
Hias rumah dengan jalur gemilang, penduduk buru gelaran ‘Rumah Terpaling Merdeka.’Sudah menjadi kebiasaan sejak 15 tahun lalu bagi seorang penduduk Taman Pinggiran Senawang untuk menghias kediamannya dengan Jalur Gemilang setiap kali tibanya bulan kemerdekaan.
Menurut Jasmin Abu Hassan, 53, dia berasa tidak tenang sekiranya rumahnya tidak dipasang dengan bendera sebagai tanda cintanya terhadap tanah air. Namun, sambutan kali ini agak istimewa apabila beliau menambah kelainan dengan memasang 10 potret Perdana Menteri di bahagian hadapan rumah, selain ratusan Jalur Gemilang, sebagai usaha merebut gelaran ‘Rumah Terpaling Merdeka’ yang dianjurkan Kawasan Rukun Tetangga (KRT).
“Biasanya saya akan pasang bendera Malaysia dan bendera Negeri Sembilan sahaja, tetapi kali ini saya menghias rumah dengan lebih banyak bendera.
“Seronok pula tengok rumah penuh dengan Jalur Gemilang dan setakat ini lebih 100 helai telah dipasang,” katanya.
Jasmin yang bekerja sebagai penyelia di sebuah syarikat swasta turut menegaskan, dia tidak berkira soal perbelanjaan membeli Jalur Gemilang kerana baginya, ia adalah tanda penghargaan kepada pejuang terdahulu yang berkorban demi kemerdekaan negara.
“Biasanya saya akan ambil masa selepas balik kerja dan pada cuti hujung minggu untuk buat dekorasi bendera ini,” katanya yang turut mendapat sokongan daripada isteri dan anak-anak.
Sementara itu, Pengerusi KRT Taman Pinggiran Senawang, Fadzil Sharif, 59, menjelaskan, pertandingan Rumah Terpaling Merdeka dianjurkan bertujuan menyemarakkan suasana sambutan Hari Kebangsaan di kawasan itu.
Beliau memaklumkan, sepanjang bulan Ogos akan diadakan pemilihan pemenang mingguan dari tempat pertama hingga ketiga, sebelum kesemua pemenang tersebut disenaraikan untuk ke pertandingan akhir pada malam ambang Merdeka bagi menentukan juara keseluruhan.
“Berdasarkan penganjuran tahun lalu, kami mendapati sambutannya memang menggalakkan. Namun, ia akan lebih meriah apabila menjelang tarikh 31 Ogos nanti.
“Jadi, kami mahu penduduk mula menghias rumah sejak 1 Ogos sehingga akhir bulan ini bagi menyemarakkan semangat kemerdekaan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Baca artikel lain juga: Tak Tahan Bunyi Bising Trafik, Pemilik Rumah Paling Keras Kepala Di China Akhirnya Pindah
Tip Feng Shui Agar Rumah Cepat Laku Terjual
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.