Tingkap Kaca Rumah Di Jerman Besar-besar, Reka Bentuk Unik, Praktikal & Bijak

Share

Tingkap kaca rumah di Jerman besar-besar, reka bentuk unik, praktikal dan bijak. Jerman sememangnya terkenal dengan seni bina yang kemas, praktikal dan bertumpu kepada kecekapan tenaga. Dalam kalangan pengunjung luar, salah satu ciri menarik yang sering mencuri perhatian ialah saiz tingkap rumah-rumah di sana.

Tingkap Kaca Rumah Di Jerman Besar-besar, Reka Bentuk Unik, Praktikal & Bijak

Tidak seperti rumah tipikal di kebanyakan negara lain, rumah di Jerman cenderung untuk memiliki tingkap kaca yang amat besar, malah kadang kala hampir memenuhi keseluruhan dinding.

Sesuatu yang unik di Jerman, rumah-rumah di sini mempunyai tingkap kaca yang sangat besar ukurannya. Ianya bagi memastikan cahaya matahari menembusi ruang dalaman rumah dan panas yang mencukupi ketika ketibaan musim sejuk.

Contoh nyata ruang tamu di dalam rumah aku sahaja mempunyai 80% permukaan kaca tingkap. Kaca tingkap pula 5-6 cm ketebalannya.

Selain itu, ramai orang yang pertama kali tiba Jerman menganggap tingkap Jerman lain dari yang lain kerana rekabentuknya yang unik.

Apa yang uniknya? Uniknya adalah tingkapnya boleh dibuka luas dari sisi tepi (swing) atau dari atas (tilt). Ianya sebenarnya rekabentuk yang sangat praktikal dan bijak. Reka bentuk ini dipanggil ‘tilt and turn window’.

Lihat foto di bawah. Ianya adalah tingkap kaca ruang tamu dan uniknya ianya boleh dibuka dari semua arah! (Dari condong atas atau dari sisi tepi).

Kenapa tingkap buatan Jerman dibuat sebegini?

1. Satu rekabentuk, dua fungsi

Buka ke dalam dari sisi tepi (turn mode): Untuk pengudaraan maksimum atau cucian.
Condong dari atas (tilt mode): Untuk pengudaraan ringan tanpa bahaya keselamatan (contohnya di bangunan tinggi atau jika ada anak kecil).

2. Keselamatan

Jika condong dari atas (tilt mode), tingkap masih tertutup dari luar dan susah untuk penceroboh masuk. Sesuai untuk rumah yang mahu udara segar tapi kekal selamat.

3. Senang dicuci

Bila dibuka sepenuhnya dari sisi tepi (turn mode), ia menghadap ke dalam jadi senang nak cuci bahagian luar dari dalam rumah. Tak perlu panjat atau buka jeriji.

4. Pengudaraan terkawal

‘Tilt mode’ benarkan udara masuk dari atas tanpa hembusan terus bagus waktu musim sejuk, supaya tak terlalu sejuk dalam rumah tapi masih dapat udara segar.

5. Penebat bunyi dan haba yang bagus

Bingkai tingkap jenis ini biasanya sangat rapat dan kukuh, jadi ia menahan bunyi dan menjaga suhu dalam rumah sesuai dengan standard tenaga yang tinggi di Jerman.

Aku teringat lama dahulu semasa mula-mula membuka tingkap ruang tamu ini untuk membenarkan angin luar masuk dalam rumah, aku menyangka aku telah mematahkan struktur ensel atau rekabentuk tingkap yang unik ini! Rupa-rupanya memang rekaannya sebegitu!

Dinding rumah-rumah di sini pula sangat tebal binaannya dan dilapisi pula dengan penebat haba bagi mengelakkan haba dalam rumah dari menyusupi keluar.

Tambahan pula, negeri-negeri di Eropah sangat kurang menerima cahaya matahari di musim sejuk.

Satu lagi majoriti rumah-rumah di Jerman memang tidak ada yang memasang jeriji besi (grill) di semua bahagian rumah disebabkan kadar jenayah yang amat rendah sekali walaupun rumah mereka terletak di tingkat bawah sekali.

Keselamatan penduduk-penduduk yang menetap di Jerman amat terjamin. Betul-betul ‘peace of mind’ tanpa khuatir sebarang kegiatan jenayah.

Ketika musim panas, dengan waktu siang yang panjang menyebabkan matahari terbit sekitar jam 4 pagi dan terbenam sekitar jam 10 malam. Jadi malam yang sangat singkat kurang membantu mengurangkan suhu persekitaran.

Akan tetapi jika cuaca terlalu panas atau ‘heatwave’ melanda, sekolah dan pejabat mesti ditutup demi keselamatan orang ramai.

Pejabat atau sekolah ditutup di Jerman hanya kerana cuaca panas yang luar biasa (heatwave) di panggil ‘hitzfrei’.

Konsep lama yang digunapakai hingga kini setiap kali kali cuaca mencecah suhu yang luar biasa ini wujud semenjak tahun 1892!

Sebenarnya tiada peraturan bertulis khusus bila pejabat atau sekolah harus ditutup apabila suhu cuaca mencecah tinggi. Terpulang kepada kehendak atau bergantungnya keperluan di tempat kerja.

Yang pasti, syarikat mesti memastikan keselesaan ruang kerja atau sekolah dengan memastikan suhu bilik tidak melebihi daripada 26 darjah Celsius.

Jika suhu cuaca melebihi 30 darjah, majikan harus mengambil tindakan segera bagi melindungi para pekerja mereka. Ini tidak hanya berlaku untuk pejabat dan sekolah akan tetapi juga kedai, gudang, bengkel, atau tempat kerja lain.

Para pekerja juga boleh memilih tempat kerja yang lebih selesa. Jika mereka bekerja di luar dan terdedah kepada cahaya matahari, majikan harus memastikan ada tempat untuk pekerja berteduh dan air minuman yang mencukupi.

Ada juga sebilangan para pekerja dibenarkan mengubah waktu kerja mereka bagi mengelakkan cuaca yang panas lagi melampau. Sementara itu, untuk pelajar sekolah, mereka masih bersekolah tetapi dibenarkan pulang awal apabila suhu dalam kelas mencecah 30 darjah walaupun jam menunjukkan 10 pagi.

Secara keseluruhannya, tingkap besar dalam rumah-rumah Jerman mencerminkan keutamaan masyarakatnya terhadap keselesaan, kelestarian dan rekaan pintar yang sesuai dengan perubahan musim. Ia menjadi bukti bahawa elemen seni bina boleh berfungsi lebih daripada sekadar hiasan. Ia juga menyumbang kepada kesejahteraan hidup harian.

Sumber: Facebook Khairolizam Muhaidi

Baca artikel lain juga: Tip Beli Tinted & Pasang Sendiri Pada Tingkap Rumah

Grill Gunting Praktikal Pasang Di Tingkap & Sliding Door, Tak Ganggu Pandangan, Pencuri Pun Susah Nak Pecah Masuk

 

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Norhasliza Mohd Shafi