Kali ini team LAMAN berpeluang berkunjung ke sebuah taman kampung di Alor Gajah, Melaka milik Mohd Johari Bin Haji Yunus. Memiliki kediaman berlatar belakangkan pemandangan indah Banjaran Titiwangsa, ia menjadi satu bonus buat pemilik sekeluarga. Menghampiri kediaman ini, penulis sudah merasakan suasana hening dan damai yang menenangkan jiwa.
Pemilik berkongsi, “Ilham membuat taman ini datang daripada Cikgu Anuar, adik ipar saya. Boleh dikatakan 100% hasil garapan beliau. Malah pokok-pokok juga dibawa olehnya dari kediamannya di Kulim, Kedah. Setelah mengambil kira kesesuaian persekitaran rumah, kami memilih spesies tanaman yang serasi dan memberi impak semula jadi kepada kediaman kampung ini. Proses menyiapkan taman ini hanya mengambil masa sebulan,”
jelas pemilik membuka bicara.Dari segi pembahagian ruang, bahagian hadapan halaman dihiasi hamparan batu-batu kerikil putih yang membentuk laluan pejalan kaki, diselang-selikan dengan pemijak kaki konkrit tersusun rapi. Menariknya, pemijak kaki ini diukir motif bunga berwarna hitam yang menonjol di atas latar batu putih. Menurut pemilik, beliau mengupah tukang berpengalaman untuk menyediakan batu pemijak khas ini bagi melengkapkan suasana taman kampung tradisional.
Pasu bunga pelbagai saiz dan warna coklat diletakkan di sudut tertentu untuk memecahkan impak monotoni. Di tepi hamparan batu kerikil ditanam pelbagai spesies tanaman seperti lidah buaya, Yucca, Kesinai, Cycas, Cordyline dan Asplenium yang disusun secara berkelompok. Beberapa spesies orkid pelbagai warna turut menghiasi taman ini dengan penuh pesona.
“Jika diikutkan, saya pada mulanya tidak meminati aktiviti bertaman. Tetapi setelah kediaman ditata cantik oleh Cikgu Anuar, timbul minat untuk menjaga laman ini. Sejak bersara, inilah aktiviti harian saya — mengeluarkan peluh dan menenangkan fikiran,” tambahnya lagi sambil tersenyum puas menikmati hasil taman kampung
idaman.Bahagian halaman belakang diolah menjadi ruang interaksi keluarga. Selain tanaman berbunga, pemilik memilih pokok buah seperti mangga dan ciku. Strategi ini bukan sahaja memberikan hasil buah, tetapi juga teduhan semula jadi. Namun, susun atur tanaman diatur supaya panorama Banjaran Titiwangsa di belakang rumah kekal jelas dan tidak terlindung.
Elemen wakaf amat sinonim dengan landskap kampung. Ia menjadi tempat berehat selepas bekerja atau lokasi santai seisi keluarga. Pemilik mengekalkan tradisi ini dengan membina sebuah wakaf kayu menggunakan bahan asal dari rumah lama. Setiap kayu mempunyai nilai sentimental tersendiri dan menambah karakter pada taman kampung ini.
Tidak hairanlah setiap tetamu yang bertandang pasti teruja menikmati suasana gazebo ini. Menghayati pemandangan Banjaran Titiwangsa, merasai hembusan angin nyaman, dan menikmati juadah petang bersama keluarga menjadi momen yang paling indah di laman ini.
Kedudukan gazebo di bahagian sisi rumah menyediakan laluan terus dari dapur. Lokasi strategik ini memudahkan akses penghuni kediaman untuk keluar masuk dari dapur ke gazebo. Kombinasi reka bentuk kayu, tanaman hijau, dan suasana perkampungan menjadikan taman kampung
ini benar-benar istimewa.Jom kita nikmati keindahan laman dan inspirasi yang dibawakan oleh pemilik kediaman ini bukti bahawa dengan perancangan rapi dan cita rasa harmoni, laman kampung boleh menjadi taman peribadi yang mempesonakan.
Artikel Menarik: LAMAN Indah Konsep Tropical Garden Retreat, Jadi ‘Spot Healing’ Suami Isteri!
Mesti Baca: Cara Tanam RUMPUT Sendiri Di Laman Rumah, Bulan Keenam Cantik Rapat Menghijau