
Pertikaian mengenai harta pusaka antara dua beradik di Madura, Jawa Timur berakhir dengan tragedi apabila seorang wanita sanggup merobohkan rumah adiknya sendiri selepas memenangi kes mahkamah.
Kejadian itu menjadi tular di media sosial selepas satu rakaman video menunjukkan sebuah jentera jengkaut sedang merobohkan rumah berkenaan di hadapan penduduk setempat. Tindakan itu mengundang pelbagai reaksi warganet yang mengecam tindakan kejam kakak tersebut.
Menerusi video yang dikongsi, tertera kapsyen berbunyi, “tiada istilah saudara jika ia berkaitan dengan harta”. Ungkapan itu menggambarkan betapa tegangnya hubungan dua beradik berkenaan akibat perebutan harta pusaka yang berlarutan hingga ke mahkamah.
Menurut perakam video, tindakan merobohkan rumah itu dilakukan selepas si kakak memperoleh perintah mahkamah berhubung pemilikan harta pusaka yang menjadi rebutan. Proses perobohan tersebut turut disaksikan dan dipantau pihak berkuasa tempatan bagi memastikan ia dijalankan mengikut undang-undang.
Laporan tempatan turut menyebut bahawa empat struktur bangunan telah dirobohkan dalam operasi berkenaan, melibatkan tiga buah rumah dan sebuah dapur. Peristiwa itu menimbulkan suasana pilu apabila penduduk setempat hanya mampu melihat kediaman keluarga itu musnah di depan mata.
Difahamkan, si adik sempat merayu agar rumahnya tidak dirobohkan, namun permintaan itu ditolak memandangkan pelaksanaan perintah telah diluluskan secara sah oleh mahkamah. Walaupun tindakan itu sah dari segi undang-undang, ramai berpendapat ia meninggalkan luka mendalam dalam hubungan kekeluargaan yang sukar dipulihkan.
Kisah tragis ini menjadi peringatan buat semua bahawa perebutan harta pusaka boleh merosakkan hubungan darah daging sendiri apabila emosi dan dendam menguasai. Semoga ia menjadi iktibar kepada masyarakat agar menyelesaikan urusan harta pusaka dengan cara berhemah dan penuh kasih sayang.
Sumber: Sinar Harian
Artikel lain: Pembahagian Harta Pusaka Tak Adil, The Grudge& RUMAH Paling Nipis Dibina Kerana Dendam
Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.