
Pernah tak anda alami situasi di mana jiran bina struktur tambahan, contohnya tempat letak kereta di atas tanah lapang depan rumah yang sepatutnya dikongsi bersama komuniti? Mungkin awalnya kita anggap, “Ala… kecil je, tak kacau pun,” tapi lama-lama terasa juga, sebab ruang awam makin sempit dan suasana kejiranan pun jadi janggal.
Ramai masih keliru antara tanah milik persendirian dengan tanah rezab awam. Halaman depan rumah terutamanya di taman-taman perumahan selalunya sebahagian dari rezab jalan, bukan hak milik mutlak tuan rumah. Tanah tu diperuntukkan untuk kemudahan semua: laluan pejalan kaki, akses kecemasan, ruang hijau atau kawasan parkir berkongsi.
Bila jiran mengambil ruang ini untuk bina parking tambahan, letak bumbung atau simenkan seluruh kawasan hijau, mereka sebenarnya telah mengambil hak bersama tanpa sedar (atau sengaja), telah ‘memprivasikan’ sesuatu yang sepatutnya dikongsi.
“Bukan Nak Dengki, Tapi Tak Adil…”
Kita bukan tak suka jiran upgrade rumah. Kita pun faham, kadang keluarga makin besar, kereta makin banyak. Tapi bila ada jiran yang buat struktur kekal atas tanah awam, jiran lain terpaksa hadap masalah:
– Tempat letak kereta jadi sempit
– Laluan pejalan kaki terganggu
– Pemandangan perumahan jadi tak sekata
– Rasa tak adil makin menebal
Bayangkan pula kalau semua jiran buat benda yang sama, lama-lama, ruang luar rumah bukan lagi ruang komuniti. Semua jadi milik peribadi.
Dari segi undang-undang, binaan di atas tanah milik awam tanpa kebenaran PBT (pihak berkuasa tempatan) memang salah. Struktur tersebut boleh dirobohkan tanpa pampasan. Tapi ramai ambil pendekatan “buat dulu, cerita kemudian.” Inilah punca ketegangan kejiranan, walaupun tak terus bergaduh, tapi cukup untuk cipta jurang rasa kurang senang.
Bina parking tambahan mungkin nampak seperti hal kecil dan “tak kacau sesiapa,” tapi bagi jiran yang setiap hari hadap pandangan tak seimbang, sempit nak parkir, atau hilang tempat anak-anak main, ia bukan hal kecil.
Dalam semangat nak selesa di rumah sendiri, jangan sampai rumah orang lain jadi tak selesa. Ruang awam bukan untuk ‘diambil’, ia ruang yang kita jaga bersama. Sebab rumah bukan sekadar bangunan, tapi juga cerminan adab kita hidup bermasyarakat.
Baca artikel lain juga: Buat Sendiri Pantri Ringkas Untuk Dapur Kecil. Guna 2 Rak Saja
Ramai Tak Tahu, Pilihan SINKI Pun Boleh Ubah Mood Kat Dapur
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.