Berbaki beberapa hari je lagi kita nak menyambut ramadhan ni, jom semak apa patut kita buat untuk rumah kita.Jangan nanti dah last minute, baru nak kelam kabut kemas.

 

1.Mari mengecat!  Inilah masanya kita membuat perancangan untuk menukar mood rumah kepada yang lebih baru dan segar. Namun usah terlalu ghairah menukar warna sehingga tidak keruan dibuatnya. Selain memilih rona yang serasi dengan konsep hiasan kediaman, tidak salah jika anda kekal dengan warna asal kediaman. Mungkin sapuan cat lalu sudah agak pudar atau tidak bermaya, jadi anda hanya perlu cat kembali. Jika tidak rona yang sama, mungkin boleh memilih satu anak tangga cerah atau satu anak tangga lebih pekat warnanyadaripada warna asal.

2.Anda akan sibuk memasak pelbagai masakan menjelang hari raya dan puasa nanti. Tidak hairan jika saluran paip anda mungkin akan tersumbat dek segala macam bahan buangan yang disumbat di dalamnya. Jadi elok anda bersihkan saluran saliran sink anda. Masukkan serbuk soda dan siram dengan cuka atau air panas. Secara tidak langsung semua kekotoran lama terbuang terus dan melancarkan kerja-kerja dapur anda.

3.Keliru dengan pilihan warna yang ada? Usah rungsing. Belilah setiap warna yang menjadi pilhan anda dalam sukatan kecil. Catkan pada papan lapis atau board dalam 1’x 1’ atau besar sedikit daripada itu. Dari situ boleh anda lihat warna yang mana lebih menyerlah dalam kediaman anda. Jadi tidaklah anda membazir membeli dalam kadar yang begitu banyak dan akhirnya menyesal tidak terkata!

4.Kenal pasti bahagaian perabot yang sudah mula bergoyang. Ikatan rotan yang kian longgar dan struktur yang sudah tidak kukuh. Anda perlu segera menghantarnya ke kedai sebelum bulan puasa tiba kerana dikhuatiri kedai-kedai perabot tidak lagi mahu menerima tempahan anda.

5.Tidak punya banyak masa dan tenaga untuk mengecat? Anda hanya perlu mengecat feature wall anda sahaja jika mahu berjimat. Apatah lagi jika anda mempunyai perancangan baru untuk tata hias kediaman. Jangan lupa sapukan dengan rona asas putih sebagai dasar untuk mendapatkan hasil yag kemas.