
Lebih separuh petani Selangor berusia 50 tahun ke atas, MB seru anak muda sertai sektor pertanian. Kira-kira 60 hingga 75 peratus petani di Selangor kini terdiri daripada individu berumur 50 tahun ke atas, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap masa depan sektor pertanian jika golongan muda terus kurang berminat untuk menyertainya.
Lebih Separuh Petani Selangor Berusia 50 Tahun Ke Atas, MB Seru Anak Muda Sertai Sektor Pertanian
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, situasi itu menandakan perlunya usaha segera untuk menjadikan bidang pertanian sebagai satu pilihan kerjaya yang menarik serta mampu menjana pendapatan lumayan kepada generasi muda.
“Kalau kita tengok data (bancian pertanian) hampir 60 hingga 75 peratus daripada petani adalah mereka yang berusia 50 tahun ke atas.
“Kita kena jadikan pertanian ini satu aktiviti yang ‘cool’ dan meyakinkan, sebab ia sebenarnya mendatangkan hasil yang baik,” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Laporan Interim Banci Pertanian 2024 pada Selasa.

Tambah beliau, suatu ketika dahulu pernah wujud minat dalam kalangan anak muda termasuk mereka dari latar belakang kejuruteraan untuk berkecimpung dalam pertanian, namun fenomena itu tidak berpanjangan berikutan kurangnya tarikan dan insentif dalam bidang berkenaan.
Bagi mengatasi isu tersebut, Amirudin menjelaskan bahawa kerajaan negeri akan memperkenalkan beberapa dasar serta inisiatif menerusi Belanjawan Selangor dan juga pelan pembangunan negeri yang akan datang, dengan harapan dapat menggalakkan lebih ramai belia menyertai sektor ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Amirudin turut menyentuh mengenai prestasi ladang kelapa sawit di Selangor yang masih cemerlang dari segi pengeluaran hasil biarpun negeri itu tidak memiliki kawasan ladang yang luas seperti Sabah.
Beliau memetik Ladang Pulau Carey milik Sime Darby Plantation sebagai contoh kejayaan apabila ia mencatatkan antara pulangan kelapa sawit tertinggi di negara ini.

“Cuma kita sekarang terikat dengan ketetapan antarabangsa yang tidak membenarkan pembukaan ladang baru hanya penanaman semula (replanting) sahaja yang dibenarkan.
“Tetapi dari sudut hasil, kita tetap catat peningkatan kerana ada pengurusan ladang yang baik dan mengikut amalan pertanian mampan,” ujarnya.
Katanya lagi, pengusaha ladang kini juga semakin cenderung ke arah penggunaan kaedah yang lebih lestari, termasuk mengurangkan kebergantungan terhadap baja kimia dan menggantikannya dengan pendekatan mesra alam demi mematuhi piawaian antarabangsa.
“Daripada semasa ke semasa, mereka sedang memperbaiki pengurusan ladang bagi mengelakkan penggunaan racun dan baja seperti baja urea secara berlebihan.
“Pengurusan ini dibuat untuk pastikan hasilnya tinggi tetapi masih lagi mampan dan mesra alam,” katanya lagi.
Sumber: Sinar Harian Pertanian Satu Perniagaan
Baca artikel lain juga: Pemuda Ambil Alih Tanaman Jagung Manis, Ladang Hasilkan 280,000 Tongkol Jagung Manis Setiap Musim, Pulangan Cecah RM9k
Peroleh Pendapatan Bersih Lebih RM20k Sebulan, 5 Rakan Karib Usahakan Tanaman MMT
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.
Rahsia dari IMPIANA, download sekarang di seeNI.
KLIK DI SEENI