KUCING PELIHARAAN Sering Ceroboh & Buang Najis Rumah Jiran, Pemilik Haiwan Disaman RM6,190!

Share

Seorang pemilik kucing peliharaan di Perancis berdepan tindakan undang-undang selepas haiwan kesayangannya didakwa kerap menceroboh kawasan jiran sehingga menyebabkan pelbagai kerosakan. Antara aduan termasuk kesan tapak kaki pada dinding, air kencing di atas selimut, serta najis yang ditinggalkan di taman.

Pemiliknya, Dominique, 70, dari wilayah Hérault, Perancis berkata, dia terkejut apabila menerima notis saman daripada jirannya yang tidak didedahkan identiti. Pada Januari lalu, mahkamah memutuskan bahawa pemilik kucing peliharaan itu bersalah dan didenda sebanyak 1,250 euro (RM6,190). Selain itu, dia turut berdepan penalti tambahan sekiranya kucingnya, Remy, melintasi pagar jiran berkenaan lagi.

Remy Kini “Dihukum” Tahanan Dalam Rumah

“Apabila menerima notis sabitan, saya ibarat dipukul teruk,” ujar Dominique.

“Sejak keputusan itu, saya terpaksa kurung Remy dalam rumah. Dia kini gemuk dan agresif. Saya tak berani lepaskan dia ke taman sendiri kerana bimbang dia melompat pagar. Seolah-olah dia kena hukuman tahanan rumah.”

Persoal Keputusan Mahkamah

Dominique mempersoalkan keputusan mahkamah apabila jiran tersebut tidak dapat membuktikan bahawa Remy satu-satunya kucing peliharaan yang berkeliaran. Ini kerana terdapat banyak kucing lain, termasuk kucing terbiar, di kawasan itu. Namun, hakim tetap berpihak kepada plaintif dan memutuskan denda terhadap Dominique tetap sah.

Jika sabit kesalahan berulang, Dominique bakal berdepan denda tambahan sebanyak 2,000 euro (RM9,890) serta penalti harian 150 euro (RM740). Kes ganjil ini turut menarik perhatian kumpulan hak asasi haiwan di Perancis, yang menyifatkan keputusan mahkamah itu menafikan naluri semula jadi kucing peliharaan

yang suka menjelajah persekitaran mereka.

Kes Serupa Pernah Berlaku

Tahun lalu, satu kes hampir sama berlaku apabila sepasang suami isteri turut disaman kerana ayam jantan peliharaan mereka berkokok terlalu kuat hingga mengganggu jiran. Kes seperti ini menunjukkan bahawa pemilik haiwan perlu lebih peka terhadap tanggungjawab sosial dan undang-undang, terutamanya apabila melibatkan kebersihan dan ketenteraman awam.

Pengajaran Untuk Pemilik Haiwan

IMPIANA: Apa yang penting, jika anda mempunyai kucing peliharaan atau haiwan lain di rumah, jagalah sebaik mungkin agar tidak menimbulkan rasa tidak senang hati jiran tetangga. Tindakan seperti memastikan haiwan tidak berkeliaran bebas dan menjaga kebersihan kawasan amat penting bagi mengelakkan sebarang tindakan undang-undang.

Mesti Baca: Kucing/Anjing Buang Najis Merata? Hati-Hati, Denda RM10K Menanti Pemilik Haiwan!
Baca Lagi Di Sini: Sofa Jadi Tempat Kucing Suka Kencing, Begini Cara Nak Hilangkan Bau Hancing.
Artikel Menarik: Sayang Kucing Biar Bertempat, Jangan Bela Hingga Susahkan Jiran Tetangga!

Sumber: Sinar Harian

Follow kami diWEBSITETELEGRAMINSTAGRAMTIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Wahab