
Pokok Hiasan Landskap PAKU AJI Hilang Dicuri, Pengusaha Homestay Kerugian Lebih RM10,000! Pokok Paku Aji (nama saintifik: Cycas revoluta) adalah pokok hiasan yang mempunyai nilai pasaran dan permintaan yang tinggi.
Terbaru, seorang pemilik rumah inap desa di Bukit Payong, Terengganu meluahkan rasa kecewa apabila pokok landskap jenis Paku Aji (Cycas revoluta) yang menghiasi kawasan penginapannya lesap dicuri individu tidak bertanggungjawab.
Pokok hiasan yang juga dikenali sebagai Sago Palm itu, bukan sahaja mengambil masa bertahun-tahun untuk membesar, malah mempunyai nilai pasaran sangat tinggi sekitar RM500 hingga RM1,000 sebatang.

![]()
![]()
Anggaran Kerugian Lebih RM10,000
Difahamkan, kerugian dianggarkan melebihi RM10,000 selepas lebih tujuh batang dicabut dan dilarikan dipercayai menggunakan sebuah lori sekitar dua minggu lalu.
Berkongsi hal itu di laman TikTok, pengusaha Singgah Tamu itu walau bagaimanapun reda dengan kejadian menimpanya selain berharap agar urusannya dipermudahkan selepas ini.
“Genap setahun sebulan landskap ni siap untuk mencantikkan Singgah Tamu untuk yang datang dapat bergambar dan menikmati ciptaannya.
“Hilang dicuri hamba ALLAH, tinggal kenangan semoga ada yang lebih baik untuk kami, tujuh pokok hilang mungkin yang datang tiga ke empat orang dengan lori,” katanya.

Pokok Tahan Lasak & Eksotik
Dalam pada itu, pokok Cycas semakin digemari dalam kalangan pengusaha landskap kerana tahan lasak dan bentuknya yang eksotik, namun harganya boleh mencecah ribuan ringgit menjadikannya sasaran pencuri.
Antara sebab utama harganya tinggi ialah tempoh pertumbuhan yang sangat perlahan.
Bagi mendapatkan sebatang pokok bersaiz sederhana, ia boleh mengambil masa antara 10 hingga 15 tahun, namun akibat bekalan yang terhad mendorong tumbuhan itu dijual pada harga tinggi.
Kelebihan Cycas tahan lasak, bentuk daunnya tersusun rapi dan tahan sepanjang tahun menjadikannya pilihan ideal untuk menghiasi rumah mewah, hotel, resort dan homestay.
Dengan nilai pasaran tinggi dan permintaan sentiasa menggalakkan, tidak hairanlah pokok Paku Aji sering menjadi sasaran pencuri yang melihat ia sebagai satu bentuk cagaran demi kepentingan sendiri.
Bagi pemilik homestay atau penggemar landskap, kehilangan tanaman itu bukan sekadar kerugian wang ringgit, tetapi juga merampas nilai estetik dan tarikan yang telah lama diusahakan sekali gus menjejaskan pendapatannya.
IMPIANA: Kasihannya, niat untuk cantikkan landskap di rumah inap desa, namun pokok kena curi pula. Semoga pengusaha homestay ini diberi kesabaran dan digantikan dengan yang lebih baik.
Mesti Baca: Cipta Landskap Tepi Rumah Yang Menenangkan, Walau Ruang Terhad
Baca Lagi Di Sini: Kreatif Landskap Tepi Rumah ‘Simple’ Guna Batang Pokok Cempedak & Batu Putih
Artikel Menarik: 3 Jenis Pokok Berfungsi Sebagai ‘Pagar’ Privasi Semulajadi, Penyeri Landskap Laman
Sumber: Majoriti, Singgah Tamu Retreat
Sentuhan Midas penuh kemewahan dan elegant untuk kediaman anda.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di

