Langkah Perlindungan Dan Pencegahan Virus HFMD Yang Perlu Anda Lakukan Di Rumah

Share

Ketika ini, isu paling hangat diperkatakan adalah tentang wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang terus meningkat di seluruh negara pada kadar yang membimbangkan (jumlah kes terkini 39,174, dengan dua kematian pada ketika artikel ini ditulis). Pihak berkuasa telah menekankan kepentingan mengamalkan gaya hidup sihat dan kebersihan yang baik dengan memerintahkan aktiviti pembendungan di sekitar negara. Setakat ini, sebanyak 539 premis telah ditutup, termasuk 241 taska dan 259 tadika. Sekolah dan pusat penjagaan kanak-kanak merupakan hotspot penyebaran virus ini tetapi ia juga menjadi tanggungjawab anda untuk melindungi kediaman masing-masing bagi mengurangkan kemungkinan anak anda daripada diserang HFMD. Jadi mari kita kenali virus HFMD dan langkah-langkah pencegahan untuk memastikan rumah anda sentiasa selamat dan bebas daripada virus merbahaya ini.

APA ITU HFMD?

Penyakit tangan, kaki dan mulut atau lebih dikenali sebagai HFMD adalah penyakit berjangkit yang biasanya disebabkan oleh Coxsackie Virus A16 dan Enterovirus 71 (EV 71). Ia boleh menjangkiti setiap orang tidak mengira peringkat umur, terutama bayi dan kanak-kanak yang berumur kurang daripada 5 tahun. Tiada ubat khusus untuk merawat penyakit tangan, kaki dan mulut ini. Ibu bapa boleh lindungi anak-anak daripada jangkitan dengan mengamalkan kebersihan yang baik dan mengajar mereka untuk menjaga kebersihan.

BAGAIMANA HFMD TERSEBAR?

HFMD merebak dari satu individu ke individu yang lain melalui hubungan secara langsung dengan hingus, air liur, najis dan cecair dari ruam seseorang yang telah dijangkiti. Individu dengan sistem imun yang lemah juga boleh diserang HFMD melalui sentuhan dengan permukaan alatan atau perabot yang mungkin telah dijangkiti. Kebiasaan jangkitan adalah ringan (mild) dengan gejala demam diikuti ruam melepuh (blister) pada tangan, kaki, mulut dan lidah. Kanak-kanak juga boleh mengalami gejala jangkitan pada saluran pernafasan, muntah, cirit birit dan kurang selera makan. Cabaran utama oleh mereka yang dijangkiti ialah dehidrasi dan ulser yang sangat pedih. Akibatnya, proses menelan akan jadi seperti mimpi ngeri. Walau bagaimanapun, jangkitan EV71 boleh menyebabkan komplikasi teruk seperti encephalitis, pulmonary edema dan myocarditis namun, ianya jarang berlaku. Masih tidak ada vaksin dan rawatan khusus untuk wabak HFMD.

APAKAH LANGKAH PENCEGAHAN HFMD?

Pertahanan terbaik terhadap HFMD adalah dengan mengamalkan tabiat kebersihan yang baik. Ajarkan anak-anak untuk mementingkan kebersihan dengan mencuci tangan menggunakan sabun sebelum dan selepas menyentuh sesuatu. Selain itu, ibu bapa tidak sepatutnya membiarkan anak-anak meletakkan tangan kedalam atau berhampiran mulut mereka. Ibu bapa juga perlu memastikan persekitaran sentiasa bersih dan tidak tercemar. Jika anak anda mempunyai HFMD, asingkan pesakit daripada orang lain dan elakkan perkongsian sebarang alatan.

Sebagai langkah keselamatan, anda juga boleh memastikan kediaman sentiasa bersih dengan menekankan ini 4 tips ini ;

  • Lakukan proses pembersihan dalam aliran melurus. Menurut ahli mikrobiologi Dr. Yeo Wee Ming, langkah tersebut adalah lebih berkesan berbanding jika anda mengelap dalam pergerakan membulat.
  • Tumpukan kerja pembersihan lebih pada ruang anak-anak bermain, bilik tidur, bilik mandi, dan dapur. Beri penekanan pada paip, tombol pintu, meja, permukaan kaunter, perkakas dapur, tempat duduk tandas, suis lampu, peranti elektronik, keyboard komputer, dan alatan permainan.
  • Tidak seperti kebanyakan kuman, virus HFMD kalis sabun pencuci biasa dan juga cecair pembersih yang mengandungi alkohol. Apabila membersihkan permukaan, gunakan agen pembersihan antibakteria yang kuat untuk membuang kotoran dan kuman kemudian disusuli dengan pembasmi kuman yang kuat seperti peluntur. Tetapi jangan lupa untuk semak label untuk cara penggunaan yang disyorkan bagi megelakkan sebarang kemalangan yang tidak diingini.
  • Jika anda tidak mahu membersihkan rumah menggunakan bahan kimia, anda boleh juga menggunakan mesin pembersihan wap untuk membasmi kuman dan virus. Mesin wap menjana tekanan wap air yang tinggi dan dengan mudah akan membersihkan rumah anda dari virus HFMD berbahaya dan hama habuk, serta menghapuskan kotoran yang tersembunyi.

 

SUMBER

 

 

 

 

 

IKLAN