Pemilihan perabot dan susun atur sesebuah ruang memainkan peranan yang amat penting bagi memastikan pengguna selesa ketika berada di kediaman. Seperti di ruang makan, aksesori utama yang perlu diberi perhatian penuh sudah tentunya merupakan set meja makan. Terdapat pelbagai aspek dan sudut yang berbeza perlu anda pertimbangkan sebelum membuat keputusan untuk membeli sebuah meja makan.

Perkara pertama yang perlu setiap pemilik rumah lakukan ialah mengambil ukuran dimensi ruang makan anda. Ini akan memberikan idea jelas tentang saiz meja makan yang tepat dan sesuai dengan ruang sedia ada sebelum anda keluar membeli. Ambil kira juga ruang untuk bergerak dengan selesa di dalam ruang tersebut. Anggaran lebihan 3 kaki atau lebih sekeliling meja makan akan memastikan keselesaan dan kemudahan tetamu.

Seterusnya, barulah anda boleh fikirkan tentang bentuk meja makan yang diingini. Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi pemilihan bentuk meja makan, termasuklah saiz ruang makan anda. Jika ruang yang ada kecil dan terhad, adalah lebih baik jika anda memilik meja makan berbentuk bulat. Ini akan mengurangkan kesesakan dan boleh membuatkan ruang makan ‘comel’ anda kelihatan lebih besar dari sebenarnya.

Pemilihan material yang tepat untuk meja makan juga mampu memberikan impak pada ruang makan anda. Pilih meja yang diperbuat daripada bahan berkualiti tinggi yang tahan lama agar pelaburan anda berbaloi. Jika anda mahukan material kayu, pilihlah kayu keras seperti walnut, mahogany, oak, atau jati. Elakkan kayu yang bersifat komposit atau yang sudah dicampur seperti MDF (Medium Density Fibreboard) kerana kayu jenis ini tidak cukup kukuh untuk penggunaan yang lasak.

Tetapi, semuanya bergantung pada konsep atau tema kediaman pilihan anda. Jika material kayu yang dipilih tidak sesuai dengan konsep, terdapat bahan lain yang anda boleh pertimbangan seperti batu marmar atau granit.

Terdapat pelbagai konsep terkini yang menjadi tarikan buat pemilik kediaman antaranya termasuklah konsep Scandinavian, Moden, Kontemporari, Minimalis mahupun Klasik. Yang pasti, setiap satunya pasti dapat memberi nilai estetika yang mengujakan buat tetamu anda. Pemilihan konsep yang bertepatan dengan personaliti pemilik juga dapat memberi peluang kepada indivi untuk mengekspresikan diri dengan cara yang paling kreatif dan personal.

Dengan menitikberatkan setiap langkah di atas, proses pemilihan meja makan untuk kediaman bukanlah tugas yang memeningkan lagi. Anda pasti teruja dan tidak sabar untuk melihat hasil yang tercipta.