Teknik penyiraman yang betul

  1. Lakukan penyiraman pada awal pagi

Siraman pada awal pagi dapat memberi keperluan air yang cukup untuk tumbuhan yang akan digunakan dalam proses fotosintesis. Selain itu juga ia berupaya membantu mengurangkan kadar hidrasi kerana akar pokok telah menyerap keperluan air.

2. Siram terus ke permukaan tanah

Ramai antara peminat taman akan melakukan penyiraman secara terus ke atas daun walhal yang memerlukan air adalah akarnya. Tumbuhan yang mempunyai daun berbulu akan mudah melecur jika penyiraman dilakukan terus pada permukaannya seperti Begonia spp. Apabila air bertakung pada permukaan daun, ia akan menggalakkan pertumbuhan bakteria, kulat dan mildew pada kawasan yang bertakung air. Jangan berharap sepenuhnya pada air hujan

Walaupun hujan turun dan telah membasahi tumbuhan, lakukan pemeriksaan untuk memastikan keseluruhan tanah atau medium di dalam pasu lembap. Kadang kala, hujan yang mencurah tidak dapat menembusi permukaan tanah terutamanya untuk tumbuhan yang mempunyai silara yang padat.

3. Jangan biarkan tanah kering sepenuhnya

Ada kalanya tanah yang tidak kerap digembur akan mula mengeras hingga menyebabkan air tidak dapat menyerap. Hal ini akan berlaku sekiranya tanah di dalam pasu di biarkan kering sepenuhnya dalam tempoh yang lama. Melakukan penyiraman segera dapat menghalang perkara tersebut dari terus berlaku.

4. Guna sungkupan untuk mengekalkan kelembapan 

Untuk mengekalkan kelembapan pada tanah, gunakan sungkupan seperti hampas kayu, sabut kelapa dan bahan lain yang bersesuaian. Di samping itu juga, ia membantu mengurangkan kadar pertumbuhan rumpai. Malah permukaan pasu yang ditutupi sungkupan juga kelihatan lebih kemas dan menarik.

 

Tip penyiraman untuk tumbuhan berpasu apabila anda pergi bercuti

  • Bagi tumbuhan daripada jenis Kaktus dan Sukulen boleh hidup berbulan-bulan tanpa perlu disiram. Letakkan tumbuhan anda di bawah teduhan dan lakukan penyiraman sebelum keluar untuk bercuti.
  • Sediakan miniature greenhouse. Cucuk 4 batang kayu pemancang di sekeliling pokok, serkup plastik beg hingga menutupi mulut pasu. Pastikan plastik tidak bersentuh pada pokok. Ikat mulut plastik pada pasu dengan menggunakan getah dan pastikan ia ketat.
  • Letakkan satu lapisan batu atau pebbles sekurang-kurangnya setengah inci di dalam bekas loyang atau dulang. Isi air di dalam dulang tersebut sama paras dengan batu yang telah diletakkan. Susun pasu di dalam dulang tersebut.
  • Basahkan keseluruhan tuala atau kain guni sepenuhnya. Lipat tuala tersebut mengikut saiz keperluan dan susun pasu di atas tuala tersebut
  • Untuk tumbuhan yang lebih besar, letakkan beberapa lapisan kertas surat khabar yang telah direndam di atas permukaan tanah. Lebih besar pokok, lebih banyak kertas diperlukan.
  • Pasang sistem pengairan pokok automatik. Sediakan balang yang dipenuhi air dan diletakkan secara bersebelahan dengan pasu. Gunakan selembar nylon cord sebagai penyambung dari bekas berisi air ke dalam pasu. Pastikan nylon cord yang digunakan terbenam ke dalam tanah di dalam pasu sekurang-kurangnya 3 inci.
  • Sebelum anda keluar bercuti, lakukan penanaman semula tumbuhan di dalam pasu. Letakkan lapisan lampin pakai buang di bahagian bawah pasu sebelum diletakkan tanah. Ia membantu untuk mengekalkan kelembapan tanah di alam pasu.