
Langsir atau bidai? Mana satu lebih praktikal? Memilih antara langsir atau bidai sering menjadi dilema pemilik rumah kerana kedua-duanya mempunyai fungsi utama yang sama iaitu mengawal cahaya, memberikan privasi dan melengkapkan gaya dekorasi ruang.
Namun, perbezaan dari segi bahan, penjagaan serta kesesuaian ruang membuatkan kita perlu meneliti dengan lebih mendalam sebelum membuat pilihan. Langsir sudah sinonim dengan rumah di Malaysia kerana ia mudah disuaipadankan dengan pelbagai gaya dekorasi.
Dari fabrik nipis sheer hinggalah ke kain tebal blackout, langsir mampu mencipta suasana berbeza dalam satu ruang. Ia juga memberi sentuhan elegan dan mewah, terutama di ruang tamu atau bilik tidur. Namun, langsir memerlukan penjagaan rapi kerana mudah berhabuk dan perlu dibasuh secara berkala.
Sebaliknya, bidai lebih ringkas, moden dan praktikal. Ia sesuai untuk kediaman bersaiz kompak atau gaya minimalis kerana tidak memakan ruang. Bidai seperti roller blind, roman blind atau wooden blind memberikan kawalan cahaya yang lebih tepat, malah ada jenis yang tahan lembapan sesuai dipasang di dapur atau bilik air. Dari segi penyelenggaraan, bidai lebih mudah dibersihkan dengan hanya dilap berbanding langsir yang perlu ditanggalkan.
Ruang tamu – Gabungan sheer curtain (langsir nipis) bersama roman blind sesuai untuk menapis cahaya matahari, sambil mengekalkan suasana elegan dan kemas.
Bilik tidur – Padankan langsir blackout dengan roller blind. Bidai berfungsi sebagai kawalan cahaya siang, manakala langsir tebal memberi privasi maksimum dan suasana nyaman ketika malam.
Dapur – Gunakan wooden blind atau roller blind yang tahan lembapan. Jika mahukan sentuhan lembut, boleh tambah sheer curtain ringkas yang tidak terlalu panjang.
Bilik mandi – Bidai PVC atau aluminium lebih sesuai kerana tahan air dan mudah dibersihkan, menggantikan langsir yang mudah berkulat dalam keadaan lembap.
Kesimpulannya, pilihan antara langsir atau bidai bergantung kepada gaya hidup, saiz ruang dan tahap penyelenggaraan yang sanggup anda lakukan. Jika mahukan suasana elegan dan hangat, langsir tetap menjadi pilihan.
Namun, untuk ruang moden yang ringkas dan praktikal, bidai adalah jawapannya. Gabungan kedua-duanya juga boleh dipertimbangkan bagi memberikan fungsi dan estetika yang seimbang di rumah anda.
👉 Tip Impiana: Kalau mahukan dekorasi rumah lebih fleksibel, gabungan langsir dan bidai adalah pilihan terbaik. Ia bukan sahaja praktikal, malah meningkatkan nilai estetika ruang.
Baca artikel lain juga: Tip Cuci Langsir Di Lobi Layan Diri, Tak Semua Boleh Sumbat Mesin Basuh
Window Blinds Pengganti Langsir, 9 Jenis BIDAI Serikan Ruang!
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.