Jangan Abaikan Waterproofing Bilik Air Tingkat Bawah, PENTING Elak Retak & Kerosakan Rumah!

Share

Bagi pemilik kediaman yang sedang merancang untuk melakukan renovasi pada bahagian tandas, ada beberapa perkara yang perlu diberi perhatian penting, supaya tidak menyesal di kemudian hari. Antaranya ialah sistem waterproofing bilik air atau kalis air pada lantai dan dinding bilik air.

Pastikan semua bilik air di rumah dipasang dengan sistem waterproofing ini, tak kiralah ia terletak di tingkat atas atau bawah. Waterproofing bilik air penting bukan sekadar nak halang lembapan masuk ke dalam bangunan, tapi juga nak pastikan lembapan keluar ikut laluan yang sepatutnya.

Dengan sistem yang betul, anda dapat mengelakkan masalah besar yang sering berlaku pada tandas seperti lantai bocor, air bertakung dan dinding berkulat. Selain itu, melakukan pengubahsuaian pada tandas atau bilik air di rumah memang memerlukan kos yang besar. Jadi buat sehabis baik dari awal proses renovasi daripada perlu membayar kos pembaikan yang boleh dielakkan nanti. Jimat duit!

Sistem Waterproofing Tandas

Perkongsian daripada Lee Wai Wan ini boleh dijadikan panduan. Sistem kalis air (waterproofing) untuk tandas di tingkat bawah amat penting kerana ia melibatkan bahagian dinding dan juga lantai.

1) Mendapan Tanah & Sinkhole Di Bawah Bilik Air

Tandas bawah yang tidak disapu dengan sistem kalis air akan menyebabkan air meresap masuk melalui konkrit atau simen yang telah retak. Ini boleh menyebabkan tanah atau pasir di bawah tandas dialirkan air serta menjadi kosong. Bila ruang bawah tanah kosong, bahagian atas tidak lagi dapat menampung berat bangunan — menyebabkan retak atau mendapan berlaku.

Masalah menjadi lebih kritikal jika pada masa sama berlaku kebocoran paip air. Jadi, waterproofing bilik air bawah amat penting untuk elakkan risiko ini.

2) Dinding Luar Tandas Mengelupas & Berkulat

Sekiranya tandas tidak disapu sebarang sistem kalis air, air yang meresap masuk melalui dinding tandas akan keluar ke dinding luar. Ia menyebabkan cat mengelupas, permukaan berkulat dan akhirnya memberi kesan kepada kesihatan penghuni rumah.

Tak kiralah berapa kali anda mengecat semula dinding luar, ia tetap rosak jika punca utama iaitu kelembapan dari tandas tidak diselesaikan.

3) Risiko ‘Concrete Cancer’ Pada Struktur Bangunan

Air bocor dari tandas yang tidak mempunyai sistem waterproofing bilik air boleh meresap ke struktur asas rumah. Ia mempercepatkan proses karat pada besi dalam konkrit, melemahkan struktur dan boleh membahayakan keselamatan penghuni.

Masalah ini dipanggil “concrete cancer”, dan jika dibiarkan terlalu lama, sebahagian rumah boleh runtuh.

4) Tanah Tidak Stabil & Bangunan Menjadi Terapung

Apabila air bocor dan meresap ke dalam tanah, tanah di bawah menjadi lembab dan mengembang. Kawasan lain yang kering pula mengecut. Ketidakseimbangan ini menyebabkan tanah menolak struktur bangunan ke atas di satu bahagian dan mendap di bahagian lain.

Lama-kelamaan, rumah kelihatan seolah-olah tergantung dan retak mula muncul di pelbagai bahagian dinding. Keadaan ini boleh dielakkan dengan hanya memastikan kerja waterproofing bilik air

dilakukan dengan betul sejak awal.

Kesimpulan

Kerja kalis air (waterproofing) adalah amat penting dan perlu dilakukan dengan sebaiknya agar rumah anda selamat untuk didiami. Jangan pandang ringan, kerana sistem waterproofing bilik air yang betul dapat mengelakkan anda daripada membelanjakan wang yang lebih banyak untuk membaiki kerosakan akibat kerja sambil lewa atau tidak mempedulikannya.

Pastikan kontraktor anda menggunakan bahan kalis air berkualiti dan ikut prosedur pemasangan yang betul. Langkah kecil ini boleh menyelamatkan struktur rumah anda dalam jangka masa panjang!

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Suhaidah Wahab