Mengenali pemilik kediaman yang terletak di Melaka ini, penulis sudah sedia maklum akan minat dan jiwanya yang begitu sebati dengan alam hijau. Tambahan pula dirinya yang bertugas di Jabatan Pertanian sejak puluhan tahun dahulu, antara faktor utama mencambahkan lagi minatnya terhadap tumbuh-tumbuhan.

Kunjungan penulis ke kediaman suami isteri ini di Bukit Katil, Melaka sedikit sebanyak pengalaman dan minat mereka dalam membina taman dapat dikongsi bersama pembaca sekalian. Idris dan isterinya Nooraizan, walaupun tinggal dan bekerja di Putrajaya, mereka sekeluarga kerap pulang ke kediaman ini pada setiap hujung minggu. Jarak yang hanya mengambil masa tidak sampai dua jam dari Putrajaya ke sini tidak langsung dirasai. Malah mereka sekeluarga merasakan satu kepuasan apabila pulang dan menghabiskan masa berehat dan menata rias taman.

“Saya membeli kediaman ini sejak tahun 2008, bermula dari situ sedikit demi sedikit saya membina taman. Saya mulakan dengan menanam pokok teduhan dahulu kemudian diikuti dengan  tanaman renek yang lain. Kini setelah hampir tujuh tahun, pokok-pokok ini membesar dan hasilnya kediaman ini lebih redup dan sejuk”, jelas Idris membuka bicara.

Antara pokok teduhan yang ditanam oleh pemilik adalah Bucida, Handkerchief plant, Bottle Brush dan juga pokok buluh hiasan. Pemilik menggelarkan pokok-pokok teduhan ini sebagai pokok penapis kerana selain daripada memberi teduhan kepada kediaman, ia juga berfungsi sebagai penapis udara dan bunyi. Ini terbukti apabila kediaman yang terletak betul-betul di tepi jalan utama ini tidak terganggu oleh bunyi bising kenderaan. Malah pemilik juga menyatakan suasana dalam kediamannya kurang berhabuk dan berdebu.

“Jika diperhatikan suasana landskap kediaman saya, terdapat lebih banyak tanaman malar hijau ataupun foliage plants berbanding pokok berbunga. Saya sememangnya gemar dengan tumbuhan hijau kerana ia menyuntik visual green pada kediaman. Apabila menghabiskan masa di dalam atau luar rumah, pemandangan saya lebih tenang dan nyaman melihat kediaman dikelilingi suasana hijau”, tambahnya lagi.

Pemilik yang juga penggemar dan peminat koleksi kayu, berkongsi minat tersebut bersama isteri dan bapa mertuanya. Elemen kayu dirasakan begitu padan dan menyerlah digandingkan dengan tumbuh-tumbuhan hijau malah kelihatan lebih natural. Lebih memeranjatkan apabila usahanya mengindahkan laman diiktiraf oleh Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya apabila dinobatkan sebagai pemenang perak untuk Pertandingan Landskap & Rumah Cantik 2011 di kawasan Taman-Taman Perumahan Dun Bukit Baru. Jom kita lihat taman milik En Idris Awab.

 

Komen anda