus diberi baja buah, pokok jadi keliru, macam budak darjah satu kena jawab soalan SPM.

6. Siram terlalu banyak

Kantan memang suka lembap, tapi bukan sampai banjir. Akar akan reput kalau air bertakung. Bila reput, kulat datang, siput babi pun meriah. Pokok akan layu perlahan-lahan, bukan sebab tak disiram, tapi sebab lemas.

Penjagaan Lanjutan

7. Tak buang daun tua dan rosak

Daun rosak kalau dibiarkan, tarik serangga dan kulat. Pokok buang tenaga jaga daun yang sepatutnya dah ‘dikebumikan’. Tenaga tu sepatutnya pergi ke penghasilan bunga baru.

8. Guna tanah tak sesuai

Tanah liat pegang air terlalu lama. Tanah pasir pula tak simpan nutrien. Kena buat campuran tanah yang betul, baru pokok senyum.

9. Tak cantas rumpun

Kantan perlu dicantas. Bukan semua rumpun perlu disayangi. Rumpun tua halang tumbesaran rumpun muda. Tapi hati-hati, salah potong, pokok boleh terkejut. Cantas waktu pagi guna parang tajam dan pilih rumpun yang betul-betul tua.

Jangan Cepat Putus Asa

10. Tak sabar tunggu bunga

Kantan bukan pokok jangka pendek. Ramai putus asa sebab lepas enam bulan belum keluar bunga. Hakikatnya, kantan ambil masa 12 hingga 18 bulan untuk matang dan berbunga. Ini bukan cili atau kangkung. Ini tanaman sabar. Kalau cepat bosan, tanam benda lain.

11. Tanam dari biji benih

Boleh, tapi bersabarlah. Dari biji, pokok ambil masa dua hingga tiga tahun untuk matang. Gunalah rizom matang atau sulur sihat dari ladang — kurang drama, cepat hasil.

12. Abaikan rumput dan serangga

Rumput rampas baja dan cahaya. Serangga seperti belalang dan ulat batang suka pokok muda. Dalam sebulan boleh habis satu batas kalau tak dikawal awal-awal.

Disiplin Jaga Pokok

Kantan bukan pokok ikut mood. Dia perlukan jadual pembajaan yang konsisten. Awal tanam gunakan dolomit dan baja subur. Bila pokok dah stabil, guna NPK 16:16:16. Bila matang, baru masukkan baja bunga. Konsisten — bukan ikut semangat hujung minggu saja.

Kantan sebenarnya sangat pemurah. Bila dijaga betul, dia akan bagi bunga berpanjangan sampai tak cukup bakul nak kutip. Tapi bila tersalah langkah, dia akan senyap sunyi — macam cinta bertepuk sebelah tangan. Macam kisah saya dan Nadiah.

Kalau pernah buat kesilapan sebelum ni, jangan risau. Pokok masih boleh dirawat. Yang penting, jangan ulang kesilapan sama. Jika belum tanam lagi, sekurang-kurangnya sekarang dah tahu apa yang jangan dibuat.

Kesimpulannya, menanam pokok kantan memerlukan kesabaran, ilmu dan disiplin. Ia bukan sekadar cucuk tanam dan tunggu hasil. Tetapi jika dijaga dengan betul, kantan akan menjadi tanaman yang sangat pemurah berbunga sepanjang tahun dan menjimatkan belanja dapur. Pokok ini bukan saja memperindah laman, malah membawa nilai tinggi dalam masakan dan pasaran.

Sumber: Saddam Arffain Ardi Tani Berkebun D Rumah 

Baca artikel lain juga: Tanam Pokok Kantan Dari Rizom Memang Lambat Bertunas. Kena Sabar

Cara Potong BUNGA KANTAN Juga Main Peranan Agar Pokok Berbunga Lebat

 

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

 

 

 

Published by
Norhasliza Mohd Shafi