Tip Mengemas Rumah 15 Minit, Bersedia Terima Tetamu Mengejut Tanpa Cemas!

Share

Tip Mengemas Rumah 15 Minit, Bersedia Terima Tetamu Mengejut Tanpa Cemas! Pasti ramai yang pernah mengalami situasi ini. Saat anda sedang bermalas-malasan atau sibuk di pejabat, tiba-tiba dapat panggilan bahawa ada orang nak datang rumah. Cemas habis!

Rumah bersepah dan tak sempat dikemas lagi. Khuatir malu, ada yang sampai sanggup beri alasan kononnya tiada di rumah atau sedang keluar. Tak baik tau! Ingat, tetamu datang membawa rezeki dan perginya menghapus dosa kecil kita.

Jadi, tak perlu risau. Untuk berkemas rumah sebenarnya tak semestinya perlukan masa yang panjang. Cuba ikut tip mengemas rumah selama 15 minit ini, cepat, mudah dan hasilnya tetap kemas serta menyenangkan tetamu.

1.Ruang Tamu

Ruang tamu ialah tempat utama yang perlu dikemas terlebih dahulu. Apa yang perlu anda lakukan?

  1. Buka tingkap dan beri pencahayaan semula jadi sepenuhnya pada ruang tamu.
  2. Semburkan pewangi bilik atau nyalakan lilin terapi bagi memberi aroma segar.
  3. Ambil bakul dan kumpulkan semua barang yang berselerak di atas lantai, sofa dan meja kopi.
  4. Simpan bakul tersebut di dalam almari atau sembunyikan sementara di bilik yang tetamu tak akan masuk.
  5. Lap permukaan meja kopi dengan kain kering dan bersih. Elakkan kain basah bagi menghindari kesan watermark.
  6. Vakum kawasan yang berpotensi menjadi tempat duduk tetamu.

2.Bilik Air

Pernah dengar tak, kebersihan bilik air mencerminkan peribadi pemilik rumah? Jadi, pastikan bilik air sentiasa bersih dan segar. Tapi kalau belum sempat mencuci tandas, ini langkah cepat yang boleh anda buat:

  1. Buka tingkap atau saliran udara untuk pengudaraan.
  2. Kutip semua pakaian dan sampah di bilik air. Masukkan pakaian ke dalam bakul cucian, dan buang sampah terus ke tong luar.
  3. Cuci ringkas tandas, sinki dan lantai menggunakan sedikit sabun. Jangan guna terlalu banyak supaya mudah dibilas.
  4. Tutup penutup mangkuk tandas selepas dibersihkan.
  5. Lap cermin, sinki dan penutup tandas menggunakan kain kering bersih supaya tidak nampak basah atau berair.
  6. Akhir sekali, semburkan pewangi bilik air untuk aroma segar.

Dapur

Dapur antara ruang yang paling cepat bersepah dan jarang dikemas, betul tak? Bila ada tetamu nak datang barulah kelam-kabut. Jadi, cuba tip mengemas rumah bahagian dapur ni:

  1. Buka semua tingkap dan langsir untuk pengudaraan semula jadi.
  2. Basuh semua pinggan mangkuk dalam sinki. Untuk lebih mudah, rendam dahulu dalam air sabun supaya kotoran degil senang tanggal.
  3. Susun pisau dan peralatan dapur dalam bekas khas. Jika tiada, boleh letak dalam laci sementara.
  4. Lap meja makan atau tabletop dengan kain bersih dan kering.
  5. Buang sampah supaya dapur nampak segar dan tidak berbau.

Pintu Masuk

Pintu masuk adalah ruang terakhir yang perlu anda kemas. Kenapa terakhir? Sebab kalau tetamu tiba ketika anda masih mengemas di bahagian ini, ia tak begitu ketara — ruang dalam rumah dah siap, tinggal luar saja!

  1. Angkat alas kaki dan ketuk untuk buang habuk serta pasir.
  2. Susun kasut di rak supaya teratur dan tidak berselerak.
  3. Sapu perlahan-lahan kawasan pintu masuk sambil menunggu tetamu tiba.

Dah Siap Mengemas!

Nampak? Tak sampai 15 minit pun dah siap. Dengan tip mengemas rumah ini, anda bukan sahaja lebih bersedia menerima tetamu mengejut, malah rumah kelihatan lebih kemas dan wangi. Ingat, rumah bersih bukan untuk orang lain semata-mata — ia juga membuatkan anda sendiri rasa tenang.

Selamat mencuba!

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Mesti Baca: Shaheizy Sam Dedah Syatilla Melvin Rajin Kemas Rumah, ‘Vacuum’ Rumah Tengah Malam 

Published by
Impiana