
Daripada sekadar menghiasi lantai dan dinding, jubin kini dibawa ke ruang yang lebih kreatif menerusi Kooqa, jenama perabot gaya hidup baharu di bawah Jubin Cantik Sdn Bhd.
Dilancarkan sempena sesi previu media di ibu pejabat Jubin Cantik di Kajang, Kooqa mengetengahkan perabot berjubin seramik buatan tangan dengan pendekatan moden, minimalis dan elegan. Koleksi ini disasarkan bukan sahaja untuk kediaman, tetapi turut sesuai digunakan di hotel, kafe serta ruang komersial.
Membawa slogan “Ordinary Ends Here”, Kooqa mahu mengambil elemen jubin yang biasanya dilihat sebagai bahan kemasan lalu menjadikannya sebahagian daripada objek perabot yang mempunyai identiti tersendiri.
Pelancaran Kooqa juga menjadi satu lagi perkembangan dalam perjalanan syarikat yang bermula sejak 2016.
Jubin Cantik pada asalnya beroperasi sebagai Wall Planet, sebuah perniagaan yang memberi tumpuan kepada kertas dinding. Pada 2019, pengasasnya, Firdaus, mula meneroka industri jubin dan memperkenalkan perniagaan dengan nama Décor Flava.
Dua tahun kemudian, syarikat itu melalui proses penjenamaan semula sebagai Jubin Cantik dan mula memberi fokus sepenuhnya kepada industri jubin.
Hari ini, Jubin Cantik mempunyai empat cawangan yang beroperasi di Kajang, Shah Alam, Wangsa Maju dan Johor Bahru. Kehadiran Kooqa pula menjadi langkah seterusnya untuk membawa pengalaman serta kepakaran syarikat dalam jubin kepada kategori perabot buatan tempahan.
Untuk permulaan, Kooqa memperkenalkan tiga koleksi yang membawa karakter berbeza tetapi masih mengekalkan penggunaan jubin sebagai elemen utama reka bentuk.
The Plinth Collection hadir dalam bentuk meja kopi dengan harga RM5,700, manakala The Accent Collection merupakan meja konsol yang turut ditawarkan pada harga RM5,700.
Sementara itu, The Metal Series menggabungkan struktur besi dengan corak jubin dalam bentuk set meja bersama stool
, ditawarkan pada harga RM3,850.Setiap produk dibuat berdasarkan tempahan, memberikan Kooqa ruang untuk memberi perhatian lebih kepada aspek kemasan serta karakter perabot yang dihasilkan.
Pendekatan made-to-order itu juga menjadikan produk Kooqa berbeza daripada perabot pengeluaran besar-besaran yang biasanya tersedia terus di pasaran.
Kemunculan Kooqa mencerminkan perubahan cara pemilik rumah melihat perabot.
Meja kopi atau meja konsol misalnya tidak lagi hanya berfungsi sebagai tempat meletakkan barang, tetapi boleh menjadi antara elemen visual utama yang menentukan karakter sesebuah ruang.
Penggunaan jubin pula membuka lebih banyak kemungkinan dari segi tekstur, corak dan kemasan. Dalam ruang minimalis, material ini mampu memberikan sedikit kontras tanpa memerlukan terlalu banyak elemen dekorasi.
Pada masa sama, sifat reka bentuknya membolehkan koleksi Kooqa disesuaikan dalam pelbagai persekitaran, daripada kediaman moden hinggalah ruang hospitaliti dan komersial.
Menurut kenyataan mereka, setiap tempahan Kooqa mengambil masa kira-kira 12 hari bekerja untuk disiapkan selepas pesanan disahkan.
Pembayaran pula boleh dilakukan menggunakan kad atau perbankan dalam talian, selain pilihan pelan ansuran seperti Easy Payment Plan (EPP), Interest-free Payment Plan (IPP) serta Buy Now, Pay Later (BNPL).
Sempena pelancaran, Kooqa turut menawarkan diskaun awal RM800 kepada 50 pelanggan pertama yang membuat tempahan. Pembelian boleh dilakukan menerusi laman sesawang rasminya, https://kooqa.co/.
Dengan pelancaran jenama ini, Jubin Cantik kini bergerak melangkaui peranan sebagai peruncit jubin semata-mata. Kooqa memberi gambaran bagaimana material yang sudah biasa dilihat dalam ruang kediaman boleh diberikan fungsi dan identiti baharu apabila diterjemahkan melalui reka bentuk perabot.