Tahukah anda apa itu pepijat? Pepijat atau hama tilam merupakan mimpi ngeri buat semua penghuni rumah. Jadi mari kita kenali musuh dalam selimut ini ;

    • Saiz pepijat dewasa adalah kira-kira 1/5 inci panjang, bersayap, berbentuk bujur, leper dan berwarna coklat seperti karat.
    • Mereka telah wujud beribu-ribu tahun lamanya dan terdapat di seluruh pelusuk dunia.
    • Mampu menghisap darah sehingga 6 kali ganda daripada berat mereka.
    • Pepijat mempunyai mulut yang berjarum kecil untuk mencucuk mangsa bagi menghisap darah. Pepijat yang kekenyangan kelihatan besar sedikit dan menjadi kurang leper.
    • Tanda gigitan mereka boleh disalah anggap sebagai gigitan nyamuk.
    • Mereka keluar hanya pada waktu malam dan bersembunyi di siang hari.
    • Bukan sahaja tinggal di tempat yang kotor tetapi boleh membiak dengan jayanya walaupun dalam keadaan bersih dan rapi.

Jika sekali rumah anda telah diserang makhluk perosak ini, memang amat susah untuk hapuskannya. Pepijat katil boleh hidup dalam apa jua keadaan. Badan yang leper membolehkan mereka untuk masuk ke celah-celah dan lubang-lubang kecil pada perabot serta tilam. Walaupun pepijat tidak membawa penyakit merbahaya, mereka meninggalkan kesan merah yang amat gatal daripada gigitan yang boleh membangkitkan perasaan tidak selesa dan amat mustahil untuk tidur dalam keadaan gatal-gatal sebegitu.

Tetapi tunggu dulu! – sebelum anda buang tilam yang telah dijangkiti pepijat, ikuti langkah ini ;

LANGKAH 1
Buat pemeriksaan secara menyeluruh untuk mencari kawasan yang bermasalah. Pepijat katil biasanya boleh ditemui berhampiran dengan kawasan tidur anda. Sukar untuk terima kenyataan ini, tetapi manusia (dan haiwan) adalah sumber makanan mereka! Mulakan dengan katil anda, periksa semua sarung bantal, tilam dan di sekitar bingkai katil. Jangan lupa periksa juga perabot yang terletak berdekatan, seperti meja sisi katil dan kusyen pada sofa.

Apa yang perlu dicari semasa proses pemeriksaan :

    • kotoran berwarna coklat bersaiz sangat kecil seperti pin pada cadar atau tilam yang disebabkan oleh pepijat katil yang telah mati terpenyek.
    • bintik-bintik hitam seperti percikan dakwat pen menandakan kesan najis pepijat.
    • telur kuning pucat dan kulit telur, juga bersaiz sangat kecil seperti pin.
    • pepijat yang masih hidup.

Selepas mengenalpasti kawasan bermasalah, segera rancang pelan kawalan menghapus pepijat. Dan jika anda tinggal di rumah sewa, maklumkan pada tuan rumah, terutamanya jika perkara ini menjejaskan kawasan kejiranan.

LANGKAH 2

Mulakan proses penyingkiran pepijat katil. Untuk menangani kes-kes serius, terdapat banyak rawatan kimia yang kasar dan merbahaya. Tetapi sebagai alternatif menggunakan bahan yang lebih selamat, anda boleh pertimbangkan salah satu cara ini. Pindahkan barang yang diserang pepijat kedalam beg plastik supaya ia tidak merebak ke kawasan lain sebelum memulakan langkah penghapusan dengan bahan-bahan dibawah ;

Haba : Ambil kesemua kain pelapik katil serta bantal termasuk yang berada disekitar katil dan perabot dan masukkan ke dalam mesin basuh. Gunakan air bersuhu panas sehingga 70 darjah celcius dan tetapkan kitaran selama lebih kurang 45 minit. Setelah selesai, masukkan pula kesemuanya kedalam mesin pengering selama 30 minit pada tetapan yang tinggi. Ini akan membunuh mana-mana telur pepijat yang bersembunyi di dalam linen anda.

Beku : Masukkan item yang dijangkiti ke dalam beg plastik dan letakkan beg tersebut dalam peti sejuk sekurang-kurangnya selama 10 jam. Suhu yang rendah higga tahap beku juga boleh membunuh pepijat.

Baking Soda: Tuangkan baking soda ke dalam mangkuk dan gunakan berus cat untuk menyapu soda kekawasan yang mungkin didiami pepijat. Ratakan juga pada katil dan biarkan selama seminggu sebagai usaha untuk membunuh pepijat dan telurnya

LANGKAH 3

Vacum keseluruhan kawasan dengan teliti bagi memastikan pepijat benar-benar sudah dihapuskan. Vakum kesemua tempat sekitar katil dan perabot anda dengan kuat di kesemua lapisan, lipatan, celahan dan retakan yang ada. Selepas vacum, segera bawa keluar dari rumah kandungan vakum tersebut untuk dibuang di luar rumah. Jangan lupa curahkan air panas mendidih pada sisa vacum yang dibuang tadi.

Lakukan aktiviti ini sekerap yang mungkin sehingga tiada lagi pepijat yang selamat.

LANGKAH 4

Selepas sesi penghapusan pepijat katil, jangan lupa dengan langkah-langkah pencegahan.

    • Pastikan terdapat jarak antara katil dengan dinding atau meja sisi
    • Beli sarung tilam anti pepijat, kemaskan setiap penjuru dan elakkan sarung dari menyentuh lantai.
    • Pasangkan perangkap pepijat disekitar kediaman.

Jika perkara ini terlalu berat dan memudaratkan anda sekeluarga, dapatkan bantuan dengan menghubungi pihak yang lebih professional. Semoga berjaya!