Refleksi Siling Tinggi 20 Kaki, Teres Konsep Moden Kontemporari Tampak Luas & Lapang!

Share

IMPIANA berkesempatan berkunjung ke rumah teres 2 tingkat (corner lot) yang berkonsep Moden Kontemporari di Kajang. Saat kaki melangkah masuk ke dalam rumah, mata terpana pada ketinggian siling kediaman ini berukuran lebih 20 kaki. Sekaligus ia memberi refleksi ruang rumah tampak lebih luas dan lapang.

Menurut pemilik kediaman, Ahmad Irwan Ahmad Rostam dan Nurul Shahida Zailan, ketinggian siling rumah ini antara sebab utama mereka ‘jatuh cinta’ dan membeli rumah tersebut, selain mempunyai laman tepi yang luas.

“Kalau tengok rumah ni, memang ‘high ceiling’ dalam 20 kaki, jadi ia antara sebab kenapa kami beli rumah ini. Kalau masuk rumah tu memang nampak luas dan lapang, vibes pun macam lain sikitlah,” ujar Shahida yang telah 3 tahun tinggal di rumah ini.

Dekorasi Konsep, Idea Bersama Suami Isteri

Menariknya dari segi idea dekorasi konsep, pemilihan material, perabot rumah dan sebagainya, semuanya hanya dilakukan oleh pemilik sendiri, suami isteri tanpa menggunakan khidmat ID. Meskipun renyah dan lebih banyak kerja perlu dilakukan, namun bagi pemilik suami isteri, kepuasan hasilnya yang lebih utama.

“Rumah kami ni, rumah teres dua tingkat (corner lot) berkeluasan 4000kps, ada 4 bilik dan 3 bilik air. Asalnya kami tiada konsep, tapi bila dah buat ia lebih kepada konsep Moden Kontemporari,”

“Rumah ini, dekorasi ideanya memang idea sendiri, tak pakai ID. Memang banyak kerja sikitlah tapi kepuasan itulah sebenarnya lebih utama. Bila buat sendiri tu kita tau apa yang kita nak,”

“Masa masuk rumah ini, keutamaan kami adalah fokus pada ruang tamu terlebih dahulu. Selepas settle ruang tamu, barulah ke ruang makan, seterusnya ke bahagian dapur,” jelas Shahida.

‘Panel Board & Fluted Panel’ Bahagian Dinding

Beberapa idea dekorasi ruang rumah turut mencuri perhatian dan boleh dijadikan inspirasi. Antaranya IMPIANA cukup tertarik dengan idea pemasangan ‘panel board’ pada bahagian dinding, yang lebih tahan lasak berbanding ‘wall paper’.

Secara luaran ‘mata kasar’ panel board ini mungkin hanya kelihatan seperti dinding biasa, namun disebaliknya ia merupakan pintu menuju ke bilik tetamu. Begitu juga, ‘fluted panel’ yang dipasang pada dinding, bukan sahaja sekadar dekorasi kediaman malah berperanan sebagai pintu stor yang tersembunyi di rumah ini.

Ruang Makan Formal & Santai

Berkongsi cerita mengenai ruang makan dan dapur kediaman ini, jelas pemilik ruang makan mempunyai 2 ruang berbeza, iaitu ruang makan formal yang menempatkan meja makan 8 tempat duduk serta ruang makan santai keluarga di Kaunter Bar di dapur.

“Dining area formal rumah kami lebih kepada tempat makan untuk tetamu pada hari tertentu, seperti Hari Raya. Jika ruang makan harian keluarga pula seperti waktu breakfast, adalah di (Kaunter Bar) dapur,”

terang Shahida.

Berhampiran ruang makan juga menempatkan ruang santai yang mempunyai bangku panjang(bench) dan tingkap dengan permandangan luar semulajadi yang dijadikan ‘healing space’ buat pemilik suami isteri.

“Asalnya di sini merupakan ruang untuk ‘dry kitchen’. Namun kami ubah dan jadikan ia sebagai satu ‘healing space’. Kami letak bench yang ada storage, ada sinki juga jadi tetamu tak perlu pergi ke dapur untuk cuci tangan. Paling best, ia berlatarbelakangkan pokok-pokok yang menghijau,

“Disinilah, selain di laman luar, tempat kami minum kopi, main gitar, baca buku dan sebagainya,” jelas Shahida yang berhasrat untuk ubahsuai ‘laundry area + wet kitchen’ sebagai perancangan masa hadapan nanti.

Renovasi Ruang Dapur Tampak Luas

Ruang dapur kediaman ini kelihatan lebih luas berbanding keluasan dapur standard biasa. Rupanya ia adalah inisiatif pemilik, dalam meluaskan lagi ruang dapur dengan memecahkan bahagian bilik kecil dan tandas yang ada sebelum ini.

“Asalnya sini (kaunter bar & pantri) adalah bilik air dan bilik ‘maid’. Tapi kami ubah semula sebab nak dapur yang luas. Jadi ia dipecahkan dan jadikan kaunter bar sebagai ruang makan serta pantri sebagai ruang simpanan barang makanan kering,” ujar Shahida yang memilih permukaan kaunter top material Quartz Stone yang tahan lasak dan ‘full height cabinet’ dalam memaksimumkan penstoran ruang dapur.

Definisi Rumah

Rumah pastinya bukan hanya sekadar tempat untuk berteduh, ia mempunyai pengertian yang lebih bermakna. Bagi pemilik, rumah mempunyai definisinya yang tersendiri.

“Rumah bagi saya, bukanlah hanya sekadar cantik untuk dilihat, tapi ia haruslah kita ada rasa ‘liveable’. Ada moment dengan anak-anak dan keluarga. Sebab saya rasa daripada rumahlah, bermulanya ikatan kekeluargaan itu,” ujar Shahida yang menjadikan ruang tamu sebagai ruang kegemaran untuk meluangkan masa bersama-sama dengan keluarga.

Terima kasih buat pemilik kediaman sudi terima kunjung IMPIANA. Semoga perkongsian dekorasi rumah berkonsep Moden Kontemporari ini dapat menjadi inspirasi buat pencinta dekorasi kediaman yang lain.

INFO KEDIAMAN:
Nama Pemilik: Ahmad Irwan Ahmad Rostam & Nurul Shahida Zailan
Jenis Kediaman: Teres (Corner Lot)
Konsep Kediaman: Moden Kontemporari
Usia Kediaman: 3 Tahun
Keluasan : 4000kps (31’x75’)

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Wahab