Rumah Putih Gaya ‘English Modern’ Di Klang Jadi Lambang Kasih Abadi Arwah Abang

Share

Rumah putih bergaya Rumah English Modern milik Azlina Sukardi, 41, yang terletak di Klang, Selangor ini bukan sekadar kediaman biasa, tetapi tersimpan seribu satu kisah pengorbanan, kasih sayang dan impian yang akhirnya menjadi kenyataan.

Simbol Kasih Dan Pengorbanan Abang Tersayang

Di sebalik suasana tenang dan dekorasi serba indah, kediaman ini menjadi simbol kasih abadi arwah abangnya, Hamdan, insan yang banyak berkorban dan menjadi pendorong utama kepada kejayaan Azlina sebagai usahawan kek dan biskut.

“Dulu kami menyewa rumah kecil dan hidup sederhana selama 11 tahun dengan suami memandu lori kontena. Tidak pernah terlintas dalam fikiran untuk memiliki rumah sendiri kerana tidak mudah hendak bina sebuah rumah impian jika tiada modal,” ujarnya mengenang perjalanan hidupnya.

Perjalanan Mencipta Rumah Idaman

Namun, hidupnya berubah apabila takdir menentukan arwah abang yang begitu rapat dengannya pergi menghadap Ilahi pada awal tahun 2022 akibat jangkitan kuman (sepsis) pada kaki.

“Dua tahun saya jaga abang. Dia tidak berkahwin, jadi saya yang uruskan segalanya. Abang hendak lihat impian saya ada rumah idaman tercapai,” katanya penuh sebak.

Selepas pemergian insan tersayang itu, Azlina nekad meneruskan impiannya membina rumah sendiri di atas tanah miliknya yang telah dibeli lebih awal. Sebahagian wang peninggalan arwah abang digabungkan bersama hasil simpanan perniagaannya untuk merealisasikan Rumah English Modern itu.

“Saya gunakan sebahagian wang peninggalan arwah abang untuk bina rumah ini bersama simpanan saya hasil berniaga. Projek pembinaan bermula pada awal 2022 dan siap dalam masa enam bulan sahaja, ia hasil kerja tangan pereka dalaman, Anis Syuhada dan pasukan kontraktor sama. Semua proses daripada reka bentuk sampai siap saya pantau sendiri. ID banyak bantu saya pilih tema, susun atur ruang, warna dan perabot. Setiap inci ruang ada cerita dan makna,” katanya lagi.

Azlina (kiri) bersama pasukan pereka hiasan dalaman Anis Syuhada.

Konsep Rumah English Modern Yang Tenang Dan Elegan

Pemilik Red House Bakery itu bersama suaminya, Zainudin Isnin, 40, sepakat memilih konsep Rumah English Modern dengan warna putih sebagai tema utama kerana ia membawa makna mendalam buat mereka.

“Saya suka gaya ‘English Modern’ sebab nampak kemas, ringkas dan tenang. Ia bukan sekadar cantik, tetapi menenangkan hati setiap kali pandang. Putih pula nampak bersih dan estetik. Setiap kali pulang ke rumah, rasa lega melihat ruang yang tenang dan terang,” jelasnya.

Reka Bentuk Dalaman Dan Dekorasi

Ruang tamu rumah itu dihiasi sofa berona krim lembut dengan cahaya semula jadi dari tingkap besar yang menyinari setiap sudut. Di ruang makan, meja marmar elegan menyerlahkan suasana eksklusif manakala kabinet dapur putih memberi sentuhan moden yang segar.

“Kabinet dapur juga berona putih dan saya pastikan dapur luas dan praktikal kerana saya suka memasak. Saya percaya, keindahan rumah bukan terletak kepada harga perabot, tetapi pada cara kita menjaga suasana dan kebersihan,” ujarnya.

Kenangan Abadi Dalam Rumah English Modern

Bagi Azlina, rumah ini bukan sekadar tempat berteduh tetapi juga simbol kasih dan kenangan abadi.

“Suami tahu saya minat dengan tema ‘English’. Jadi, bila saya kata nak rumah gaya ini, dia terus setuju. Bagi saya, Rumah English Modern ini paling istimewa sebab ada banyak kenangan bersama arwah abang di sini,” katanya mengakhiri bicara.

Sumber: Harian Metro dan Azlina Ina 

Artikel lain: Dari Minat Jadi Realiti , Noraida Kongsi Perjalanan Hias Rumah Idaman Gaya Modern English Cottage

Apartmen 1,000kps Berubah Wajah, Inspirasi Konsep Modern English Anggaran Kos RM60k!

 

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Norhasliza Mohd Shafi