Laman

Buat Newbie Yang Baru Berjinak Dengan Pertukangan Kayu Ikut 6 Tip Dari Perkongsian Lelaki Ini

Share
  1. Bagaimana bermulanya idea pertukangan kayu yang dihasilkan sendiri di kediaman anda?

Semuanya bermula dari imaginasi dan saya visualize dalam bentuk nyata. Malah proses trial and error tanpa mengenal erti jemu membuatkan kemahiran dan pengetahuan saya dalam pertukangan kayu ini diasah dari masa ke semasa.

  1. Apakah keperluan minima yang diperlukan andai pemilik kediaman ingin menceburkan diri dalam pertukangan kayu ini?

Paling utama, sudah tentu minat. Untuk menghasilkan sesuatu struktur kita perlu mempunyai kemahiran mengukur dan mencantum dan lock kayu. Ini kerana ada sambungan kayu yang tidak memerlukan tanggam dan ada pula yang memerlukan tanggam bergantung pada saiz dan struktur. Untuk kerja-kerja bersaiz kecil cukup sekadar menggunakan paku dan pelekat kayu (stapler gun & nail gun). Kemudian perlulah ada peralatan atau pun mesin yang bersesuaian untuk memotong, mengetam dan melakukan kerja-kerja perkayuan ini. Bagi saya mesin memudahkan kerja, menjimatkan masa dan tenaga. Ketiga, anda perlulah mempunyai ilmu tentang jenis-jenis kayu dan karakternya. Saya pernah menggunakan pelbagai jenis kayu seperti resak, balau, meranti nyatoh dan cengal. Setiap satunya ada keistimewaan dan kecantikan kayu yang tersendiri.

  1. Boleh kongsikan bagaimana pengalaman anda menghasilkan sendiri pelbagai struktur kayu yang terdapat di kediaman ini?

Dari sekecil-kecil bingkai gambar hinggalah kepada decorative wall, bingkai cermin, bingkai tingkap, lampu, meja, bangku, pondok menunggu, loteng, pintu pagar dan sebagainya. Apa sahaja yang terdapat di kediaman ini adalah hasil pertukangan saya.

Saya melakukannya sedikit demi sedikit ketika waktu terluang. Tanpa minat yang mendalam dan ketekunan pastinya mustahil untuk menyiapkan kerja yang dimulakan kerana menghasilkan produk kayu ini agak rumit dan leceh. Contohnya apabila memulakan projek seperti bangku kayu, selain daripada ketepatan ukuran setiap kayu, kerja-kerja lain seperti mengetam, melicinkan permukaan kayu dan akhir sekali menyapukan varnis perlu dibuat dengan teliti. Malah faktor cuaca juga memainkan peranan penting kepada kualiti sapuan varnis dan cat. Setelah selesai anda juga perlu menyapu dan mengemas ruang kerja yang ditimbuni dengan habuk dan lebihan kayu tadi. Andai tidak sabar pastinya projek kayu ditinggal separuh jalan. Kebiasaannya saya akan mendapatkan kayu di gudang kayu yang terletak di Nilai dan Salak South.

 

  1. Apakah pelaburan yang diperlukan oleh individu sebelum memulakan kerja-kerja pertukangan ini?

Kebiasaannya untuk memulakan kerja pertukangan ini, individu tersebut memerlukan mesin-mesin asas yang akan digunakan untuk memotong, mengetam, melicinkan permukaan kayu, nail gun, stapler gun, brush, gum, blower

dan beberapa item lagi mengikut keperluan. Lebih kurang RM5000-RM7000 yang perlu dilaburkan bagi membeli mesin yang baik dan berkualiti. Ada juga mesin yang saya gunakan jenama BOSCH kerana ia tahan lasak dan berkualiti.

  1. Apakah pengalaman sukar anda sepanjang menghasilkan sendiri kerja pertukangan ini?

Salah satu pengalaman sukar adalah mendapatkan kayu yang berkualiti pada masa kini. Jika dahulu kayu-kayu yang terdapat di pasaran terdiri daripada kayu yang matang dan berusia ratusan tahun. Tetapi kini kayu-kayu yang masih muda dan belum matang sudah ditebang dan dipasarkan. Sebab itu saya gemar mendapatkan kayu second hand daripada rumah-rumah lama. Kualiti dan ketahanannya sememangnya tidak dapat disangkal lagi malah menjadi rebutan buat peminat-peminat kayu. Kayu second hand juga sudah semakin sukar untuk mendapatkannya serta pilihan juga terbatas.

Antara pengalaman sukar yang lain adalah kerja-kerja membina loteng di tingkat atas kediaman saya. Memandangkan siling yang tinggi mencecah 20 kaki dari lantai, maka datang idea untuk saya hasilkan sebuah loteng sebagai lokasi untuk duduk santai bermain muzik bersama ahli keluarga. Saya menghasilkan sendiri reka bentuk loteng lengkap bersama sistem pemasangan menggunakan skru pada tangga. Segala-galanya saya lakukan sendiri dengan mencari solusi terbaik agar loteng ini berdiri kukuh dan tahan beban. Akhirnya usaha saya membuahkan hasil apabila ia berjaya dibina dan memberi kepuasan pada diri sendiri.

Di samping itu juga saya pernah melakukan kesilapan demi kesilapan dalam menghasilkan kerja pertukangan kayu. Ada yang tersilap dari segi ukuran kayu tidak tepat, kekemasan cat yang kurang sempurna dan sebagainya. Dari situ saya belajar dan melakukan penambah baikan pada masa depan. Paling penting jangan putus asa dan teruskan minat serta kesungguhan tersebut.

  1. Apakah yang boleh dibanggakan hasil daripada minat dan hobi ini?

Hasil daripada hobi ini juga, saya dapat menjimatkan kos pembinaan andai menggunakan khidmat kontraktor. Kos saya hanyalah 1/3 daripada harga yang kebiasaannya dikenakan oleh kontraktor. Malah kos keseluruhan yang saya laburkan untuk membina keseluruhan struktur kayu di kediaman ini berjumlah RM50,000 dan berjaya menjimatkan sekurang-kurangnya RM100,000

PENGHARGAAN : ZULKARNAIN

 

IKLAN