Banglo Moden 5,800 Kaki Persegi, Gaya Tenang & Fungsi Sempurna Untuk Keluarga Bahagia

Share

Bagi pasangan Anis Syuhada dan Shahrizal Ahmad, setiap inci kediaman moden ini adalah hasil cinta, tenaga dan cita rasa yang dibina sendiri. Ia bukan sekadar rumah, tetapi refleksi gaya hidup dan impian keluarga mereka.

Dengan keluasan 5,800 kaki persegi, rumah banglo moden berusia tiga tahun ini bukan hanya cantik di mata, tetapi juga bijak diatur mengikut keperluan keluarga. Ia berdiri megah dengan konsep moden hasil kreativiti mereka sendiri di bawah syarikat rekaan dalaman A&R Creative Design.

Menariknya, kediaman ini turut berfungsi sebagai show unit bagi A&R Creative Design. Jadi, sesiapa yang ingin melihat konsep rekaan sebenar boleh datang sendiri untuk menyaksikan bagaimana setiap ruang dihasilkan dengan penuh cita rasa.

Cinta Pada Ruang Yang Dicipta Sendiri

“Yang buat saya jatuh cinta dengan rumah ni, sebab setiap ruang yang wujud berdasarkan keperluan kami sekeluarga. Tiada ruang yang sia-sia,” ujar Anis dengan senyuman puas.

Rumah ini adalah projek impian keluarga. Setiap ruang dirancang tanpa pereka luar. Sebagai usahawan dalam bidang rekaan dalaman, pasangan ini tahu apa yang mereka mahu dan bagaimana mahu menjadikannya sempurna.

Konsep moden menjadi pilihan utama kerana ia ringkas, elegan, mudah diselenggara dan kekal relevan. “Modern ni timeless. Walau 10 tahun akan datang, tetap nampak kemas dan relevan. Yang penting tahu padanan warna, tekstur dan pencahayaan,” jelas Anis.

Dua Tahun Pembinaan, Hasilnya Mengikut Citarasa

Proses membina dan melengkapkan banglo moden ini mengambil masa hampir dua tahun, perjalanan panjang tetapi berbaloi. Susun atur setiap ruang dirancang bukan berdasarkan trend, tetapi fungsi harian dan gaya hidup sebenar.

“Kesempurnaan sesebuah ruang bukan sekadar cantik, tapi mesti berfungsi,” kata Anis. Elemen praktikal diutamakan dalam setiap sudut dari dapur hingga ke ruang santai tepi kolam. Tiada ruang dibina sekadar hiasan, setiap satu mesti ada tujuan agar rumah bukan hanya cantik, tetapi selesa didiami.

Dapur Moden, Nadi Rumah & Kegemaran Anis

Bagi Anis, dapur adalah nadi rumah. Rumah ini mempunyai dua dapur kering dan satu dapur basah, direka sepenuhnya berdasarkan gaya hidup mereka yang gemar memasak dan menerima tetamu.

Warna kabinet putih dengan solid top kelabu lembut menjadikan dapur moden ini luas, bersih dan eksklusif. “Setiap kali memasak, saya rasa tenang sebab ruang ni direka khas ikut keselesaan saya,” ujar Anis.

Mini pantry di tingkat atas pula menambah sentuhan moden praktikal, memudahkan keluarga menikmati kopi atau snek tanpa perlu turun ke dapur utama.

Ruang Santai Pool View, Syurga Rehat Untuk Jiwa

Jika dapur adalah nadi rumah, ruang santai tepi kolam pula ibarat syurga rehat untuk jiwa. Di sinilah keluarga menghabiskan masa, anak-anak bermain air dan ibu bapa bersantai menikmati angin petang.

Konsep open flow antara ruang tamu dan kolam mencipta ilusi luas serta menghubungkan ruang luar dan dalam dengan harmoni. Balkoni tertutup di tingkat atas menjadi tempat istirehat sempurna dengan pencahayaan semula jadi yang menenangkan.

Warna Timeless, Rahsia Gaya Tenang

Anis menggunakan cat Jotun Coverplus Timeless yang memberikan efek lembut, bersih dan tenang. Warna ini membolehkan pencahayaan semula jadi menyerlah serta memberi kesan luas dan damai.

Padanan dengan tekstur kayu lembut, cermin dan elemen keluli hitam menyeimbangkan gaya moden dengan sentuhan semula jadi.

Rekaan Custom-Made Untuk Kesempurnaan Ruang

Hampir semua ruang di rumah ini direka secara custom-made, dari kabinet dapur, meja makan hingga almari bilik tidur, semuanya disesuaikan dengan ukuran sebenar ruang.

“Kalau ikut konsep moden, permainan proportion dan saiz sangat penting. Tak boleh beli ikut suka, kena ukur betul-betul supaya ruang tak nampak sempit atau serabut,” jelas Anis.

Tip Dekorasi Rumah Moden

  1. Tetapkan tema dan keperluan terlebih dahulu. Fokus pada fungsi, bukan sekadar trend.
  2. Cipta moodboard menggunakan Pinterest atau Instagram untuk padanan warna dan gaya.
  3. Lakukan DIY hanya jika yakin dengan kemahiran sendiri.
  4. Ukur ruang sebelum membeli perabot agar harmoni dan tidak sempit.
  5. Pilih warna lembut dan neutral untuk suasana moden dan tenang.

Menurut Anis, kesilapan terbesar dalam dekor ialah tidak mengukur ruang dengan betul dan tidak peka terhadap warna. Kini, setiap projek mereka berpaksikan prinsip asas itu — ukur dahulu, baru reka.

Spesifikasi Banglo Moden

  • Nama Pemilik: Shahrizal Ahmad & Anis Syuhada
  • Lokasi: Cheras
  • Usia Kediaman: 3 Tahun
  • Keluasan: 5,800 kaki persegi
  • Konsep: Moden
  • Pereka Hiasan Dalaman: A&R Creative Design
  • Nama Cat: Jotun Coverplus Timeless
  • Ruang: 2 Dapur Kering, 1 Dapur Basah, 5 Bilik Tidur, 4 Bilik Air, Ruang Tamu, Ruang Santai Pool View, Mini Pantry, Laundry Area, Balkoni Tertutup

Bagi pasangan ini, rumah bukan sekadar binaan — ia tempat membina kenangan dan menenangkan jiwa. Setiap ruang dicipta bukan sekadar untuk dipandang, tetapi untuk dihuni dengan bahagia. Inilah bukti bahawa banglo moden juga boleh punya jiwa apabila direka dengan bijak dan dihias dengan hati.

 

Artikel lain: Perunding Hartanah Kongsi Susun Atur Ruang Rumah Apartment Yang Praktikal, Jangan Lupa Check Kiblat

Bila Usia Bertambah, Sudah Tidak Suka Perabot Banyak, Suka Rumah Lapang, Dekorasi Ringkas

Follow kami di WEBSITE, TELEGRAM, INSTAGRAM, TIKTOK, FACEBOOK dan YOUTUBE untuk dapatkan tip, idea dan artikel-artikel terkini serta menarik.

Published by
Putri