Rahsia tanam bayam subur, sihat dan besar-besar, boleh ikut cara lelaki ini. Aktiviti berkebun kini semakin mendapat tempat di hati masyarakat, bukan hanya sebagai hobi mengisi masa lapang, malah menjadi sumber makanan segar untuk kegunaan seisi rumah. Menariknya, aktiviti ini boleh dilakukan walaupun memiliki ruang yang terhad.
Antara tanaman pilihan ramai ialah bayam kerana sifatnya yang mudah dijaga dan tempoh tuaiannya yang singkat. Selain itu, bayam turut kaya dengan pelbagai nutrisi, menjadikannya antara sayur kegemaran untuk hidangan keluarga.
Walaupun hanya mempunyai kawasan tanah yang kecil di sekitar rumah, bayam tetap boleh ditanam dengan hasil yang memuaskan.
Seorang pekebun yang dikenali sebagai Cikgu Kebun atau nama sebenarnya Mohd Syafiq Ahmad Khasasi berkongsi rahsia mudah menanam bayam agar subur dan besar.
Melalui hantaran di laman Facebook miliknya, beliau berkongsi kaedah tanaman yang merangkumi teknik penyemaian, penjarangan, pembajaan serta penjagaan air dan pencahayaan yang optimum.
Buktinya, bayam separa merah yang ditanam Cikgu Kebun membesar dengan sihat, daunnya lebar hampir sebesar tapak tangan.
Malah, pokok bayam miliknya turut tumbuh sehingga paras pinggang lelaki dewasa dengan batang sebesar ibu jari.
“Kalau tengok batang dia besar macam ni, orang ingat keras. Tapi sebenarnya batang dia lembut, senang je saya patahkan,” jelasnya sambil menunjukkan demonstrasi dalam video yang dikongsikan.
Menurut beliau, saiz bayam yang besar bukan bergantung pada baka semata-mata, sebaliknya berpunca daripada teknik dan formula tanaman yang diamalkannya.
Antara teknik yang digunakan ialah teknik brownies, merujuk kepada kaedah penyemaian tertentu yang diterangkan lebih lanjut dalam video perkongsiannya di laman TikTok.
@cikgukebunSemai Benih Sayur Macam Buat Brownies Kek♬ original sound – Cikgu Kebun CK
Dari segi pembajaan, Cikgu Kebun menggunakan baja wangi organik yang dihasilkan sendiri tanpa sebarang najis haiwan. Baja ini diperbuat daripada bahan tumbuhan, batu mineral, serta dilengkapi dengan mikrob hidup.
Tanah yang digunakan pula dikenali sebagai obess soil, iaitu campuran istimewa yang turut diformulasi sendiri oleh beliau.
Menurut Cikgu Kebun, untuk menghasilkan obess soil, anda memerlukan bahan-bahan berikut dengan nisbah tertentu:
Tanah sawit proses (nisbah 2)
Sabut kelapa hancur (nisbah 2)
Kompos tinja lembu (nisbah 1)
Sekam padi bakar (nisbah 1)
Sekam padi mentah (nisbah 1)
Selain itu, beberapa bahan tambahan turut diperlukan seperti:
Baja wangi organik sebanyak 100 gram
Perlite 50 gram
Azomite 50 gram
Dolomite 50 gram
CIRP 50 gram
Setelah semua bahan dicampurkan, semburkan dengan larutan soil treatment yang juga dihasilkan sendiri oleh Cikgu Kebun bagi meningkatkan kualiti tanah.
Melalui perkongsian ini, jelas bahawa sesiapa sahaja boleh menanam bayam yang subur dan sihat di rumah asalkan menggunakan teknik yang betul serta bahan yang sesuai. Selamat mencuba!
Sumber: Facebook Mohd Syafiq Ahmad Khasasi dan TikTok Cikgu Kebun
Baca artikel lain juga: Tanam Pokok Durian D24 Dalam Pasu, Tahun Ke Dua Berbunga & Berbuah
Pekebun Kongsi Tip Tanam Jagung, Hasil Elok, Saiz Pun Besar
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.