Bagi memastikan tanaman indoor kesayangan anda sihat dan cantik bukan sesuatu perkara yang boleh dipandang remeh, tidak cukup sekadar memberi perhatian, kita juga perlu peka dengan keperluan asas tumbuhan selain memeliharanya dari sebarang jenis masalah dan penyakit.

PENJAGAAN ASAS TUMBUHAN DALAM RUMAH

Antara impak tanaman indoor termasuklah dapat mewujudkan suasana yang menarik terhadap sesuatu persekitaran ruang itu. Tumbuhan yang kecil memberi warna dan pemandangan segar dari tepi tingkap atau di atas meja, sementara tumbuhan yang besar memberi suntikan menarik terhadap sesuatu sudut.

Namun kadangkala masalah pokok mati, tidak berbunga pasti akan merisaukan anda sehingga menyebabkan ada di antara segelintir pemilik mengalami fobia akan keadaan ini. Sebenarnya, hampir kesemua masalah yang di hadapi oleh tanaman indoor amat mudah diselesaikan.

1. Pencahayaan

Tumbuhan amat memerlukan pencahayaan yang mencukupi mengikut jenis. Sebagai contoh tumbuhan berbunga memerlukan cahaya matahari mencukupi untuk membolehkan tumbuhan tersebut kembang mekar. Jika tumbuhan tidak mendapatkan jumlah pencahayaan mencukupi, daunnya akan mula kuning dan lama-kelamaan akan mati.

Kebiasaannya, pemilik akan meletakkan pokok berhampiran dengan tingkap untuk mendapatkan pencahayaan semula jadi. Oleh itu, kenal pasti jumlah pencahayaan yang di perlukan oleh tumbuhan.

2. Suhu kelembapan & cara penyiraman

Kebanyakan tumbuhan tumbuh sihat pada kadar suhu 60 hingga 70°F. Elakkan tumbuhan anda dari kawasan yang mempunyai kadar kepanasan dan sejuk yang tinggi seperti berhampiran dengan penghawa dingin dan peti sejuk. Bagi tumbuhan berbunga, bunganya akan berkembang mekar dalam tempoh lama jika kadar suhu persekitaran di tahap sederhana. Suhu melebihi 75°F akan menyebabkan kadar penyejatan air di dalam tanah menjadi cepat dan boleh menyebabkan tumbuhan kering kontang dah terdedah kepada penyakit serta mudah diserang penyakit.

Tanaman terarium atau bekas bertutup memberikan kadar kelembapan yang tinggi untuk tumbuhan dari jenis sukulen. Kadar penyiraman yang terlalu kurang atau berlebihan boleh menyebabkan tumbuhan bermasalah. Daun akan bertukar menjadi kekuningan dan mati secara perlahan-lahan jika kekurangan air. Mana kala jika berlebihan air, akar tumbuhan akan lemas dan boleh menyebabkan tumbuhan mula lembik dan mudah diserang penyakit. Periksa tanah di dalam pasu setiap hari untuk memastikan kadar kelembapan mencukupi.

Kebanyakan pasu untuk tumbuhan di dalam rumah tidak mempunyai lubang pasu, oleh itu jumlah air yang diperlukan untuk pokok besar adalah sebanyak 250ml dan untuk tumbuhan kecil sebanyak 50ml hingga 100ml bergantung pada saiz tumbuhan.

Kaedah lain untuk memastikan kadar kelembapan tanah adalah dengan mengangkat pasu, jika pasu ringan bermakna kadar kelembapan sudah tiada. Anda juga boleh menggunakan kaedah penyiraman dari bawah pasu. Letakkan tumbuhan yang pasunya berlubang ke dalam bekas yang telah di isi air dan biarkan tanah meresap air secara perlahan. Bila kadar kelembapan sudah mencukupi di bahagian atas tanah, keluar kan pasu dari bekas air tersebut dan biarkan lebihan air tadi keluar dan jangan biarkan pasu terendam di dalam air untuk satu jangka masa yang lama.

Tip: siram tumbuhan anda dari bahagian atas tanah sebulan sekali untuk mengelakkan wujudnya garam mineral dan siram tumbuhan anda sebelum ia menjadi layu. Jika terdapat habuk yang berwarna keputihan pada permukaan tanah di dalam pasu, itu menunjukkan tanah tersebut sudah bergaram.

3. Pembajaan

Pembajaan dilakukan sebulan sekali dan pada kadar yang sangat minimum. Pemilik kediaman digalakkan mengguna baja organik kerana ia kurang panas dan selepas proses pembajaan tumbuhan perlulah segera disiram. Bagi tumbuhan berbunga, pembajaan mestilah dilakukan selepas tumbuhan tersebut habis kitaran berbunga kerana dikhuatiri baja tersebut akan panas dan menyebabkan kerosakan kepada kudup bunga.

Pemberian baja yang betul bagi setiap tanaman indoor amat penting untuk memastikan pokok yang ditanam kekal subur dan cantik.

Sekiranya cahaya memberikan sumber tenaga kepada tanaman, baja pula akan membekalkan nutrient yang diperlukan oleh tanaman untuk terus membesar dengan subur.

Berikut merupakan tanda tanda tanaman anda kekurangan baja :
• Pertumbuhan pucuk baru kurang
• Daun kuning
• Daun gugur
• Batang pokok kecil
• Tidak berbunga

Tanda tanda tanaman anda terlebih baja :
• Hujung daun terbakar, bintik perang pada daun
• Pertumbuhan daun terjejas
• Daun layu

4. Penyediaan tanah

Untuk tumbuhan berpasu, sistem saliran tanah amat penting untuk memastikan air yang disiram boleh diserap dengan sebaiknya dan lebihannya dapat dikeluarkan. Untuk memastikan tanah di dalam pasu boleh mengalirkan air dengan baik, anda perlu campurkan sedikit pasir di dalam tanah tersebut. Pasir tersebut dapat membantu pengudaraan di dalam tanah, memperbaiki tumbesaran akar di dalam tanah dan memudahkan air mudah di resap oleh tanah.

Tip tambahan penjagan tanaman indoor ;

  • semburkan sedikit air pada dasar daun dan lap untuk membuang debu yang terlekat pada dasar daun.
  • Pastikan air dan kain yang di gunakan tidak mempunyai sisa minyak dan kain tersebut mestilah lembut.
  • Untuk mendapatkan tekstur daun yang berkilat. Dapatkan lilin khas untuk tumbuhan yang terdapat di pasaran
  • Untuk tumbuhan memanjat, pemangkasan haruslah dilakukan sekerap mungkin supaya tumbuhan tersebut sentiasa kemas dan rapi.