
Langkah saja ke ruang tamu rumah ini, terus terasa aura tenangnya. Segala-galanya tampak sempurna — dari pencahayaan hangat hingga padanan warna neutral yang menenangkan jiwa. Inilah kediaman milik Nurashikin Jaafar (Ekin) dan pasangannya di Bandar Gamuda Gardens, yang berjaya menzahirkan impian kediaman modern luxury bak hotel mewah dengan sentuhan peribadi yang penuh jiwa. Setiap sudut bukan sekadar cantik, tetapi mempunyai nilai emosi tersendiri.
Bercerita tentang inspirasi dekorasi, Ekin mengakui dia jatuh cinta dengan rumah ini bukan kerana saiz atau lokasi semata-mata, tetapi kerana potensi ruang yang membolehkan dirinya mengekspresikan identiti dan citarasa peribadi.
“Dari awal lagi saya memang impikan suasana rumah yang tenang, kemas dan terasa seperti berada di hotel. Itulah sebabnya saya pilih konsep modern luxury sebagai tema utama kediaman ini,” jelas Ekin dengan senyuman.
Konsep ini menekankan gabungan kemewahan minimalis dengan tekstur mewah seperti fabrik lembut, pencahayaan hangat dan kemasan elegan yang mencipta suasana cozy namun tetap eksklusif. Warna neutral seperti beige, kelabu lembut, dan coklat diserikan dengan sentuhan emas serta hitam untuk menyerlahkan aura mewah.
“Bagi saya, rumah bukan sekadar tempat tinggal. Ia tempat untuk berehat, recharge dan mencipta kenangan. Saya nak setiap kali balik rumah, saya rasa tenang macam check-in hotel setiap hari.”
Menariknya, keseluruhan dekorasi dan susun atur rumah ini direka sepenuhnya oleh Ekin sendiri tanpa bantuan pereka hiasan dalaman.
“Saya memang minat dunia dekorasi, jadi proses menghias rumah ini adalah satu kepuasan peribadi. Saya banyak rujuk idea pereka luar negara, terutamanya dari UK, sebab saya suka gaya modern luxury mereka yang elegan tapi tetap praktikal,” katanya.
Inspirasi banyak datang dari Pinterest dan laman dekorasi Eropah yang menampilkan rekaan clean aesthetic, hotel boutique vibes dan ruang yang menenangkan. Setiap pilihan dibuat bukan kerana trend, tetapi kerana fungsinya dan bagaimana ia membuatkan pemilik berasa “at home”.
“Saya pilih setiap perabot, warna, tekstur dan lampu dengan tujuan, semuanya mesti ada kesinambungan antara ruang, bukan sekadar cantik di mata.”
Walaupun hasilnya tampak seperti projek pereka profesional, semua kerja renovasi disiapkan dalam masa hanya dua bulan sahaja. Rumah ini adalah unit baru, dan sebaik menerima kunci, Ekin terus memulakan proses pemeriksaan defect serta ubah suai. Namun, perancangannya sudah bermula tujuh bulan lebih awal.
“Saya mula cari kontraktor seawal mungkin supaya bila rumah siap, semua terus boleh jalan. Saya sendiri urus dan pantau setiap kerja supaya semuanya ikut konsep yang saya nak.”
Antara kontraktor yang terlibat:
Rumah teres dua tingkat ini mempunyai satu ruang tamu utama, tiga bilik tidur, satu bilik mainan, dapur kering, dapur basah dan ruang laundry. Ekin menitikberatkan aliran ruang yang selesa, memastikan setiap kawasan mempunyai fungsi tersendiri tanpa kelihatan sempit atau sarat.
Ruang tamu dihiasi sofa fabrik neutral dan feature wall menarik dengan pencahayaan lembut yang memberi aura mewah tapi santai. Dapur kering tampil moden dengan kemasan glossy laminate
serta built-in cabinet kemas yang dihubungkan terus ke dapur basah untuk fungsi praktikal.Bilik tidur utama pula menampilkan suasana paling peribadi, berlatarkan warna kelabu lembut serta lampu gantung warm white untuk kesan ala hotel. Sebuah bilik dijadikan bilik mainan dengan dekorasi ceria namun kekal dalam tema neutral agar harmoni dengan keseluruhan konsep rumah.
“Saya percaya rumah yang cantik mesti juga praktikal. Tak guna cantik kalau tak selesa untuk digunakan setiap hari.”
Walaupun jumlah kos renovasi tidak didedahkan, Ekin menegaskan bahawa setiap perbelanjaan dibuat dengan bijak. “Saya tak suka berbelanja berlebihan, tapi saya percaya pada kualiti. Lebih baik labur sedikit untuk hasil yang tahan lama dan nampak kemas.”
Kerjasama rapat antara kontraktor dan pemilik menjadikan setiap proses berjalan lancar, tanpa pembaziran masa atau bajet.
Kediaman ini bukan sekadar cantik di mata, tetapi mencerminkan ketenangan, kesungguhan dan cita rasa tuannya. Setiap ruang dicipta dengan penuh kasih — dari pemilihan warna ke pencahayaan, semuanya menyatu dalam harmoni sempurna.
“Saya nak rumah ini jadi tempat saya recharge, tenang, selesa dan berjiwa. Bila tengok hasil akhir, saya tahu setiap usaha dan perancangan itu berbaloi.”
Dengan gaya modern luxury yang serba eksklusif, rumah Nurashikin Jaafar di Gamuda Gardens membuktikan satu perkara, anda tak perlu pereka dalaman untuk hasil mewah. Cukup dengan citarasa, kesabaran, dan visi yang jelas.
Artikel lain: Beli Rumah, Runtuhkan & Bina Semula: Trend Pemilik Rumah Moden Pilih Ikut Citarasa Sendiri
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.