Laman

Buat Newbie, Ini Teknik Asas Tanam Orkid Yang Betul

Share

Menanam orkid tidak sesukar seperti digambarkan, patuhi asas penanaman kunci mampu bertahan lama dan sentiasa mekar

Pemangkasan dan pembiakan

Terdapat pelbagai spesies tanaman orkid yang sering kali menjadi perhatian antaranya spesies Vanda yang tumbuh meninggi. Namun, jika tidak diselia, orkid jenis ini akan menjadi terlalu tinggi, kurus ataupun kurang merimbun. Jadi, bagi mengekalkan bentuk menghijau dan mengelakkannya daripada patah, orkid Vanda perlu dipangkas. Kaedah ini bukan sahaja dapat memperkemaskan bentuk orkid malah kaedah pembiakannya begitu mudah dan selamat. Ikuti cara kerja  ringkas ini:

  1. Sediakan orkid matang yang mempunyai beberapa batang akar di sekelilingnya. Pastikan orkid ini sihat dan mempunyai daun hijau. Ini supaya bahagian orkid yang telah dipangkas dapat digunakan untuk tujuan penanaman.

  1. Seterusnya, dengan menggunakan gunting tanaman potong bahagian batang orkid yang terletak di antara akar-akar tersebut. Buangkan daun-daun mati yang terdapat pada bahagian yang telah dipotong. Tinggalkan bahagian bawah/pokok asal supaya tunas baru dapat tumbuh semula.

  1. Bahagian yang dipotong ditanam di dalam pasu yang telah disediakan dengan bahan kompos orkid. Serakkan akar-akar yang berpintal, kemudian masukkan baki bahan kompos. Tepuk secara lembut permukaan tanah supaya tidak terdapat ruang udara di antarnya. Siram dengan kuantiti sederhana sekadar untuk melembapkan tanah.

Sokongan pada orkid supaya tumbuh tegap

Sesetengah orkid seperti spesies Cattleya dan Dendrobium mempunyai bahagian atas yang berat dan memerlukan sokongan selepas pemasuan dilakukan kerana akarnya yang masih lemah. Oleh itu, tanaman ini memerlukan sokongan untuk mengekalkan strukturnya. Ikuti beberapa kaedah mudah menghasilkan sokongan kepada tanaman orkid supaya ia kelihatan segar dan subur.

  1. Kaedah mudah ini hanya memerlukan beberapa batang kayu bagi menyokong orkid menegak yang telah dilakukan pemasuan semula atau baru ditanam. Gunakan tali halus untuk mengikat kayu dan daun orkid yang ingin disokong.

  1. Bagi orkid yang mempunyai bunga tumbuh tinggi, anda perlukan besi atau dawai boleh lentur untuk memberikan sokongan kepadanya. Caranya mudah, hanya bentukan dawai seperti ini dan pasakkan dawai ke dalam tanah.

  1. Bagi menyokong bunga orkid yang sangat panjang dan membentuk lengkungan, gunakan kayu halus seperti kaedah satu dan ikatkan batang bunga di bahagian bawah dan atas, kemudian pasakkan batang kayu ke dalam tanah. Ini dapat mengekalkan bentuk semula jadi bunga serta mengelakkan ia daripada patah.

Pemilihan bekas tanaman orkid

Orkid boleh ditanam di dalam pasu biasa tetapi ia memerlukan ruang pengairan yang sangat baik. Penggunaan pasu plastik akan menyebabkan air bertakung kerana tidak mempunyai ruang secukupnya bagi air mengalir. Oleh itu, orkid memerlukan bekas tanaman berongga supaya air sentiasa dapat mengalir. Pilihan bekas tanaman atau pasu bergantung kepada jenis orkid yang ditanam antaranya:

  1. Orkid tumbuh menegak hidup dengan baik di dalam pasu tanah liat yang mempunyai liang-liang udara untuk penyerapan air. Pasu atau bekas tanaman jenis ini juga baik untuk orkid kerana ia berat dan dapat mengelakkan orkid jenis menegak terbalik dan patah.

  1. Manakala bagi orkid yang mempunyai bunga berjuntai sangat sesuai ditanam di dalam bekas tanaman gantung. Ini supaya daun atau bunga secara semula jadinya membentuk juntaian.

  1. Selain daripada itu, orkid berbunga besar boleh juga ‘ditampalkan’ pada bongkah kayu mati. Caranya adalah dengan melekapkan orkid dan bahan kompos pada bongkah kayu mati. Kemudian ikat menggunakan tali nilon atau pun dawai yang disaluti plastik.

 

IKLAN