Ruang Dapur Gaya Kafe Moden di Valencia Sungai Buloh Yang Menginspirasikan

Share

Ruang Dapur Gaya Kafe Moden di Valencia Sungai Buloh Yang Menginspirasikan.  Mengunjungi kediaman yang terletak di kejiranan Valencia, Sungai Buloh ini mengundang daya tarikan di mata penulis. Susun atur ruang dapur yang kemas dan mempunyai identiti tersendiri pastinya membuat sesiapa sahaja berasa selesa menikmati hidangan di sini. Pertemuan penulis dengan pemilik kediaman menarik minat penulis untuk mencungkil konsep ruang dapur gaya kafe moden yang diketengahkan olehnya.

“Saya sukakan konsep kafe sebab nampak relax dan chill,” akui pemilik. Pendekatan gaya ringkas bukan sahaja menjadikan ruang dapur lebih selesa, malah turut memiliki keistimewaannya yang tersendiri. Pemilik menceritakan bagaimana minatnya terhadap konsep kafe dan inspirasi dari majalah dekorasi kediaman mencetus impiannya untuk memiliki ruang dapur gaya kafe moden

sebagaimana yang diidamkan.

Elemen Susun Atur Ruang Dapur

Bagi menyuntik gaya kafe di ruang dapur, pemilik banyak bermain dengan susun atur peralatan dapur agar tampil bergaya dan dalam masa yang sama kelihatan kemas tanpa menyesakkan ruang. Sebahagian dinding dapur juga menerapkan konsep industri dan berlantaikan kayu bagi membentuk karakter yang diingini. Pemilik bijak mengkoordinasi peletakan elemen serta rona agar kelihatan harmoni dan seimbang dengan konsep ruang dapur gaya kafe moden.

Material Terpilih Bentuk Gaya Dapur

Pemilihan material stainless steel dan kayu untuk kabinet memberi inspirasi gaya dapur tampil rapi dan menarik. Pemilik memberikan kelainan dengan memadankan material kaca untuk bahagian kabinet tall unit. Penyatuan tiga material ini menonjolkan imej moden dan elegan pada rekaan kabinet. Penggayaan tanpa handle pula membentuk imej kemas dan minimalis, menyerlahkan lagi gaya kontemporari pada ruang dapur gaya kafe moden

.

Peletakan sinki granit dengan ciri tahan lasak dibentuk secara binaan dalam bagi memastikan ruang dapur digunakan dengan selesa dan bebas daripada kebocoran air. Ruang kaunter pula menjadi medan interaksi sementara untuk menikmati hidangan pagi sebelum keluar bekerja.

Ruang Penstoran Sistematik dan Praktikal

Pemilik mengatur ruang penstoran secara sistematik agar dapur tampil kemas dan mudah digunakan. Rak bergerak diwujudkan untuk penstoran bijak dan praktikal. Penstoran yang teratur bukan sahaja membantu dalam penyimpanan barang, malah menjadikan ruang dapur gaya kafe moden

ini tampil bersih dan tersusun. Dalam kabinet turut dilengkapi sistem moden bagi memudahkan penggunaan harian.

Tall unit dengan pintu kaca pula menempatkan buku-buku dan item kegemaran pemilik, sekaligus memperlihatkan personaliti dan cita rasa pemilik yang kreatif dalam penggayaan ruang dapur.

Ruang Makan Bergaya dan Harmoni

Ruang makan formal bersebelahan dapur tampil menyerlah dengan meja makan bergaya moden. Sebuah cermin dengan bingkai dempak digayakan di ruang ini untuk memberi kesan luas dan elegan. Menurut pemilik, pada hujung minggu mereka sekeluarga gemar menikmati sarapan di gazebo luar rumah sambil menghirup udara segar pagi. Gazebo yang diperbuat daripada kayu terbuang itu menyerlahkan gaya rustik dan harmoni dengan konsep ruang dapur gaya kafe moden

.

Nyata pemilik seorang yang mementingkan kesempurnaan dan gaya di ruang dapur. Tidak hairanlah ruang dapur ini sentiasa tampil hebat dan memberi inspirasi kepada sesiapa sahaja yang melihatnya.

 

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Wahab