Bela Kucing Tapi Rumah Hancing? Jangan Sampai Tetamu Masuk Terus Nak Keluar

Share

Jangan salahkan si bulus kalau tuan rumah sendiri tak jaga kebersihan. Bau najis, air kencing, bulu berhabuk dan kawasan litter box yang tidak dijaga dengan rapi boleh menyebabkan rumah tak lagi selesa, terutama bila tetamu datang secara mengejut. Lebih memalukan bila orang mula berkata, “Oh… rumah ni memang ada bela kucing ya?” hanya berpandukan bau.

Sebenarnya, menjaga kebersihan rumah walaupun ada beberapa ekor kucing bukan mustahil, cuma perlukan sistem dan disiplin. Ramai pemilik haiwan terlalu selesa hingga abaikan aspek ini, menyebabkan rumah jadi kurang mesra tetamu dan lama-kelamaan, diri sendiri pun dah tak perasan bau tak enak itu.

Kalau anda pencinta si bulus tapi tetap nak rumah wangi, bersih dan selesa diduduki (tanpa malu bila ada yang datang bertandang), anda perlu tahu cara betul dan berkesan untuk kawal bau serta jaga kebersihan dengan cara yang praktikal.

Rumah masih boleh kekal wangi, segar dan selesa, walaupun anda pelihara lebih daripada seekor kucing. Yang penting, tahu cara urus kebersihan dan aliran udara dengan betul. Berikut 6 tip penting untuk elak rumah berbau kucing:

 

  1. Pilih Pasir Kucing Berkualiti & Bertindak Balas Cepat

Gunakan pasir jenis clumping atau yang ada teknologi odor control. Pasir murah memang jimat, tapi biasanya kurang cekap kawal bau. Ganti pasir sekurang-kurangnya setiap 2-3 hari dan buang najis setiap hari. Simpan dalam tong bertutup rapat.

  1. Letak Litter Box Di Tempat Strategik

Jangan letak litter box di ruang utama seperti ruang tamu atau dapur. Pilih sudut pengudaraan baik seperti balkoni kecil, bilik air khas atau ruang bawah tangga. Letakkan sekali arang buluh atau baking soda untuk kawalan bau tambahan.

  1. Sapu & Vakum Bulu Kucing Setiap Hari

Bulu kucing bukan saja berterbangan tapi juga perangkap bau. Gunakan vakum mudah alih atau roller pelekat untuk sapu sofa, karpet dan tempat tidur kucing. Lagi bersih permukaan, lagi kurang bau ‘kucing’ melekat.

  1. Guna Air Freshener Semula Jadi

Elakkan penyegar udara kimia berlebihan. Sebaliknya, rebus kulit limau, kayu manis dan bunga cengkih atau gunakan diffuser dengan minyak pati seperti lavender atau eucalyptus. Selain wangi, ia selamat untuk kucing.

  1. Mandikan Kucing & Bersih Sangkar Berkala

Walaupun kucing rajin jilat diri, ia tetap perlu dimandikan sebulan sekali (ikut kesesuaian baka). Bersihkan tempat tidur dan sangkar seminggu sekali dengan sabun antibakteria ringan.

  1. Pastikan Aliran Udara Rumah Lancar

Buka tingkap setiap pagi untuk aliran udara keluar-masuk. Pasang kipas siling, ventilator atau penyedut udara di dapur/bilik air untuk elak bau terperangkap terlalu lama.

Kesimpulan

Bela kucing tak semestinya rumah berbau. Yang penting, amalkan rutin bersih, guna produk betul dan urus ruang dengan bijak. Bila tetamu datang, bukan saja tak sedar anda bela kucing, malah mungkin puji rumah wangi dan selesa.

Mesti Baca: Singapura WAJIBKAN Lesen & Tanam Mikrocip Bela Kucing Di Kediaman

Baca Lagi Di Sini: Atasi Bau Kucing Di Rumah Guna Bahan Dapur Ini, Berkesan & Mudah

Artikel Menarik: Cara Mudah ‘Tangkap’ Kutu Kucing, Guna Dua Bahan Je

Follow kami di  WEBSITE,  TELEGRAM,  INSTAGRAM,  TIKTOK,  FACEBOOK  dan YOUTUBE   untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Putri