Angka Korban 44 Orang, Kompleks Pangsapuri Wang Fuk Court Tidak Memenuhi Piawaian Keselamatan Kebakaran

Share

Lebih 44 orang terkorban manakala 279 lagi mangsa masih hilang. Ia merupakan angka korban kebakaran paling dahsyat di sebuah kompleks pangsapuri di Hong Kong sejak 30 tahun lalu.

Menurut laporan, api mula dilaporkan di Wang Fuk Court pada 26 November 2025, sekitar 2:51 petang waktu tempatan. Kebakaran dipercayai mula menjalar dari struktur luar, scaffolding buluh & jaring pelindung yang dipasang untuk kerja ubah suai pada luar bangunan.

Api dipercayai merebak pantas akibat penggunaan perancah buluh yang tidak selamat serta bahan pelapik yang digunakan dalam kerja penyelenggaraan, menurut polis.

Anggota bomba yang bertugas sepanjang malam bergelut untuk mencapai tingkat atas kompleks perumahan Wang Fuk Court berikutan bahang melampau dan asap tebal dari kebakaran yang tercetus petang semalam.

2000 Unit Pangsapuri, 8 Blok

Kompleks di daerah Tai Po, utara Hong Kong itu mempunyai 2,000 unit pangsapuri merangkumi lapan blok. Menjelang awal pagi Khamis, pihak berkuasa memaklumkan kebakaran di empat blok berjaya dikawal, manakala operasi memadamkan api masih diteruskan di tiga blok lain selepas lebih 15 jam.

Rakaman video dari lokasi kejadian menunjukkan api masih marak dari sekurang-kurangnya dua menara setinggi 32 tingkat, dengan asap tebal berkepul keluar dari beberapa bahagian bangunan.

Jaring keselamatan hijau dan perancah buluh yang digunakan pada bangunan berkenaan adalah sebahagian daripada amalan pembinaan tradisional China, namun penggunaannya sedang dihentikan di Hong Kong sejak Mac lalu atas faktor keselamatan.

Bangunan Tidak Memenuhi Piawaian Keselamatan Kebakaran

Polis berkata selain bangunan diselubungi jaring perlindungan dan plastik yang mungkin tidak memenuhi piawaian keselamatan kebakaran, beberapa tingkap pada sebuah bangunan yang tidak terjejas didapati ditutup dengan bahan pelapik dipasang syarikat pembinaan menjalankan kerja penyelenggaraan.

“Kami mempunyai alasan untuk mempercayai bahawa pihak bertanggungjawab dalam syarikat itu cuai secara serius, sehingga membawa kepada kemalangan ini.

“Mereka menyebabkan kebakaran merebak tanpa kawalan hingga mengakibatkan korban besar,” kata Superintendan Polis Hong Kong, Eileen Chung.

Tiga lelaki dari syarikat berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan membunuh tanpa niat.

Seorang anggota bomba turut termasuk dalam 44 mangsa yang terkorban, manakala 45 lagi berada dalam keadaan kritikal di hospital, menurut polis Hong Kong pada sidang media sebelum subuh.

Ketua Eksekutif Hong Kong, John Lee, memberitahu pemberita bahawa keutamaan adalah memadamkan api dan menyelamatkan penduduk yang terperangkap.

“Kedua, memberi sokongan kepada mangsa cedera. Ketiga, memberi bantuan dan pemulihan. Selepas itu, kami akan melancarkan siasatan menyeluruh.

“Sebanyak 279 individu dilaporkan tidak dapat dihubungi, manakala 900 lagi berlindung di lapan pusat perlindungan,” katanya.

Pada Rabu, struktur perancah dilihat jatuh berguguran ketika anggota bomba berusaha memadam api, manakala puluhan jentera bomba dan ambulans memenuhi jalan di sekitar kawasan pembangunan itu.

Dari tanah besar China, Presiden Xi Jinping menggesa ‘usaha habis-habisan’ untuk memadam kebakaran dan mengurangkan angka korban serta kerugian, menurut penyiar negara CCTV.

IMPIANA: Salam takziah buat mangsa-mangsa yang terkorban dan terlibat dalam tragedi kebakaran ini. Semoga di permudahkan urusan dan setiap pihak mengambil iktibar dan menilai semula langkah keselamatan terbaik terutamanya bagi pembinaan bangunan bertingkat.

Sumber: BHarian

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Wahab