“Sempat ke nak mengemas sambil tu memasak? Ish, mesti tak fokus dan macam susah je nak buat!”. Normal lah kalau di awal-awal je rasa susah. Betul tak? Sebenarnya tak susah mana pun jika anda sentiasa praktikkan langkah ini.

Jika anda memang tak nak ruang dapur anda selalu ada kotoran degil, dan menyusahkan anda membersihkan di hari kemudian, ikuti 7 cara berikut;

 

1. Mulakan dengan dapur yang bersih

Ini memang langkah pertama yang harus anda praktikkan setiap kali memasak. Sebaik sahaja anda selesai menggunakan dapur, jangan biarkan pinggan mangkuk dan periuk kuali tidak dicuci ataupun dilonggokkan ke dalam sinki dan rancang nak basuh esok harinya. Sikap malas atau bertangguh membuatkan dapur anda akan sentiasa kelihatan bersepah dan kotor.

 

2. Gantikan mangkuk sebagai bekas sampah

Sediakan mangkuk kecil di ruang sinki ataupun di atas meja yang biasa digunakan untuk menyediakan makanan. Ini adalah sebagai alternatif menggantikan bekas sampah utama. Mangkuk ini kebiasaannya digunakan untuk membuang sampah seperti kulit bawang, sisa potongan sayur dan buah – buahan. Cara ini lebih efektif kerana ia menjimatkan tenaga anda tidak terlalu bergerak.

 

 

3. Pilih papan pemotong yang fleksibel

Ramai di antara kita yang suka memasukkan bahan makanan yang telah dipotong terus ke dalam periuk dengan menggunakan papan pemotong sahaja. Oleh itu, elak dari memilih papan pemotong yang berat seperti kayu. Material plastik yang lebih elastik dan ringan membantu anda memindahkan makanan tanpa menyebabkan sisanya terjatuh ke lantai.

 

4. Gunakan perkakas dapur secara minimum

Tak perlu terlalu mengikut cara penyediaan ala chef di kaca televisyen yang menggunakan banyak mangkuk dan perkakas untuk satu resepi. Cukup menggunakan perkakas yang bersesuian dan boleh dibasuh terus dan digunakan kembali, Sebagai contoh, bahan-bahan yang telah dipotong seperti daging dipindahkan ke dalam mangkuk manakala bahan-bahan tumisannya letakkan sahaja di atas papan pemotong. Ia akan mempercepatkan corak kerja anda kerana mengelakkan anda dari membasuh terlalu banyak pinggan mangkuk.

 

5. Bergerak pantas

Sementara menunggu masakan, capai sahaja apa yang belum dibasuh seperti senduk, papan pemotong, pisau, pinggan mangkuk dan sebagainya. Cara ini akan membuatkan anda lebih berdisplin dan bijak membahagikan masa berbanding membersihkan setelah selesai memasak. Tetapi perlu diingatkan sentiasa perhatikan masakan anda untuk mengelakkan anda terlupa dan sebagainya.

 

6. Buang terus sampah yang ada

Tidak kiralah sampah yang anda nampak itu berada di atas lantai. permukaan atas kaunter ataupun di meja segeralah mengutipnya dan buangkan ke dalam tong sampah ataupun di dalam mangkuk kecil yang disediakan tadi.

 

7. Sediakan air panas yang dicampurkan dengan sabun

Sebaik sahaja selesai memasak, pindahkan makanan ke dalam pinggan hidangan dan segera basuh periuk yang telah digunakan. Lap bahagian hud dapur memasak, backsplash, permukaan atas kaunter dan bahagian sinki dengan menggunakan kain mikrofiber yang telah dicelup dengan air panas yang dicampurkan dengan sabun. Langkah ini sangat berkesan membantu anda menghilangkan kotoran dan minyak dengan pantas.